Saturday, November 27, 2010

Aktiviti Anak-anak

Sudah seminggu cuti sekolah berlalu. Ramai dah yang bercuti barangkali dan tak kurang juga agaknya yang balik kampung dan sebagainya. Kami sekeluarga belum sempat bercuti ke mana-mana lagi. Duduk saja di rumah. Mungkin seminggu dua lagi baru dapat ke mana-mana. Kebetulan pula khabarnya ibu dan adik mahu datang ke sini. Jadi kami tinggu saja di rumah.

Maka aktiviti masa cuti anak-anak diisi dengan aktiviti dalam rumah saja lah. Anak yang bongsu macam biasalah tak sudah-sudah dengan playstation dan games onlinenya. Kadang-kadang kami anak beranak lawan catur. Anak yang sulung pula lebih suka mengadap novel, sampai dah bertimbun-timbun novel koleksinya. Yang kedua pula gemar melukis. Kalau keluar ke pasaraya, benda yang dicarinya adalah kertas lukisan dan pen lukisan. Memang dia ada bakat semulajadi.

Teringat zaman kanak-kanak dulu. Masa zaman sekolah dulu, abang pun suka melukis, Habis dinding rumah mak dibuat mural. Dan sekarang si Nana memiliki bakat seperti bapa saudaranya.

Antara koleksi lukisan nana











Tuesday, November 23, 2010

Selamat bercuti kepada murid-murid dan guru-guru seluruh Malaysia!

Selamat bercuti kepada semua murid-murid dan cikgu-cikgu. Alhamdulillah ada masa sikit untuk buat aktiviti bebas. Tak perlu nak semak-semak buku tiap-tiap hari lagi dah. Tahun ni tak perlu banyak kali ke sekolah pd masa cuti ni , lega sangat.

Mungkin ramai yang mula menikmati cuti-cuti Malaysia. Bawa keluarga berjalan2 atau setidak-tidaknya balik kampung, kecohkan rumah datok nenek. Teringin juga nak balik ke Kampung Air Tawar, bercuti di rumah Che cuti ni, tapi nampaknya buat masa ini belum pasti. Kebetulan pula Disember nanti saya sendiri ada final exam. Kesian juga dekat anak-anak. Harap-harap la jugak bawa mereka ke mana-mana walau beberapa hari.

Thursday, November 11, 2010

Antara anak sendiri dan anak-anak murid..

Hari ni keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Bagi seorang guru, terutamanya yang mengajar Tahun Enam pasti debar di dada melebihi debar pelajar. Sejak mula melapor diri di sekolah pertama dulu , iaitu kira-kira 17 tahun yang lalu, saya telah diamanahkan untuk mengajar tahun enam. Dalam tempoh perkhidmatan saya, tidak pernah setahun pun terlepas dari mengajar di Tahun Enam.
Sebenarnya memang setiap tahun, saya akan diburu rasa gelisah, dada berombak2 kerana berdebar dengan keputusan yang bakal dicapai. Kalau silap hari bulan boleh kena sakit jantung dibuatnya. Bukan apa, tanggungjawab yang dipikul bukan sedikit. Kalau lingkup pencapaian subjek yang kita ajar, maka lingkuplah keseluruhan pencapaian sekolah. Jadi memang setiap tahun berdebar jer lah dibuatnya bila tiba waktu keputusan nak diumumkan.
Dan hari ini, dada saya berganda debarnya. Ini kerana anak kedua saya pun mengambil UPSR. Tapi, entahlah, saya terlalu debarkan anak-anak murid saya sehingga bila ada yang cadangkan saya pergi saja ke sekolah anak yang terletak tidak jauh dari sekolah saya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan anak, saya kata, tak apa, saya nak lihat dulu keputusan anak-anak murid saya.
Setelah keputusan dimaklumkan, saya lega kerana peratus subjek yang diajar meningkat hampir menyamai target dan paling lega bila peratus keseluruhan telah meningkat sebanyak 20% berbanding tahun lepas. Namun dalam kelegaan itu, saya sedikit terkilan kerana beberapa orang murid yang rasa saya memang layak mendapat 7A berdasarkan peperiksaan dan ujian yang dijalankan sebelum ni, tup2 mendapat 6A 1B. Menangis teresak2 murid2 tersebut. Dan dalam waktu saya cuba menenangkan perasaan murid-murid saya ini, tiba-tiba anak kedua saya menelefon saya memberitahu dia gagal mendapat 5A, sekadar 4A 1B. Mana nak saya dahulukan. Pujuk anak dan pujuk anak-anak murid.
Melalui telefon, saya memujuk dan menenangkan anak saya. Saya katakan kepadanya, dia dah berusaha sehabis baik dan saya memang nampak peningkatan pencapaiannya sebelum ini. Namun apa nak dikatakan, satu subjek tersasar mendapat B. Saya katakan lagi kepadanya, mama bersyukur dan gembira walaupun Nana mendapat 4A 1B. Mama tahu Nana boleh mencapai keputusan yang lebih baik nanti. Selepas menutup telefon, saya kembali kepada anak-anak murid saya yang masih menangis teresak2.
Saya dan beberapa orang guru menenangkan mereka dan memberi kata nasihat serta perangsang kepada mereka agar mereka sedar bahawa mereka telah mencapai keputusan yang baik sebenarnya. Mereka dah berusaha bersungguh-sungguh dan kami nampak kesungguhan itu. Selepas dipujuk dan diberi perangsang, akhirnya murid-murid harapan tadi kembali tenang dan tak lama selepas tu dah kembali tersenyum!
Begitulah situasi yang dilalui oleh saya dan guru-guru Tahun Enam setiap tahun.

Sunday, November 7, 2010

Suka-suka dia saja....

Pagi ini, saya sempat membelek-belek berita secara online. Nak cari surat khabar di luar sana, jalan masih ditutup. Sewaktu membelek2 berita, mata terfokus tentang satu rencana. Saya kongsikan petikan rencana tersebut dengan para pembaca dan kalau sudi fikir, fikir-fikirkanlah....

