Monday, December 7, 2009

PERHIMPUNAN HARI KELUARGA PERDANA PERTUBUHAN KERABAT LONG GHAFFAR KELANTAN











Bertempat di Pantai Air Tawar, Besut. Terengganu, pada Hari Raya AidilAdha ke-3, iaitu bertarikh 29 November 2009, telah diadakan Perhimpunan Kerabat Long Ghaffar Kelantan. Perhimpunan kali ini telah dihadiri lebih kurang 100 keluarga yang datang dari Pahang, Kuala Krai Kelantan dan Besut. YB Haji Mohamad Pahemi, ADUN Kota Putra telah sudi merasmikan perhimpunan kali ini.

Seronok bila dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini. Sayang sekali kali ini, saya dan keluarga tidak dapat balik untuk bersama-sama memeriahkan perhimpunan ini. Insyallah di lain kesempatan, saya ingin sangat mengenali kaum-kerabat saya yang mungkin sebelum ini tidak pernah berjumpa dan tidak pernah kenal.

Gambar-gambar ini pun diberikan oleh adik yang sempat balik dari Johor dan sempat menghadiri perhimpunan hari keluarga perdana ni. Jadi dapat jugak lah tengok kemeriahannya. Dengar kata berbagai-bagai acara diadakan pada hari itu. Semuanya adalah berobjektifkan untuk mengeratkan kembali hubungan sesama kerabat.

Monday, November 30, 2009

MANGSA LANGGAR LARI

Oren sebelum 'dikebumikan'.

Wajah comel Oren.

Oren terlentang kekenyangan.

Sewaktu sampai di muka pintu pagar rumah, mata saya terpandang satu objek di atas jalan. Nampak macam kucing. Naluri mengatakan itu macam si Oren. Saya dan anak-anak bergegas mendapatkan objek di atas jalan raya itu. Sah, kucing yang terkulai di atas jalan raya itu adalah Oren. Rantai di leher Oren mengesahkan itu adalah kucing kami.

Menjerit anak-anak saya apabila melihat keadaan Oren. Oren dah mati! Menitis air mata bila melihat keadaan badan Oren yang cedera teruk. Rasa-rasanya Oren mati dilanggar kereta. Kepalanya cedera parah, sampai tak sanggup saya melihatnya. Oren telah kami kebumikan bersebelahan kubur ABU.

Kesian dan hiba hati saya melihat anak-anak menangis teresak-esak kerana menangisi kematian Oren. Oren ni kucing yang manja. Anak-anak saya pun memang selalu manjakan Oren. Teringat semasa kami mula-mula menemui Oren yang kesejukan berdekatan dengan sebuah pasaraya di Bandar Alor Setar. Masa tu bulan Mei 2008. Kecil lagi Oren waktu tu. Seronok bila tengok anak-anak melayan si Oren ni.



Paling seronok bila tgk time dia makan dan kemudian terlentang kekenyangan. Si Oren ni suka duduk diriba. Selalunya, ketika saya duduk menonton televisyen atau ketika sedang menggunakan komputer, Oren akan naik dan duduk di atas riba saya. Bila turunkan, Oren akan naik semula dan duduk sampai tertido. Kini, dah tak boleh nak tengok Oren lagi. Dah tak boleh nak gelak bila tengok gelagat Oren tidur kekenyangan....Oren kini tinggal dalam kenangan.

Saturday, November 28, 2009

Selamat Hari Lahir Kakak!

