Thursday, November 27, 2008

ANAKKU SAZALI VERSI ALAF BARU.

berita@kosmo.com.my

GOMBAK - Gara-gara perselisihan faham antara bapa dan anak lelakinya, seorang ibu menjadi mangsa apabila satu das tembakan yang dilepaskan anaknya tersasar mengenai rusuk kanannya di Country Homes di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, remaja berusia 15 tahun itu yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan bertengkar dengan bapanya, seorang anggota polis di tempat letak kereta rumah mereka.
***************************************************************************************************************

Terkedu sejenak saya sewaktu membaca berita yang tertera di dada akhbar semlm. Tertanya di hati saya, bagaimana mungkin si anak tergamak menembak orang tuanya sendiri. Berita ini adalah antara beberapa gambaran yang semakin kerap kita baca mengenai perlakuan anak-anak di zaman moden ini.

Kisah ibu dan ayah diterajang anak , dicekik dan ditikam oleh anak-anak sendiri bukanlah suatu perkara yang semakin pelik sekarang. Kalau dahulu ya, berita-berita seperti ini amat jarang berlaku, malahan boleh boleh dianggapkan tidak berlaku. Tidak terbaca atau tidak terdengar oleh kita perihal anak mencederakan ibu bapa sendiri.

Teringat kisah Anakku Sazali dan beberapa cerita lain yang banyak menyorotkan pengkisahan tentang salah laku anak-anak pada zaman itu. Secara sinisnya, terdapat mesej-mesej yang sarat di dalam filem tersebut. Antaranya bagaimana asuhan si bapa telah mencorakkan anaknya menjadi Sazali yang derhaka, menjadi Sazali yang kurang ajar dan menjadi Sazali yang tidak mengenang budi. Natijahnya si bapa pula akhirnya ditempelak oleh si anak dengan menyalahkan sikap si ayah yang terlalu mengikut kata dan memanjakannya secara berlebihan menjadi penyebab akhlaknya rosak.

Lihatlah apa yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh menidakkan bahawa sikap kita sendiri sebagai ibu bapa adalah menyumbang kepada kemerosotan akhlak genarasi sekarang.Apabila anak-anak ditegur guru, maka ibu bapa berduyun-duyun datang ke sekolah memaki hamun guru. Apabila anak-anak dirotan guru, maka riuh rendahlah di dada-dada akhbar hatta di kaca televisyen pun tentang omokkan guru menyalahkan kuasa. Terdapat juga terutamanya di kalangan keluarga berada sanggup memasang peguam hanya untuk menyaman guru yang cuba membentuk tingkah anak-anak mereka.

Sikap ibu bapa seumpama ini samalah seperti si ayah dalam kisah Anakku Sazali. Berapa ramai lagi Sazali yang kurang ajar mahu kita lahirkan? Jawapannya ada di tangan kita. Menjaga anak di zaman sekarang menuntut ibu bapa supaya mempunyai ilmu yang pelbagai. Cara kita mendidik mereka haruslah dengan cara yang bijaksana. Jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang berkemahiran dalam ilmu kekeluargaan. Usah malas untuk membaca buku-buku mengenai perihal cara mendidik anak-anak. Tidak salah untuk kita sama-sama berkongsi pengetahuan dengan ibubapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka dengan baik. Semoga kecaknaan kita terhadap perkara ini akan mampu melahirkan genenasi yang lebih berhemah. Mudahan juga kisah anak menembak ibu, anak menetak dan membunuh ibu bapa tidak lagi menjadi penghias berita di dada-dada akhbar.





Sunday, November 16, 2008

Jom Tukar Topik!! Citer Pasal Burung Pulak!







Dok bercakap pasal hal sekolah, iskkk rimas pulak jadinya. Tukar topik lah! Kita cerita pasal burung lah pulak. Baru-baru ni saya sekeluarga sempat ke Pulau Pinang dan melawat Taman Burung di Seberang Jaya.




Saja nak beri peluang kepada anak-anak melihat dengan lebih dekat spesis-spesis burung yang ada di Malaysia. Di samping itu, dapatlah juga diserapkan ke dalam hati anak-anak tentang pentingnya menjaga khazanah flora dan fauna. Biarlah mereka tahu macam mana rupanya burung enggang. Biar mereka melihat sendiri burung yang dipanggil burung hantu, burung kakak tua, burung merak dan bermacam-macam jenis burung lagi.