Bahasa Melayu dan sekolah vernakular
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

DESAKAN Ahli Parlimen Bukit Mertajam, mahukan guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Cina (SJKC) mesti menguasai bahasa Cina bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran jelas menunjukkan siapa mereka sebenarnya. Lebih ekstrem lagi, beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya guru bahasa Cina mengajar Mandarin di sekolah kebangsaan jika tidak memahami bahasa Melayu. Dua isu yang jauh berbeza.

Pertanyaan saya, di manakah negara kita berada sebenarnya? Anak-anak bukan Melayu sepatutnya sejak kecil sudah menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Kenapa perlu perkenalkan guru bahasa Melayu sedemikian rupa di sekolah vernakular? Bahasa Melayu di peringkat sekolah adalah untuk tujuan pemantapan, bukannya untuk belajar mengeja dan belajar bertutur. Tidakkah kita sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nombor satu negara yang mesti dikuasai dan dituturkan sejak anak-anak ini masih rebung?

Selaku Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau memberikan input untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, bukan sekolah perkauman. Pemantapan masa depan amat penting untuk generasi akan datang. Sekolah perkauman tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan yang sedia ada, jika tidak diperbaiki dan diatasi kelemahan yang sedia ada.

Apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memperkasakan anak bangsa dan rakyat negara ini semuanya ditentang. Semuanya tidak betul. Bayangkan jika mereka memerintah, sudah tentu guru-guru bahasa Melayu, yang kebanyakannya guru Melayu, akan dipaksa untuk memperkasakan sekolah vernakular. Maklum sahajalah guru bukan Melayu tidak mahu mengambil option bahasa Melayu sebab tidak ada nilai komersial. Apakah mungkin sekolah kebangsaan juga akan ‘divernakularkan’?

Persoalannya, susah sangatkah belajar bahasa Melayu? Cuba kita buat perbandingan bagaimana mereka yang datang ke negara kita untuk mencari rezeki seperti pekerja Bangladesh, India dan sebagainya, bagaimanakah mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa begitu cepat tidak sampai setahun. Hari ini kita bukan bercakap jangka masa setahun, tetapi sudah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kalau ada yang boleh, cara percakapannya amat meloyakan.

Saturday, November 6, 2010

Suspen sungguh!

Di Pumpong



Semalam, konon2 nk pergi tengok keadaan bah di sekitar rumah lama di Jalan Stadium,alih-alih terperangkap! Bila sampai di Jalan Stadium, tengok jalan dh penuh dengan air bah. Kereta-kereta yang meredah laluan dah banyak tersangkut. Nak pusing tak boleh sebab jalan sehala dan ada pembahagi jalan di tengah-tengah. Kalau terus tunggu harus2 terperangkap dalam air bah. Mahu tak mahu, suami terpaksa bawa kereta secara mengundur untuk keluar dari Jalan Stadium. Suspen , sebab jalan sehala dan ada kereta yang masih terus masuk ke jalan tersebut kerana tidak tahu apa yg berlaku di hadapan.

Bila dah dapat keluar dari kawasan tadi, satu lagi dugaan terhidang di hadapan. Jalan bersebelahan KFC pun penuh dengan 'air milo'! Tak ada pilihan lain, perlu redah! Kalau tunggu mesti terperangkap dalam kereta. Alhamdulillah, Allah permudahkan, dapat melepasi laluan air bah sejauh 50 meter tu. Pucat kelat muka anak-anak, muka mak nya pun! Terus pecut balik ke rumah, syukur tak ada apa2 yang buruk berlaku.

Friday, November 5, 2010

Macam-macam cerita bila ada Pilihanraya ni...

Tinggalkan seketika cerita pasal banjir.
Tukar topik politik pulak. Semlm telah diketahui keputusan pilihanraya di Galas dan Batu Sapi. Tahniah kepada yang menang dan kepada yang kalah, perlulah terima kenyataan walaupun pahit. Biasa lah, adat pertarungan, ada menang, ada kalahnya. Orang yang tidak mampu menerima kekalahan, lain kali jangan masuk gelanggang.

Bila adanya pertandingan macam ni, ada baik dan buruknya.

Tengok la, dulu orang tak tahu pun kt mana GALAS, kat mana Batu Sapi. Bila diadakan medan percaturan politik, baru lah kita tahu wujudnya Galas. Baru lah rumah2 orang asli dikunjungi dengan begitu mesra sekali! Barulah wajah2 orang asli yang berketak2 nya dapat disapa. Agaknya orang2 asli tu pun jadi culak, yelah, sebelum ni, sapa pun tk ambik berat, sapa pun tk pernah bertanya kabar, apatah lagi nak bersalam atau nak bermanis2 wajah dengan mereka.

Lagi satu paling ketara bila berlakunya pilihanraya macam baru2 ni, kewarasan manusia makin menipis. Apa ke badi nya ntah lah. Yang sebelum ni boleh bersembang elok, boleh bersabar dengan macam2 perkara, bila tiba time berkempen, manusia dah jadi kurang waras! Budi bahasa dibuang jauh2 ke kaki langit! Yang terucap di bibir mulut cuma maki hamun, umpat-mengumpat, dan paling memalukan carut-mencarut laju jer keluar daripada mulut. Kupiah kat kepala pun tk ingat dah. Ulamak dan jadi Fulamak! Iskkkk, apa nak jadi dengan orang kita ni? Adakah kita perlu menjadi orang lain bila berkempen? Adakah kita perlu mengorbankan tatasusila dan peradaban semata2 untuk meraih undi?

Sungguh memualkan....memalukan...!