Genap 15 tahun umur Ariffah pada 25 November 2009 yang lalu. Saya dan suami kali ni meraikan ulangtahun kelahiran Ariffah yang kami panggil Kakak di sebuah restoran Secret Recipe di Bandar Alor Setar. Dah besar pun anak mama. Saya dan suami suka bercerita kepada anak-anak tentang apa yg mereka selalu buat semasa mereka kecil. Selalu bercerita tentang susah senang menjaga mereka sewaktu bayi dan sebagainya.Kakak adalah anak sulung saya. Sewaktu melahirkan Kakak, saya dan suami baru saja memasuki alam pekerjaan. Masa tu kami tinggal di perantauan.Jadi sejak dari lahir lagi, saya dan suami bersama-sama menjaganya. Saja tidak mahu menyusahkan keluarga, kami berdua sepakat untuk menjaganya sendiri. Biarlah susah senang kami berdua tanggungi bersama. Maklumlah masa tu belum ada pengalaman menjaga bayi. Kekok juga dibuatnya. Pada waktu tu, saya benar-benar terharu dengan kesanggupan dan ketabahan suami semasa menjaga kakak yang baru lahir tu. Dia lah yang memandikan kakak,nampak macam tak kekok langsung walaupun itulah pengalamannya yang pertama. Saya pulak masa tu, belum berani nak mandikan kakak yang belum tanggal lagi tali pusatnya. Gerun saya! Alhamdulillah, dengan izinNya juga, dipermudahkan saya dan suami menjaga kakak. Dia tak banyak meragam. Tak susah menjaganya. Bila kakak berusia 2 tahun, kami balik ke kampung kerana berpindah kerja di sana. Seronok bila melihatkan kakak membesar. Semasa kecil, kakak suka berposing. Pantang disuruh bergaya depan kamera, mula lah dia bergaya macam-macam. Sekarang kakak sudah berusia 15 tahun. Begitu cepat masa berlalu, tapi saya rasakan seolah-olah kakak masih kanak-kanak walaupun sebenarnya dia telah meningkat remaja. Kepada kakak, mama dan papa sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kakak. Kasih sayang mama dan papa akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kakak. Semoga kakak akan menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat juga.

Friday, November 20, 2009

Wajah-wajah UPSR

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.

R.Yugarajan antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR di SJKT Barathy.

Semalam adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua murid yang mengambil UPSR. Ada wajah penuh girang, ada wajah suram. Itu adalah gambaran biasa yang selalu kita saksikan sewaktu tiba saat pengumuman keputusan. Kepada anak-anak murid yang berjaya, syabas dan tahniah. Tahniah juga kepada para ibubapa atau para waris yang begitu bersungguh-sungguh demi menjamin kejayaan anak-anak.

Sempat berbual dengan beberapa orang ibu bapa yang kelihatan muram kerana keputusan anak-anak mereka tidak seperti yang dijangkakan. Kata mereka, tuisyen dah bagi, apa pun dah bagi, tapi keputusan tidak seperti yang diharap-harapkan. Sekadar berkongsi dengan mereka, saya nyatakan kepada mereka, kita sebagai penjaga memang mengharapkan kecemerlangan anak-anak. Pelbagai cara dah kita buat tapi sentuhan terakhir adalah di tangan anak-anak kita sendiri. Pada si ibu yang murung itu, saya nasihatkan dia, usah diberi tekanan kepada anak. Langkah mereka masih panjang. Jangan kerana kegagalan mereka di tahap ini, kita hukum mereka seolah-olah mereka sudah sampai ke hujung perjuangan. Jangan sampai kejadian setahun yang lalu di mana seorang murid telah menggantung diri hanya kerana tidak mendapat bilangan A yang dimahukan oleh ibu bapa mereka! Kepada anak-anak murid yang menangis teresak-esak kerana gagal menggapai kejayaan yang diharap, saya peluk dan bisik kepada mereka, kamu belum kalah. Kamu belum gagal dalam hidup. Usaha lagi dalam PMR nanti. Bukti kat semua orang kamu masih boleh berjaya.

Dalam keriuhan suasana gelak tawa dan tangis, datang beberapa orang ibu bapa kepada saya sambil mengucapkan terima kasih. Anaknya tidak tergolong dalam kumpulan murid-murid pandai. Cemerlang jauh sekali. Setiap kali ujian atau peperiksaan, tak pernah lulus pun. Tapi semalam, murid ini dan ibu bapanya datang kepada saya dengan kuntuman senyum. Kata si ayah, terima kasih cikgu kerana ajar anak saya. Dia lulus! Ingat dia dapat D atau E, tapi dia dapat B! Itu murid dari kelas belakang, yang sebelum ini langsung tak diberi harapan oleh ibu dan ayah nya lulus dalam UPSR. Lalu saya berkata kepada keluarga ini, setiap anak ada potensi. Mungkin dia kurang bijak dalam pelajaran tapi ada kemampuan lain yang tidak ada pada pelajar-pelajar cemerlang. Yang penting sebagai ibu bapa kita perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka kebolehan yang ada pada dirinya.

