Tuesday, January 19, 2010

Merentas Desa ? & Sukan Sekolah

Hari ni bermula lah latihan merentas desa untuk murid-murid di SJKT Barathy. Best juga join anak-anak murid merentas laluan. Kiranya berpeluh jugak sampai ke kaki! Terima kasih la Tuan Arookiasamy sebab tahun ni buat latihan waktu pagi. Tak de la terbakar kulitku! Kalau tahun-tahun sebelum ni, pukul 2:30 petang dah kena salai kat bahang mentari. Berbelang-belang kulit jadiknya.


Sempat lagi tu!


Bukan berposing tau, tapi ni bukti kami ada masa latihan sukan ! he he he!


Cikgu Saralah yang begitu penyabar melayan murid-murid .


Kiri! Kanan! Iskk kena kawad la pulak ye?






.

Monday, January 11, 2010

Kan dah tercedera....!
















Hari kedua persekolahan , dah dijalankan latihan sukan kat sekolah. Alhamdulillah, baru tahu ni latihan dijalankan pada waktu pagi iaitu masa yang pertama dan kedua. Tak ada lah kulit kena salai macam tahun-tahun yang lepas. Terima kasih!

Pagi tadi, semasa latihan lompat pagar, seorang murid telah mengalami kecederaan di kaki. Kecederaan ni boleh berlaku di mana-mana sebenarnya. Dalam duk jaga-jaga dan macam-macam arahan beri tu pun, ada jugak yang sorang dua buat hal sendiri dan natijahnya........ kaki cedera!

Jadi sebagai guru yang bertugas minggu ni, terpaksa lah bawak murid berkenaan ke hospital..
Waktu di hospital terkerut-kerut la dia menahan sakit bila luka di cuci, dibalut dan dicucuk!

Orang yang pandai, belum tentu bijaksana.

Anak-anak didik Tahun 3 yang baru nak menuntut ilmu dengan Cikgu Ku.

Pejam celik pejam celik sudah hampir 2 minggu sesi persekolahan di tahun baru. Baru hari ni dapat sisipkan sedikit cerita.

Hari pertama , biasalah ramai betul ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan keadaan masing-masing. Laluan ke sekolah saya yang terletak di Kompleks Pendidikan ini menjadi sesak teruk. Maklumlah kat situ tertumpu 6 buah sekolah, 3 buah sekolah rendah dan 3 lagi sekolah menengah. Semuanya sebelah menyebelah. Ditambahkan lagi, di situ jugalah terletaknya Pusat Sumber Pelajaran Negeri dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Laluan pula adalah laluan satu hala. Memang sesak sungguh.

Tak pernah kah terfikir oleh mereka yang membina kompleks pendidikan di situ tentang masalah kesesakkan yang berlaku sekarang? Tak terfikirkah mereka untuk mencari jalan untuk mengatasi kesesakkan yang menyesakkan dada ni? Tambah bangunan tu, buat bangunan ni tapi jalinan jalanraya masih macam tu. Dah tk mampu nak menampung pengguna yang hari-hari melalui jalan tu. Ini membuktikan tiadanya perancangan yang rapi dan strategik dalam pembinaan pasarana di kompleks pendidikan ini. Jadi, dipendekkan cerita, ternyatalah kadang-kadang orang yang pandai ni tidak semestinya bijaksana!

Monday, December 28, 2009

Semak kepala makcik!


Minggu ni merupakan minggu yang paling sibuk dan memenatkan fizikal dan mental.
Esok (29 Disember) pagi-pagi lagi kena mengadap GB sebab ada mesyuarat guru 1. Mesti berjela-jela lah dia bercakap, tu dah tentu! Sebab GB saya memang suka bercakap. Macam-macam perkara sure akan dia sentuh dari yang penting, separa penting hinggalah yang tak penting pun akan turut masuk dalam agenda meeting laa..... Ishhhhhhhhhh pukul berapa la nak abis nanti nya mesyuarat ni! Biasanya mesti berjam-jam, mengalahkan persidangan kat Parlimen !

Lusa sampai tulat pulak ada final exam. Lusa exam 2 paper dari pagi sampai petang lak tu. Iskkkk lama benarr. Depa ni tak reti ke nak buat time table. Ada ke hari pertama tu kedua-dua paper berat dari pukul 9 pagi sampai pukul 5 petang baru habis dua-dua paper. Iskkkkkk semak kepala makcik!