Kurang Cakna


Pagi dan tengah hari tadi, keluar cari stok makanan. Sempat juga tinjau2 paras air di sekitar Alor Setar ni. Makin naik nampaknya. Banyak kawasan yang semlmnya kering, hari ni telah dipenuhi air. Banjir belum menunjukkan tanda akan reda. Walau pun hujan dah berhenti sejak 2 hari lalu, tp makin banyak kawasan dipenuhi air. Entahlah, beginilah bila hal2 yang berkaitan kepentingan saliran dan perparitan yang sempurna diambil mudah.

Sebelum ni, banyak longkang2 tersumbat, tp jarang sangat pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan. Longkang besar pun penuh dengan pokok2, penuh dengan sampah. Masing2 buat tak tahu! Bila dah berlaku banjir besar macam ni, baru kalut nak korek. Kerja kurang cerdik! Pembangunan kiri kanan belakang depan duk buat. Taman2 perumahan tumbuh macam cendawan lepas hujan. Habis tanah bendang ditukar status utk dijadikan tempat kediaman. Bina itu, bina ini, tapi saliran dan sistem perparitan tidak selari. Masih di tahap lama. Pentadbiran kerajaan negeri ni tak da fikir ke semua ni? Iskkk payah bila yang jadi pemimpin atasan ni fikiran tak maju ke depan. Lambat pick-up...

Thursday, November 4, 2010

Air oh air.........


Semalam, pagi-pagi lagi kawan sekerja telefon bertanyakan tentang bekalan air di kawasan tempat tinggal saya ok ke tidak. Terkejut juga sebab sebelum keluar rumah tadi, memang air ada. Rupa-rupanya dia baru sahaja mendapat berita bahawa di seluruh Alor Setar bakal menerima gangguan bekalan air selama 3 hari!

Balik ke rumah jiran2 yang berdekatan beritahu air dah tk ada. Tapi alhamdulillah, masuk ke rumah, air masih ada. Agaknya sebab kami guna tangki besar dan 2 pam dipasang atas dan bawah sebelum ni cukup membantu. Jadi kami tak de lah putus air. Alhamdullah. Kesian kat orang lain yang terpaksa berdepan dengan masalah ni.

Bila berdepan dengan situasi ni, teringat masa tinggal di Besut dulu. Lebih kurang 10 tahun yang lalu kedai kami di Besut dimasuki air bah sampai paras lutut. Habis perabot dlm kedai rosak sebab tk sempat nak angkat. Yang menyedihkan juga, bekalan air terputus, eletrik pun sama. Masa ni terpaksa beli air mineral berpuluh botol. Memang tak boleh lupa lah kenangan tu. Maka hari ni, saya rasa bersyukur sangat, sebab dalam orang kelam kabut terputus bekalan ain, saya dan keluarga masig mempunyai bekalan air yg cukup untuk minum, untuk mandi dan untuk mencuci. Alhamdulillah.

Wednesday, November 3, 2010

Banjir Di Kedah





Agak lama tidak menurunkan catatan di blog ni. Sentiasa diburu masa yang tidak pernah cukup, itu penyebabnya. Sebenarnya, banyak yang nak diceritakan, tetapi terpaksa disimpan dahulu kerana mencari ruang masa.

Hari ini ada ruang renggang masa, jadi boleh lah mencatat beberapa perkara. Pertama sekali saya nak cerita pasal banjir. Tahun ni sekali lagi Kedah diuji dengan bencana alam. Suspen juga bila dengar kawasan2 'atas' dah mula dilimpahi bah. Takut air bah turun ke Alor Setar pulak. Tapi setakat ni, alhamdulillah sekitar dalam bandar Alor Setar ni masih selamat walaupun kawasan yang berhampiran sudah ditangkungi air bah.

Ini lah kesannya bila pembangunan tidak seimbang dengan penyediaan saliran yang baik. Di Jitra misalnya, merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir. Kesian bila tengok keadaan rumah dan persekitaran di Jitra. Nak buat macam mana....

Tuesday, August 31, 2010

Bulan Puasa : Pengalaman 30 tahun yang lalu...!

Sedar tak sedar, Ramadhan semakin meninggalkan kita. Cepat benar rasanya.
Bila tiba bulan puasa ni, macam2 kenangan boleh kita kongsikan bersama.
Saya pun ada satu pengalaman yang boleh dikongsikan . Dah lama dah!

Waktu tu, saya masih lagi bersekolah rendah. Lebih kurang 30 tahun yang lalu! Ceritanya macam ni. Di kampung saya, pada masa tu masih serba kekurangan dari segi infrastruktur. Orang2 kampung pun masih serba susah. Nak beli radio tk mampu, apa tah lagi televisyen. Kebanyakanya adalah keluarga nelayan.

Jadi, bila waktu berbuka, orang2 kampung akan mendengar bunyi bedok. Bunyi bedok di masjid akan kedengaran menandakan telah masuk waktu berbuka. bagi orang kampungku yang agak jauh dari masjid, mereka akan mendengar bunyi bedok dari surau kampung kami. Surau tersebut betul2 berada di hadapan rumah mak saya. Kalau tidak diketuk bedok tu, maka, mereka tidak akan mendengar tanda masuk waktu berbuka.

Biasanya bedok ni dipalu oleh orang lelaki. Nak dijadikan cerita, satu hari, boleh dikatakan kebanyakkan kaum lelaki turun ke laut. Yang ada kat rumah2 adalah terdiri daripada orang2 perempuan. Jadi tak ada lah orang nak palu bedok . Kalau tak dipalu, kesian pulak dekat orang kampung yang tinggal jauh dari masjid tu. Mesti mereka tertanya2 dah masuk ke belum waktu berbuka?

Jadi, dipendekkan cerita, saya telah secara sukarela bersetuju dengan cadangan mak saya untuk memalu bedok!. Nak palu bedok ni kena ada cara2 nya. Bukan main ketuk saja. Tapi sebab saya dah terbiasa mendengarnya, maka hari tu, saya dengan penuh keyakinan telah berjaya memalu bedok bagi menandakan masuk waktu berbuka puasa!
Lepas ketuk bedok, saya terus berlari balik ke rumah untuk berbuka puasa dengan mak dan adik2. Yang paling seronok nya bila dipuji oleh mak!