Itu lah antara cerita-cerita yang berlaku di sekolah saya semalam. Bila tengok surat khabar hari ni pula, bermacam-macam cerita berlaku di sana-sana, semuanya bercerita tentang keputusan UPSR semalam. Dalam banyak-banyak cerita, saya tersentuh hati apabila terbaca tentang kegigihan seorang ibu kepada seorang pelajar cacat di Besut demi melihat anaknya berjaya.

Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.


Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.

Di helaian yang lain pula, saya teruntun hati apabila terbaca kisah seorang murid miskin yang hanya mampu melihat keputuasan cemerlangnya di papan kenyataan tanpa mampu memegang slip keputusan hanya kerana tidak mampu melangsaikan hutang dengan pihak sekolah. Kesian bila melihat dia menangis. Tidak tercetuskan perasaan kesian di hati para guru di sekolah itu untuk mengizinkan dia memiliki slip keputusannya. Entahlah...kadang-kadang kerana perkara wang ringgit manusia seolah hilang nilai kemanusiaan.

Tuesday, November 10, 2009

Bila kita sakit...

Semalam saya dan suami sempat menziarahi seorang rakan sekerja, Guru Penolong Kanan sekolah saya di Hospital Besar Sulaltanah Bahiyah Alor Setar. Bila sampai di wad, saya lihat dia terlantar lemah. Paling mengharukan bila melihat kaki kanannya telah dipotong. Dah jadi kudung.

Kakinya terpaksa dipotong kerana kesan penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dia memang pengidap penyakit kencing manis yang serius. Kesian sungguh bila tengok dia dalam keadaan macam tu. Maklumlah sebelum ni, dia seorang guru yang aktif dalam hal-hal sukan, jadi bila dah jadi macam tu, dah susah dah untuk dia buat perkara-perkara yang sebelum ni dia buat.

Bila berbual-bual dengan beliau, kami sempat nasihati dia supaya jaga makan, kena berpantang sikit bila makan. Saya nasihatkan dia makan ikan haruan, buat sup ke, panggang ke. Sebab ikan haruan ni memang baik untuk menyembuhkan luka-luka. Apa yang termampu kami buat adalah terus memberikannya semangat dan nasihat serta berdoa agar dia kuat semangat dan cepat sembuh. Setahu saya, dia ni susah sikit nak berpantang. Ini diakui sendiri oleh yang empunya badan. Dalam duk sakit masa dalam wad tu pun, dia sempat mintak minum nescafe dan tea yang bergula!

Thursday, October 29, 2009

Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu?


Ada ke Bahasa Malaysia?
Kenapa tidak Bahasa Melayu?

Saya mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil. Pernah sekali sewaktu mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia, ada seorang murid bertanya. Cikgu, bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu? Orang Melayu cakap bahasa Malaysia ke bahasa Melayu cikgu? Terkedu dibuatnya saya!

Sebelum ni dikeluarkan pekeliling tentang penggunaan Bahasa Malaysia ni pun, saya memang kurang bersetuju. Pernah semasa saya diselia oleh pengawai unit Bahasa Jabatan Pelajaran Negeri, saya dikomen kerana menulis Bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia di dalam buku ringkasan mengajar saya. Kata pegawai tersebut, cikgu kena guna Bahasa Malaysia, kena ikut pekeliling. Lepas habis dia ceramah, saya tanya dia satu soalan je. Encik, ada ke bahasa Malaysia? Dah tu Bahasa Melayu nak letak kat mana?

Memang saya faham niat murni di sebalik arahan penggunaan Bahasa Malaysia tu. Akan tetapi, saya rasa seperti terkilan kerana bahasa Ibunda saya telah ditopengkan wajahnya. Kalau orang India ada bahasa Tamilnya, Orang Cina ada bahasa Cina nya, tapi orang Melayu .....ada bahasa Malaysia nya! Dah hilang dah perkataan Melayu di belakangnya...syahdu sungguh!