Teringat masa saya di zaman kanak-kanak dahulu. Semasa saya membesar dahulu, saya bertuah kerana berpeluang melihat burung-burung yang terbang bebas di sekitar kampung. Saya dan kawan-kawan pernah mengejar burung uwak-uwak yang tersesat masuk ke kampung . Burung ini tidak tinggi terbangnya dan berjalan seperti ayam. Seronok sekali masa tu bila kami berjaya mengepung dan menangkap burung tersebut. Sudahnya burung itu menjadi hidangan makan tengah hari!

Pada waktu senja pula kadang-kadang saya berkesempatan melihat burung kerak nasi. Pelik bunyinya tetapi itulah yang disebut-sebut oleh orang kampung bila melihat burung tersebut. Burung ini bersaiz agak besar, lebih besar daripada burung helang. Ekornya panjang dan biasa kelihatan di kampung pada waktu-waktu senja. Saya pun tidak pasti kenapa orang kampung saya memanggil burung itu burung kerak nasi!


Di sebelah malam pula. bunyi patukan burung tukang membelah sunyi malam di kampung saya. Di kampung saya banyak pokok kelapa. Burung-burung tukang biasa nya akan mula 'bekerja' menukang bila malam semakin larut. Bila keadaan sunyi, maka amat jelas sekalilah bunyi ketukan itu. Saya dan kawan-kawan pernah juga pergi 'menyiasat' batang-batang pokok kelapa yang pernah 'ditukang' oleh burung-burung tukang ini.



Burung kunyit, itu satu lagi jenis burung yang selalu terbang bebas di kampung sana semasa saya di zaman kanak-kanak dahulu. Burung ini kecil saja saiznya dan berwarna kuning. Agaknya mengambil kira bulu nya yang berwarna kuning seperti kunyit inilah maka orang memanggilnya burung kunyit. Burung-burung murai dan burung gembala kerbau atau kami panggil burung Ba pula memang mudah dilihat. Kadang-kadang burung-burung ini seperti jinak. Banyak lagilah burung-burung yang mudah dilihat pada waktu itu.

Itu dulu, keadaannya amat berbeza sekarang. Sekarang burung-burung yang saya sebutkan itu sudah amat jarang kelihatan di kampung saya. Bila balik bercuti ke kampung, tiba waktu malam, tiada lagi bunyi burung tukang membelah sunyi malam. Yang kedengaran hanyalah bunyi-bunyi kenderaan. Burung kunyit, burung kerak nasi, burung Ba, burung uwak-uwak sudah tidak kelihatan. Kesian generasi muda sekarang, mereka tidak lagi berpeluang menyaksikan sendiri burung-burung ini terbang bebas dari pokok ke pokok.


Mereka tidak lagi berkesempatan melihat burung-burung ini terbang bebas di halaman rumah. Mereka juga tidak lagi dapat mendengar bunyi kicauan burung-burung. Mereka tidak lagi dapat mendengar bunyi ketukan burung tukang pada waktu-waktu malam.
Saya pernah bercerita kepada anak-anak tentang pengalaman yang saya lalui sewaktu saya sebaya mereka. Bila melihat mereka mendengar dengan penuh minat, contohnya mengenai burung-burung yang saya sebutkan di atas tadi, timbul rasa kesian kepada mereka. Oh.,,..anak-anakku tidak lagi berpeluang menikmati semua itu. Bertitik tolak daripada cetusan itu, saya mengajak suami, mencari luangwaktu senggang suami dan saya, untuk membawa anak-anak melawat Taman Burung di Seberang Jaya. Mudahan anak-anak saya mendapat manafaat daripadanya walaupun sedikit.



Geram betul lah!

Saya yang menurut perintah!
Isk isk isk meluat betul lah dengan ayat tersebut! Saya ni jarang marah, tapi bila dah mula marah, memang susah nak reda! Macam-macam hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah membuatkan marah saya membuak-buak.

Kelemahan saya mungkin kerana diri kurang berkemahiran memprotes secara bersuara. Mungkin kerana asuhan mak ayah saya yang banyak menyerapkan sikap bersabar dalam diri. Saya lebih suka mengambil sikap memprotes secara senyap. Tindakan ini kadang-kadang menjadi bila orang yang kita protes tu tahu bahasa tetapi bila dia jenis tak tahu bahasa atau buat-buat tak tahu bahasa atau dalam erti kata lain buat bebal je, maka protes senyap ini kurang berkesan.


Saya geram bila ada pihak yang cuba untuk menidakkan hak saya. Kenapa harus berprasangka dengan kemampuan orang lain? Jika seseorang itu berhak mendapat haknya, kenapa pihak yang satu lagi perlu mencantaskannya? Saya geram bila hak untuk menyambung belajar pun tersekat gara-gara sikap 'penilai' yang berat sebelah dan mahu menyekat peluang orang lain!