Itulah pengalaman dahulu yang masih sedar dalam ingatan. Sekarang ni, orang dah tak palu bedok dah. Semua tunggu bunyi azan daripada pembesar suara bilal di masjid2 atau di surau2. Kemudian, dah boleh tengok sendiri jadual berbuka puasa. Dulu mana ada semua tu!

Saturday, August 14, 2010

Hari Kalut Semalaya!

Hari ini dalam sejarah.
Hari ni satu satu lagi paper exam yang perlu dijawab. Jam 2:40 petang ajak suami hantar. Bila sampai di perkarangan Dewan Besar, saya menjadi hairan. Aik, mana pergi semua orang? Sunyi je!

Alamak! Semua orang dah masuk dlm dewan ke? Dada mula berdegup kencang. Gabra dah bila tengok dekat papan kenyataan exam mula jam 2 petang! Bukan pukul 3 ke? Bermakna orang lain dah hampir 1 jam menjawab soalan, saya baru sampai! Alamak, mati lah , tak boleh ambik exam lah kalau macam ni.

Dalam perasaan gabra (nak longlai pun ada ) saya terus menemui ketua pengawas peperiksaan merangkap Pegawai Ketua Wilayah Utara. Dia pandang saya terkebil-kebil sambil tengok jam di tangannya. Saya pulak terus buat muka kesian depan beliau sambil merayu agar dibenarkan mengambil exam biarpun 1 jam dah berlalu.

Setelah berjaya mempamerkan muka kesian , akhirnya saya dibenarkan menduduki final exam untuk semester ni. Tengok jam dah pukul 3 lebih. Masa tu kalau ikutkan rasa panik mesti semua yg dah baca akan hilang lenyap dari ingatan. Apa yang penting saya lakukan waktu tu adalah bertenang. Sambil menarik nafas dalam-dalam , saya baca selawat beberapa kali. ( cubaan untuk bertenang he he ).

Bila dapat kertas soalan, mula-mula macam tertutup je pandangan. Tenang...tenang ' saya memmotivasikan diri sebaik mungkin. Selepas beberapa minit membelek-belek kertas, akhirnya ilham datang! Pulun la menjawab sampai tak sempat angkat kepala! Dan alhamdulillah, elok2 saja cukup waktunya jam 5.15 petang, saya dah dapat menjawab kesemua soalan. Lega!

Sunday, May 9, 2010

SELAMAT HARI IBU


Selamat Hari ibu kepada Che ( mak ) di kampung. Semalam call tak sempat berbual ngan che pun, sebab che sibuk ngan cucu baru yg lahir semlm. Semoga Che sihat dan cergas! Masih terlalu sedikit yang anakanda lakukan dalam membahagiakan Che.

Semoga Allah terus memberikan peluang dan ruang kepada anakanda untuk terus berusaha bagi membalas jasa Che, walaupun anakanda tahu sebesar mana pun yang anakanda mampu lakukan, adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasa Che. Terima kasih, terima kasih..terima kasih.

Saturday, May 1, 2010

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Artikel ini adalah catatan seseorang yang boleh sama-sama kita kongsikan. Semoga kita dapat mengambil ikhtibar atau pengajaran daripadanya.

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.


“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar.. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan.. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?


Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”


Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.


“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”


Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”


Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”


“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”


“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”


Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”


Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”


Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita.. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”


“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.


“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”


“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”


Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.


“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”


“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”

“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.


“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”


Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Tuesday, April 6, 2010

Selamat Ulangtahun Kelahiran ke-62 Che'

c Che' bersama Abang Lie dan Ariffah semasa Hari Raya tahun lalu..

Semalam 5 April hari lahir Che' ( ibu, mak, ibunda ). Genap umur Che' 62 tahun.

Kali ni pun tak sempat raikan bersama adik-beradik lain. Cuma sempat ucap selamat dari kejauhan. Semoga Che' dipanjangkan umur, disihatkan tubuh badan, sentiasa berada dalam rahmatNya sentiasa. Insyallah mudah-mudahan di lain kesempatan dapat bersama adik beradik yang lain meraikan ulangtahun kelahiran ibunda tercinta.


Dalam usia emas ini, Che' masih tak menang tangan membantu menguruskan hal ehwal penduduk kampung. Walau pun bukan ketua kampung, tapi sebagai orang yang diamanahkan menjaga kebajikan orang-orang kampung , Che' tetap aktif seperti dulu. Kadang-kadang kesian bila telefon, Che' kata sakit badan, sakit lutut...tapi bila orang minta tolong, Che' tak pernah berkata tidak.


Baru-baru ni, susah hati juga bila dengar Che' tak berapa sihat dan pening-pening. Terkejut bila dapat tahun tekanan darah Che' mencecah bacaan 190. Beberapa kali check pun masih tinggi bacaannya. Sah , Che' dah ada darah tinggi tu. Risau dibuatnya. Jadi , memandangkan jarak dan komitmen dengan tugas, memang tidak dapat kerap cuti balik ke kampung ziarah Che'. Jadi telefon lah yang menjadi penghubung untuk bertanya khabar. Hari-hari telefon tanya sebab risau bila dapat tahu Che' muntah-muntah sebab terlalu pening. Hari-hari telefon tanya Che' makan tak ubat darah tinggi yang doktor bagi tu. Bukan apa, risau kalau-kalau Che' duk makan ubat kampung pulak. Alhamdulillah, kata Che' , ubat doktor bagi dia makan hari-hari, tak tinggal.


Sebagai anak yang tinggal berjauhan ...kadang-kala rasa terkilan juga bila tak dapat jaga ibu bila ibu sakit. Hanya bertanya khabar dan doa sahaja yang mampu dipanjatkan kepadaNya mudahan Che' sihat dan hidup bahagia di samping anak-anak dan cucu-cucu Che'.