Sebut fasal bahasa Melayu ini, pada saya pihak-pihak yang bertanggungjawab banyak memainkan peranan dalam mencacarmarbakan bahasa Melayu itu sendiri. Tengok lah sendiri, berapa banyak perkataan-perkataan yang dipinjam daripada bahasa-bahasa lain, misalnya perkataan pinjaman yang dipinjam daripada perkataan Inggeris ( pinjam dan tak pernah dipulangkan pun !) Kenapa Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang mengiktiraf perkataan-perkataan pinjaman ini? Adakah alasannya sekadar untuk memperkayakan bahasa Melayu? Kalau itu alasannya, aduhhhh malu sungguh! Dah la pinjam tak reti-reti nak pulangkan, akhirnya dijadikan hak sendiri pulak. Tak ada kah perkataan-perkataan Melayu yang boleh digunapakai untuk menjelaskan makna atau maksud tertentu sehingga kita sanggup pinjam bahasa asing dan dijadikan hak sendiri? Tu bukan pinjam dah, tapi macam curi namanya.

Di rumah, saya selalu juga berbahas dengan orang kat umah. Kata dia, bahasa Melayu ni tak ke mana. Tak payah lah nak berangan dengan mengatakan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa yang terkenal di dunia. Jauh panggang dari api. Apa tak nya, kalau masih duk meminjam-minjam bahasa asing macam mana kita nak perkembangkan penggunakan bahasa Melayu? Makin rosak ada lah! Betul juga tu.

Sunday, October 25, 2009

Bulan Bahasa Kebangsaan


Pagi tadi sekolah ada membuat perhimpunan khas bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

Cikgu Nora sedang beri ceramah ringkas mengenai kepentingan belajar Bahasa Malaysia.

Memang patut sekali semua yang mengaku warga Malaysia harus tahu berbahasa Malaysia. Tapi bukan tak ada yang jenis mengaku rakyat negara ini tapi sepatah haram tak reti nak berbahasa Melayu. Orang macam ni layak ke mengaku rakyat Malaysia? Ada pulak yang tahu berbahasa Melayu tapi lebih gemar berbahasa asing bila bercakap. Kadang-kadang orang Melayu sesama orang Melayu pun bila bercakap, guna bahasa asing. Pelik tapi benar. Agaknya dengan cara itu mereka mampu mempamerkan status mereka. Macam tu ke?
Berbalik kepada perhimpunan khas yang dijalankan di sekolah pagi tadi, saya selaku Ketua Panitia telah diamanahkan untuk berucap. Masa berucap tu kena hati2 sebab bimbang terbabas takut-takut nantinya menyentuh sensitiviti kaum . Maklumlah sekolah yang semua muridnya India dan berbahasa Tamil, begitu juga dengan guru-gurunya. Saya seorang saja Melayu. Apa pun, saya bangga kerana dapat mencurah bakti terhadap bahasa bangsa saya. 5 tahun berada di sekolah ini, saya rasa begitu seronok. Saya bangga kerana dapat menyebarkan pengaruh bahasa Melayu di kalangan kaum India di sekolah saya. Setidak-tidaknya saya juga mampu menunaikan tanggungjawab sosial saya kepada negara, walaupun ia sekelumit sahaja.
Poster bergerak, he he kena denda pegang poster kat atas pentas.
Ni pulak Guru Besar yang bercakap tentang Bahasa Kebangsaan tapi berucap dalam bahasa Tamil! Hu hu hu!

Friday, October 16, 2009

Mesyuarat itu, mesyuarat ini



Sejak habis KDP di Kampus DarulAman, sempat seminggu je panaskan kerusi kat Bilik Guru. Minggu sudah, dapat surat daripada PPK Kementerian Pelajaran Malaysia untuk hadir ke satu mesyuarat di Hotel Regency Alor Setar. Ia dianjurkan oleh Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bidang Bahasa, Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementeriaan Pelajaran Malaysia. Mesyuarat berlangsung dari 13 Oktober hingga 16 Oktober. Seronok juga bila dapat bersama-sama membuat percambahan minda dan bersama-sama menyediakan modul untuk kegunaan murid-murid.