Saturday, December 19, 2009

Cuti-cuti Malaysia

Sempena cuti sekolah, saya dan keluarga sempat pergi bercuti. Dah lama rancang, tapi sebelum ini asyik tertunda saja. Time maknya lapang, ayahnya pulak sibuk. Time ayahnya lapang, mak nya pulak kelam kabut dengan kerja. Jadi kali ni, alhamdulillah, janji dengan anak-anak dapat ditunaikan. Sempat bercuti di Kuala Lumpur, Melaka dan Nilai. Di Kuala Lumpur, bawa mereka ke Muzium ( sempat tgk pameran Orang Asli), dan ke Aquaria KLCC. Seronok bukan main budak-budak dan pak budak pun tumpang seronok tengok hidupan dalam laut. Di Melaka pun naik Menara Taming Sari yang boleh berpusing tu. Cantik panorama yang boleh dilihat dari atas Menara tu. Kemudian ke Eye On Malaysia ( cam indah khabar dari rupa je, sebab kurang menarik, boring kata anak-anak saya. Sempat panjat kubu peninggalan sejarah Portugis dan Belanda sampai lenguh kaki dibuatnya. Tak apa, tukang urut ada! Paling menarik ialah berpeluang naik Melaka River Cruise pada waktu malam. Sesiapa yang singgah di Melaka, cuba lah naik pada waktu malam, anda akan dpt melihat suasana yang sungguh menarik di sepanjang sungai yang disusuri.


Menyusuri sungai dengan menaiki Melaka River Cruise , seronok kalau naik waktu malam, panoramanya cantik sekali.










Eye on Malaysia ( tak berapa best le, sebab pusingnya pelan sangat , komen si papanya!















Monday, December 7, 2009

KETURUNAN KERABAT LONG GHAFFAR (PERBANDINGAN RAJA KELANTAN LONG GHAFFAR DAN LONG YUNUS)

Di sini saya cuba mengorek semula sejarah keturunan Long Ghaffar. Maklumat ini saya peroleh setelah melayari internet. Jika ada kekurangan atau kesilapan maklumat, bolehlah dikongsikan bersama.

Perbandingan Raja Kelantan Long Gaffar dan Long Yunus
Berikut adalah Perbandingan pemerintahan Raja Kelantan antara keturunan Long Gaffar dan Long Yunus.

[sunting] Keturunan Long Gaffar
Long Gaffar (1760 -1783)

Tahun 1760 dipilih sebagai tahun Kelantan diasaskan dan bermulanya pemerintahan Long Gaffar yang di Kelantan. 3 bulan selepas berakhirnya Perang Kota Kubang Labu I pada akhir 1750-an, baginda bersama rombongan yang turut disertai Long Yunus berangkat menyabung ayam di Terengganu. Pada masa itu Terengganu diperintah oleh Sultan Mansur Riayat Shah (Marhum Berjanggut, 1733 – 1793).

Selepas berjaya mengalahkan pasukan Bugis, baginda dan rombongan diraikan oleh Sultan Terengganu selama 6 bulan. Semasa pulang dari Terengganu pada tahun 1760, baginda dan rombong yang turut diiringi oleh pasukan tentera dari Terengganu telah diserang oleh pasukan Long Muhamad (Raja Kota Kubang Labu) di Kuala Besut. Serangan tersebut berjaya dipatahkan.

Pada malamnya Kota Kubang Labu diserang oleh pasukan yang diketuai oleh Long Gaffar menyebabkan meletusnya perang Kota Kubang Labu Ke- II. Kota Kubang Labu berjaya ditawan dan Long Muhamad berjaya dibunuh. Maka berakhirlah pemerintahan Kota Kubang Labu.Kejayaan ini menandakan bermulanya penguasaan Long Gaffar di negeri yang di kenali sebagai "Tanah Serendah Sekebun Bunga, Kisaran Payung Wilayah Cik Siti Wan Kembang".

Long Gaffar telah mengasaskan pemerintahan di Kota Jelasin (Wakaf Che Yeh). Selepas lebih kurang setahun, baginda telah memindahkan pusat pemerintahannya ke Limbat pada tahun 1762.Perpindahan pusat pemerintahan ke Limbat menandakan bermulanya penubuhan Kelantan yang berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang". Baginda Long Gaffar menguasai secara mutlak kuasa pemerintahan Kelantan. Sebagai membalas jasa, Long Yunus pula telah diberikan kuasa memerintah di Kota Bharu. Peristiwa inilah yang menyebabkan munculnya nama "Negeri yang Dikerat Lintang", iaitu negeri yang di kerat lintang di antara Baginda Long Gaffar dan Long Yunus. Sempadan bagi kedua-dua kawasan pemerintahan ini ialah Sungai Pasir Tumboh.

Baginda Long Seri (1783-1851) Baginda merupakan putera sulong Long Gaffar dan juga ayahanda mertua kepada Long Senik Mulut Merah (Sultan Muhamad II). Baginda berkahwin dengan puteri sulung Long Seri yang dikenali sebagai Puteri Gunung. Pada awal pemerintahannya, Kerajaan Patani jatuh ke tangan Siam (1785). Pada masa pemerintahan baginda Long Seri, berlaku Perang Padang Rombakan.