Wednesday, March 17, 2010

Lawatan ke tapak lagi..

Hari ni lawat tapak umah ...
alhamdulillah, dah banyak yang dah siap. Agak-agak sempat tak pindah raya nanti ni?
Bila tengok kerangka rumah sendiri ni, rasa lega.

Kata 'Cik' (ibu), "Apa-apa pun rumah sendiri kena ada untuk perlindungan kita dan anak-anak"

Kata ibu mentua pulak" Mak nak tengok rumah Am ada sebelum mak tutup mata..." hehehe sayu sungguh!

Kata suami kat saya " Ini lah titik peluh kita. Buat umah biaq puas hati, buat sekali je, jangan berkira sangat, janji puas hati..." tu le, mula-mula nak buat sederhana saja, alih-alih dah tambah sana, tambah sini...banyak jugak la habisnya! hu hu! Tak pe, papa kerja lebih kuat , kampuiiii lagi ye!

Kata suami kat anak-anak " Ni mama ngan papa tinggai kan umah ni utk hangpa. Hangpa jaga elok-elok nooo, jangan duk jual! Jangan duk sandaq kat bank, jangan duk buat tk tentu hala ....hangpa kena ingat, mama ngan papa buat umah ni, dengan hasil titik peluh mama ngan papa, nak bagi hangpa senang, nak bagi hangpa selesa duduk..... Hehehe!~ panjang lebar dia peringatkan anak2, macam la budak2 tu reti nak fikir lagi :-)

Friday, March 12, 2010

Selamat Hari Lahir Nana


Antara lukisan-lukisan Nana

Ulangtahun Kelahiran Syarifah Nur Fairuz Serena.
Hari ke-12 baru dpt nak masukkan dlm entry pasal hari jadi Nana. Nak buat macam mana, mama sibuk .

Hari jadi Syarifah Nur Fairuz Serena yang kami panggil Nana adalah pd 1 Mac yang lalu. Nana anak kedua saya. Dah 12 tahun dia ! Bertambah besar dah anak mama sorang ni.

Dalam ketiga-tiga orang anakanda ni, masing2 punya perangai yg berbeza. Nana ni perangainya angin sikit. Mudah naik hangin satu badan! Tapi dalam bengis2 pun, ada lembutnya. Buktinya dia cukup menyayangi binatang, terutamanya kucing. Pantang jumpa anak kucing terbiar, mula la dia nak bawa balik, nak bela. Pernah dulu anak kucingnya mati, sampai teresak2 menangis tu.

Nana mempunyai minat yang mendalam dlm bidang seni. Kalau tgk cara berjalan, macam kayu ! hi hi tu kakak dia punya komplen. Tapi dalam kayu2 pun, dia mampu menari tarian tradisional dengan lemah gemalai. Saya pun terkejut bila menyaksikan sendiri persembahannya sewaktu Hari Anugerah sekolahnya. Bila tengok dia menari, saya teringat pada nenek saya, kiranya moyang kepada Nana. Moyang Nana dulu aktif menari makyung.

Selain suka menari, Nana juga sukakan muzik. Cepat belajar bila pegang alat muzik. Menyedari minatnya ini, Papanya telah belikan sebuah organ. Nana juga dari kecil suka melukis. Macam-macam dilukisnya. Dia suka meluahkan perasaannya melalui lukisan. Kalau kena marah ke, atau kalau dia tk puas hati, dia akan luahkan melalui lukisannya. Kadang-kadang whiteboard kat rumah ni jadi tempat dia meluahkan perasaan.

Menyedari keistimewaan yang ada pd dirinya, kami bercadang nak hantar dia belajar tentang seni lukis ni kepada sekolah menulis. Mudahan bakat semulajadinya dapat diasah dan disuburkan lagi.

Kepada Nana, mama dan papa sentiasa mendoakan kesejahteraan Nana. Semoga Nana akan menjadi anak yang solehah, menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Thursday, February 4, 2010

Rumahku Syurgaku ( Kisah kena kapor )

Tapak kolam
Tapak rumah

Masa mula-mula tanah diratakan.


Sebelum ini tanah penuh dengan pokok ala-ala hutan jugak la..



Tadi petang, sempat ke tapak rumah. Tinjau-tinjau kerja-kerja pembinaan rumah yang sedang giat dijalankan.
Kerja pembinaan rumah di atas tanah seluas 11,160 kaki persegi ini mula dijalankan pada 30 Januari yang lalu. Lega sikit hati bila tengok kerja-kerja pembinaan dah dimulakan. Menurut kontruktur yang membina rumah kami ini, jangkaan siap adalah bulan Mei atau Jun, tu pun bergantung kepada faktor cuaca lah.

Asalnya saya dan suami bercadang membeli rumah siap dari projek-porjek perumahanan yang semakin rancak pembinaannya di sekitar Alor Setar ini. Namun akhirnya kami sepakat untuk membina rumah impian kami sendiri di tanah sendiri yang juga terletak di Bandaraya Alor Setar ini.

Sebenarnya dari tahun lepas lagi kami dah mulakan proses untuk membuat rumah. Tapi awal-awal lagi kami dah kena kapur dengan seorang penjawat awam yang tidak amanah. Kami beri amanah kepadanya untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan menyediakan pelan rumah. Wang sebanyak RM3800.00 dihulur sebagai bayaran untuk lukis pelan rumah. Tapi tunggu punya tunggu , dari bulan berganti bulan, proses masih belum selesai. Macam-macam alasan diberikan oleh pegawai berkenaan untuk menyakinkan kami bahawa sebelum nya ok. Namun, saya merasakan macam ada yang tak kena. Lalu suami mula menyiasat sendiri. Siasat punya siasat, rupa-rupanya kami dah kena kapur! Pegawai di Majlis Penbandaran itu rupa-rupanya telah kelentong kami. Suami pergi sendiri ke pejabat arkitek seperti yang tertera di surat yang disertakan oleh pegawai terbabit kununnya itulah arkitek yang sedang menyediakan pelan untuk rumah kami. Rupa-rupanya tuan punya pejabat itu yang juga arkitek terbabit sebenarnya telah pun meninggal dunia dan ia tidak lagi beroperasi.