Sesuatu mesyuarat itu diadakan untuk bersama-sama berbincang , melontar idea serta mencari jalan untuk mengatasi sesuatu atau pun membuat penambahbaikan. Bila menghadiri mesyuarat sebegini, minda akan lebih terbuka dan idea akan makin bertambah.

Sebut fasal mesyuarat ni, kadang-kadang rasa dua macam juga. Misalnya kat sekolah. Kalau tiap2 minggu ada mesyuarat, rasa cuak juga dibuatnya. Alih-alih benda yang sama diperkata. Yang paling mencuakkan adalah bila setiap kali bermesyuarat ada saja agenda untuk guru besar menghentam guru-guru.
Komplen itu komplen ini, marah itu, marah ini. Kalau sekali dua dengar tu boleh tahan lagi lah, tapi kalau setiap kali bermesyuarat, ada slot untuk menghentam atau berleter macam mak nenek ni, rimas rasanya. Walau pun leteran tu tidak ditujukan kepada kita, tapi bila guru besar berleter secara umum, sakit juga telinga mendengarnya. Lagi pun apa rasionalnya kerap sangat dibuat mesyuarat di sekolah? Lain ler kalau ada perkara-perkara mustahak yang perlu diperbincang untuk mendapatkan persetujuan atau keputusan. Kalau setiap minggu buat mesyuarat sekadar untuk bercakap benda yang remeh-temeh sampai 3 jam, buang masa saja!

Berbalik kepada mesyuarat yang saya hadiri selama 4 hari 3 malam ini, ia memang merupakan satu pengkongsian ilmu yang sangat baik.

Friday, October 2, 2009

KDP14M Kampus DarulAman







Dah lama tak update kan blog ni. Kesibukan kerana kembali menjadi student menyebabkan masa agak terbatas dan terkelam kabut sikit. Sampaikan cerita tentang puasa dan raya pun tak sempat nak masukkan.

Syukurlah semua dah selesai. Khamis lepas merupakan hari terakhir di Kampus DarulAman dalam menyempurnakan syarat wajib utk melanjutkan pangajian ke peringkat sarjana pendidikan. Ahad ni, akan kembali ke sekolah. Kembali mengadap anak-anak murid yang hampir 4 bulan tidak tertatap.

Banyak yang saya pelajari sepanjang tempoh masa berada di Kampus DarulAman. Dari pasal pengurusan masa hinggalah ke perbagai perkara yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Kadang tu macam tak percaya dah umur masuk 42 baru kalut nak bergelut dengan buku2, bergelut dengan assignment2 dan berperang dengan peperiksaan. Semua itu sebenarnya telah lama ditinggalkan sejak menamatkan pengajian di Maktab 16 tahun yang lalu.

Apa pun usia bukanlah faktor yang membantutkan keinginan untuk mendalami ilmu. Walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran terutamanya bagi seorang guru perempuan yang telah berumahtangga seperti saya. Cuma yang paling penting, apa pun hasrat kita, atau apabila kita mahu melakukan sesuatu misalnya dalam hal melanjutkan pelajaran ini, yang maha penting bagi yang telah berumahtangga, haruslah terlebih dahulu memohon keizinan daripada suami. Restu daripada suami sangat penting supaya tidak timbul masalah berbangkit di kemudiaan nanti. Apabila telah mendapat restu daripada suami, insyallah semuanya akan berjalan dengan teratur dan sukses.

Kepada kawan-kawan sekuliah, terima kasih banyak-banyak kerana perkongsian ilmu yang telah diberikan. Jika kawan-kawan ingin mendownload gambar-gambar kenangan kita di Kampus DarulAman, kawan-kawan bolehlah klik di link halaman Himpunan Gambar Kenangan yang terdapat di sebelah kiri blog saya ini.

Harap2 kita nanti akan bertemu lagi..

Friday, September 4, 2009

Are You still Complaining?


If you think you are unhappy, look at them
If you think your salary is low, how about her?

If you think you suffer in life, do you suffer as much as he does?

If you complain about your transport system, how about them?