Bila sedar akan hal tersebut, suami telah menemui ketua kepada pegawai terbabit di Majlis Perbandaran Alor Setar. Apabila ditunjukkan surat yang dihantar kepada kami, nyatalah surat itu adalah palsu semata-mata. Berani sungguh dia! Penjawat awam terbabit sungguh berani kerana memalsukan dokumen kerajaan negeri dengan meniru tanda tangan ketuanya sendiri! Tembelangnya akhirnya pecah. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga. Selicik-licik dia berlakon, akhirnya menggeletar di hadapan suami. Merayu-rayu dia supaya suami tidak panjangkan hal ini kepada pihak atasan. Hah, takut hilang kerja lah tu! Bila tanya pasal wang tu, katanya dah habis dibelanjakan dan dia berjanji akan bayar sikit-sikit. Amboii mudahnya dia! Kerana tidak puas hati, suami mengugut akan membuat laporan polis. Merayu-rayu dia mohon dikasihani. Bila buat kerja jahat tak fikir, bila dah terkena balik, baru nak merayu-rayu. Suami berkeras mahukan duit kami balik dalam masa 7 hari.

Beberapa hari selepas itu, kami dihubungi oleh si isteri penipu tadi. Hah, rupa-rupanya dia minta isterinya tolong settlekan duit kami. Isk tak malu sungguh. Bila terdesak cari isteri. Si isteri si polan ini memohon maaf di atas perbuatan suaminya dan berjanji akan membayar balik duit yang telah dijolikan oleh suaminya tu. Semasa mereka menyerahkan wang kos tersebut, suami sempat bagi ceramah free dekat si polan tu. Yang si polan tu hanya menunduk kepala sorok muka penipu dia tu.

Moral dari kisah ini adalah, jangan mudah percaya kat orang. Kena selalu berhati-hati. Penyangak sentiasa ada di mana-mana. Kadang datangnya dengan muka yang baik-baik. Kadang datangnya dari orang yang ada ilmu agamanya. Tapi bila babitkan hal wang, semua boleh tumbuk tanduk kat atas kepala. Jadi.......berhati-hatilah.

Kisah Benar 3 - Mulut Bacul Seorang Lelaki

Orang lelaki jangan lah melenting pulak bila baca tang tajuk dlm entri kali ini ya.
Sebenarnya, kali ini saya ingin bercerita mengenai busuk dan baculnya mulut seorang waris murid yang buat hal di sekolah kami baru-baru ini. Alah, si bapa yang datang serbu bilik guru dan menumbuk guru tu lah.

Kali ini, dia dah bawak anak dia keluar dari sekolah. Alhamdulillah! Rasa macam nak buat kenduri jer la! Tapi yang tak berapa seronoknya, si bapa ni mula reka dan jaja cerita busuk kepada guru-guru di sekolah baru anak dia. Sampai ke kedai makan dan kedai2 runcit pun si bapak ni dengan penuh kebaculannya menjaja cerita yang direkanya itu.

Menurut nya, dia menukar anak nya ke sekolah lain kerana guru-guru di sekolah saya ni tak tau mengajar! hu hu hu! Maka guru-guru di sekolah baru tu mendengar lah dengan penuh kusyuk cerita busuk nya itu. Nak jadi cerita, salah seorang guru di sekolah terbabit telah menghubungi salah seorang kenalannya di sekolah saya. Maka cikgu berkenaan pun bercerita lah tentang apa yang disampaikan oleh si bapa tadi.

Busuk betul la mulut dan hati si bapa tadi. Buruk anak dia yang diwarisi dari buruk perangai bapaknya tu disorot rapi. Untuk melindungi dari orang tahu hal sebenar, maka dia dengan muka tak malunya mengada-adakan cerita yang bukan2 dengan memburukkan guru-guru di sekolah lama anak dia. Tapi selama mana lah dia mampu menyorokkan busuk perangainya itu? Dia dengan bangga nya memberitahu masyarakat luar bahawa dia pernah menampar guru-guru di sekolah lama anaknya! Nak bagi tau dia ni saper? Samseng? Ingat orang hormat ke? Silap-silap kena ludah dengan orang ada lah nanti.

Itu lah salah satu perangai buruk manusia yang suka melonggokkan kesalahan kepada orang lain apabila berlaku satu-satu perkara yang tak baik kepada diri sendiri. Manusia sespesis ini memang merupakan parasit, virus pun ya, yang bukan saja boleh merosakkan suku sakatnya, malahan boleh mengganggu ketenteraman orang lain. Jadi kepada para waris kepada pelajar-pelajar sekolah, ingatlah sikap hormat kepada orang yang mendidik dan memberi ilmu kepada anak-anak anda perlu ada. Sebesar mana pun pangkat darjat kita, kita harus berterima kasih kepada para pendidik yang bukan sahaja mengajar anak-anak kita baca menulis dan mengira, tetapi juga mendidik mereka dengan nilai-nilai baik demi melahirkan manusia yang berilmu dan berakhlak. Kami para pendidik bukan mahu disanjung-sanjung, cukuplah dengan memberi sedikit rasa hormat terhadap tanggungjawab dan kerja buat kami di sekolah.

Thursday, January 28, 2010

Kisah Benar 2. Bapa murid serang guru!


Kisah benar ni memang benar-benar berlaku di sekolah saya 3 hari yang lalu. Kisah seorang guru diserang oleh seorang bapa yang lagaknya mengalahkan gengster !
Kejadian yang tidak terduga ini berlaku di depan mata saya sendiri. Lokasi kejadian adalah di Bilik Guru! Waktu tu jam 1:4p tengah hari. Waktu tamat sesi persekolahan hari tu. Sewaktu saya melangkah masuk ke Bilik Guru setelah mengajar 5 waktu straight. Tiba-tiba saja seorang waris , iaitu bapa kepada seorang murid Tahun Enam meluru masuk ke Bilik Guru dan memekik-mekik memanggil nama salah seorang guru yang memang ada di dalam bilik guru pada waktu tu. Kami yang kebanyakkanya guru perempuan terpinga-pinga. Dalam nada suara yang tinggi walau pun saya tak faham mula nya apa yang dijeritkan, maklum la dia menjerit dalam bahasa Tamil, tapi saya dimaklumkan dia mencarut-carut tanpa segan di hadapan anaknya, di hadapan guru-guru lain dan juga di hadapan waris-waris lain yang kebetulan pada waktu itu ada berdekatan bilik guru.


Dalam keadaan tergamam tu, cikgu lelaki itu meminta waris tersebut pergi ke opis untuk berjumpa dengan Guru Besar terlebih dahulu. Tapi belum sempat habis dia bercakap, satu penumbuk hinggap ke mukanya! Melihatkan keadaan sudah tidak terkawal, beberapa orang guru perempuan yang ada di dalam bilik guru meluru ke arah cikgu lelaki yang diserang itu. Tanpa rasa takut, kami cuba menghadang bapa murid yang sudah naik hantu itu dari terus menumbuk guru tersebut. Kesian, ada seorang guru perempuan yang cuba meredakan keadaan turut terkena pukulan waris murid tersebut. Kurang ajar betul. Nasib baik le tk kena muka saya! Kalau tidak, berpinor la dibuatnya!

Dalam keadaan marah macam dirasuk hantu tu, bapa murid tu sempat mengugut macam samseng jalanan. Sampai sanggup mengugut untuk bunuh cikgu tersebut! Kurang ajar sungguh! Suka-suka dia saja masuk menceroboh ke bilik guru dan menyerang guru. Memang sebelum ni pun, lelaki itu selalu saja buat masalah. Dari anak nya darjah 1 hinggalah darjah 6, tak habis-habis buat masalah dengan sekolah dan guru. Dari beberapa orang waris, saya diberitahu bahawa lelaki itu memang kaki samseng, bapak nya dulu pun samseng. Kiranya keturunan samseng kampung dusun la tu! itu yang berani sangat masuk sekolah buat kerja bodoh.

Kejadian menyerang guru ini berlaku kerana dia tidak berpuas hati dengan guru lelaki tersebut yang sehari sebelum nya telah menyoal anaknya kerana salah laku disiplin. Budak tu sebelum ni dah banyak rekod kesalahan. Waktu masuk tahun satu dulu pun, dia dah berani buli murid tahun 3! Tak boleh sentuh langsung anak dia tu. Sehari sebelum tu, satu kelas kecoh mengadu kepada guru lelaki tersebut tentang perangai buruk anak samseng tadi. Bayangkanlah baru darjah 6 dah pandai cakap pasal keinginan seks! Jadi bila hal ini diberitahu kepada guru berkenanan, murid tersebut dan saksi-saksi telah dipanggil. Mulanya dia tak mahu mengaku, tapi bila diasak-asak dan saksi-saksi pun tertegas mengatakan ya, akhirnya murid tersebut mengaku. Yang mengejutkan jugak , dia dengan selambar nya mengaku turut melihat video lucah di rumahnya! Bapak dia punya la tu!

Jadi, bapaknya diminta datang ke sekolah untuk diberitahu ttg salah laku anaknya. Tapi bila datang ke sekolah, belum sempat bincang apa-apa, beberapa pukulan penumbuk hinggap kat muka guru . Ada ke patut! Badigol betul! Dakwa bapa murid ini, anaknya tak pernah buat perkara tak elok! Cikgu saja suka buat-buat cerita nak sabotaj anak dia! Adoooiiii gila betul la dia. Anak dia sendiri dah mengaku depan guru, dia pulak kata cikgu pulak saja buat cerita. Apa punya orang lah dia!

Sebelum kejadian ini pun, ada seorang waris ( ibu pelajar ) yang datang ke sekolah siap bawa 2 orang inspektor ke sekolah! Fuhhhhh, hebatnya dia! Siap bawak masuk polis tanpa merujuk kepada pihak pentadbir sekolah, terus dibawanya kedua-dua orang polis tu ke bilik darjah untuk menyoal siasat seorang guru perempuan yang dituduhnya menampar anak lelakinya. Kiranya macam nak tunjuk kuasa lah. Guru perempuan yang terpinga-pinga ini kemudianya dengan rela hati disiasat walaupun nyata cara dan prosedur yang dilakukan oleh kedua-dua penyiasat yang dibawa oleh emak murid terbabit adalah salah sama sekali. Cikgu perempuan itu meminta penyiasat itu bertanya sendiri kepada semua murid di dalam kelas itu ada atau tidak dia memukul murid terbabit. Sebab si ibu, anak nya mengatakan cikgu terbabit telah menamparnya di hadapan kelas . Bila penyiasat tersebut menyoal murid-murid di dalam kelas tersebut, seorang pun tidak menyatakan ya tetapi semuanya mengatakan mereka tidak nampak pun cikgu itu memukul murid terbabit. Hah?? Macam mana cerita?

Si ibu masih tidak berpuas hati, siap ugut nak siarkan dalam surat khabar pulak! Maklumlah, dengar kata sedara dia bekerja sebagai wartawan akhbar! Hebat la tu!

Dua kejadian ini menunjukkan keadaan di sekolah sekarang jauh berbeza dengan keadaan sekolah sedikit masa dahulu. Cikgu-cikgu yang mengajar anak-anak mereka, tidak lagi selamat, walaupun berada di dalam kelas. Ibu bapa dah terlebih pandai. Sehinggakan akal yang ada tidak lagi digunakan untuk membuat pertimbangan yang wajar. Mereka lebih senang menggunakan kepala lutut daripada menggunakan kepala yang ada otak! Sikap angkuh dan merasakan mereka lebih daripada orang lain menyebabkan sesetengah ibu bapa langsung tidak menghormati orang yang memberi ilmu dan memanusiakan anak mereka di sekolah. Nasib guru sekarang jauh bezanya daripada guru pada sedikit masa dahulu. Bila ibu bapa sudah berani mengherdik guru di hadapan anak-anak, bayangkan lah apa pandangan anak-anak mereka terhadap guru mereka. Sikap hormat mereka akan hilang begitu saja. Entah lah................apa nak jadi.........








Friday, January 22, 2010

Kisah Benar

Bila murid mengantuk di dalam kelas, jangan terus sergah atau marah mereka. Tanya dulu kenapa mereka mengantuk waktu belajar. Apa yang mereka buat di rumah mereka semalam. Apa yang mereka makan?

Kenapa saya utarakan perkara ini?

Semalam, bila saya mendengar luahan seorang murid, hati saya benar-benar tersentuh. Bila ditanya mengapa selalu mengantuk waktu belajar di dalam kelas? Jawab murid ini, saya tidur lewat cikgu? Apabila di tanya mengapa tidur lambat? Dia terdiam. Kemudian dia bercerita. Saya ikut mak bekerja. Mak , tukang cuci pinggan di sebuah restoran Cina . Saya pergi bantu mak di situ dari pukul 7 malam dan habis pada pukul 2.30 pagi. Pukul 3 pagi baru saya dapat tidur. Pukul 6 pagi saya bangun dan datang ke sekolah. Mak bawa saya sebab di rumah tak ada siapa. Saya sorang saja.

Kesian,

Terfikir , sampai bila harus murid ini lalui situasi sebegini. Kerja sehingga pukul 2.30 pagi , tidur pukul 3 pagi dan bangun untuk ke sekolah jam 6 pagi. 3 jam saja waktu tidurnya. Bagaimana mungkin dia dapat belajar dengan sempurna andai terusan mengikut ibu bekerja sehingga awal pagi? Bagaimana penyelesaiannya? Mungkin si ibu tiada pilihan lain , selain membawanya ke tempat kerja kerana bimbang untuk ditinggalkan keseorangan di rumah. Jika ini berterusan, bukan sahaja pelajaran anak itu akan terabai, kesihatannya juga akan terjejas. Sebelum ini pun, tahun lepas, murid ini dikhabarkan kerap tidak datang ke sekolah atas pelbagai sebab, antaranya faktor kesihatan.

Harapan saya, agar akan ada pihak yang akan membantu meringankan beban keluarga ini.

Tuesday, January 19, 2010

Merentas Desa ? & Sukan Sekolah

Hari ni bermula lah latihan merentas desa untuk murid-murid di SJKT Barathy. Best juga join anak-anak murid merentas laluan. Kiranya berpeluh jugak sampai ke kaki! Terima kasih la Tuan Arookiasamy sebab tahun ni buat latihan waktu pagi. Tak de la terbakar kulitku! Kalau tahun-tahun sebelum ni, pukul 2:30 petang dah kena salai kat bahang mentari. Berbelang-belang kulit jadiknya.


Sempat lagi tu!


Bukan berposing tau, tapi ni bukti kami ada masa latihan sukan ! he he he!


Cikgu Saralah yang begitu penyabar melayan murid-murid .


Kiri! Kanan! Iskk kena kawad la pulak ye?






.

Monday, January 11, 2010

Kan dah tercedera....!
















Hari kedua persekolahan , dah dijalankan latihan sukan kat sekolah. Alhamdulillah, baru tahu ni latihan dijalankan pada waktu pagi iaitu masa yang pertama dan kedua. Tak ada lah kulit kena salai macam tahun-tahun yang lepas. Terima kasih!

Pagi tadi, semasa latihan lompat pagar, seorang murid telah mengalami kecederaan di kaki. Kecederaan ni boleh berlaku di mana-mana sebenarnya. Dalam duk jaga-jaga dan macam-macam arahan beri tu pun, ada jugak yang sorang dua buat hal sendiri dan natijahnya........ kaki cedera!

Jadi sebagai guru yang bertugas minggu ni, terpaksa lah bawak murid berkenaan ke hospital..
Waktu di hospital terkerut-kerut la dia menahan sakit bila luka di cuci, dibalut dan dicucuk!

Orang yang pandai, belum tentu bijaksana.

Anak-anak didik Tahun 3 yang baru nak menuntut ilmu dengan Cikgu Ku.

Pejam celik pejam celik sudah hampir 2 minggu sesi persekolahan di tahun baru. Baru hari ni dapat sisipkan sedikit cerita.

Hari pertama , biasalah ramai betul ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan keadaan masing-masing. Laluan ke sekolah saya yang terletak di Kompleks Pendidikan ini menjadi sesak teruk. Maklumlah kat situ tertumpu 6 buah sekolah, 3 buah sekolah rendah dan 3 lagi sekolah menengah. Semuanya sebelah menyebelah. Ditambahkan lagi, di situ jugalah terletaknya Pusat Sumber Pelajaran Negeri dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Laluan pula adalah laluan satu hala. Memang sesak sungguh.

Tak pernah kah terfikir oleh mereka yang membina kompleks pendidikan di situ tentang masalah kesesakkan yang berlaku sekarang? Tak terfikirkah mereka untuk mencari jalan untuk mengatasi kesesakkan yang menyesakkan dada ni? Tambah bangunan tu, buat bangunan ni tapi jalinan jalanraya masih macam tu. Dah tk mampu nak menampung pengguna yang hari-hari melalui jalan tu. Ini membuktikan tiadanya perancangan yang rapi dan strategik dalam pembinaan pasarana di kompleks pendidikan ini. Jadi, dipendekkan cerita, ternyatalah kadang-kadang orang yang pandai ni tidak semestinya bijaksana!