Baginda berjaya menghalang Raja Bukit Marak daripada menyerang Kota Bharu yang pada masa itu diperintah oleh menantu nya iaitu Long Senik Mulut Merah. Sebagai balasan di atas kejayaan tersebut, baginda Long Seri telah di raikan selama tujuh hari tujuh malam di Kota Bharu dan di anugerahkan gelaran Tengku Perdana Menteri. Anakanda baginda Long Mansor diberi gelaran Tengku Selia Raja dan Long Demor dianugerahkan gelaran Tengku Seri Maharaja. Long Senik Mulut Merah sendiri kemudiannya memakai gelaran Tuan Senik Mulut Merah. Kesemua anugerah dan gelaran ini kemudiannya membawa padah kepada kekuasaan keturunan Long Gaffar.

Pada zamannya, bermulalah kemerosotan kuasa dan pengaruh keturunan Long Gaffar di Kelantan. Long Senik Mulut Merah berjaya menggunakan tipu muslihatnya dan hubungan baiknya dengan Long Seri bagi membolot peralatan kebesaran kerajaan di Kota Limbat dan membawa peralatan tersebut ke Kota Bharu. Di antara peralatan kebesaran tersebut ialah keris kerajaan yang bernama "Pelangi Merbo" yang berasal dari Tanah Jawa

Long Mansor (1851-1890) Pusat pemerintahannya ialah di Machang. Tahun 1890 dipilih sebagai tahun berakhirnya pemerintahan baginda kerana pada tahun itu baginda telah dihantar ke Siam bersama adindanya Tengku Ahmad sebagai ganti kepada Datuk Bahaman [Dato'Kaya Semantan,Pahang] juga merupakan sahabat baik kepada Tengku Ahmad.Long Mansor dipercayai mangkat dibunuh 3 tahun kemudian semasa di dalam tahanan Siam.

Adindanya Tengku Ahmad berjaya pulang ke Kelantan iaitu Kangkong,Pasir Mas dan tinggal di sana hingga ke akhir hayatnya.Diceritakan oleh anaknda Tengku Ahmad,Tengku Mariam [meninggal 1970,dalam usia melebihi 85 tahun],beliau masih ingat lagi,Dato'Bahaman pernah datang dan tinggal dirumahnya.Dato'Bahaman memiliki ilmu batin yang tinggi dan seorang pendekar yang handal. Hanya ayahandanya sahaja yang mampu bermain senjata dengannya pada ketika itu. Baginda Long Mansor juga berbesan dengan Sultan Ahmad

Long Demor (1890-1900) Pusat pemerintahan di Jeram, Pasir Puteh. Istana Jeram di bina oleh tukang yang sama yang membina Istana Balai Besar. Yang membezakannya dengan Istana Balai Besar ialah Istana Jeram mempuyai Balai Telor. Pada masa pembinaannya, Baginda Long Seri masih lagi hidup. Jadi ia dipercayai dibina sekitar tahun 1844-1851

Keturunan Long Yunus

Long Yunus (1762-1794) Long Yunus turut serta dalam rombongan Long Gaffar ke Terengganu. Semasa di Terengganu Long Yunus telah dikahwinkan dengan Tuan Chik Jumat, Chik Puan Balai Dua, anak perermpuan Engku Tenang Wangsa Terengganu. Sebagai membalas jasa di atas kesetiaannya terhadap Long Gaffar, Long Yunus pula telah diberikan kuasa memerintah meliputi kawasan pantai bermula di Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal sehingga Bukit Tanjung (Narathiwat).

Walaupun diberikan kuasa memerintah wilayah tersebut, kuasanya adalah terbatas. Kuasa pemerintahan sebenar masih lagi berada di bawah kekuasaan Baginda Long Gaffar yang berpusat di Limbat. Long Yunus tidak boleh menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Baginda Long Gaffar di Limbat. Konsep pembahagian kuasa yang diasaskan oleh Baginda Long Gaffar ini terus diamalkan dan dihormati sehinggalah kemangkatan Long Yunus.

Tengku Muhamad (1794-1800) Menantu Long Yunus (suami Cik Ku Tuan Nawi) dan putera kepada Sultan Terengganu iaitu Sultan Mansor. Pemerintahannya tidak lama kerana kurang disenangi terutamanya oleh putera sulong Long Yunus iaitu Long Muhamad. Pemerintahan berakhir selepas berjaya dikalahkan oleh Long Muhamad pada 1801.

Long Muhamad (Sultan Muhamad I 1801-1835) Baginda merupakan putera sulung Long Yunus dan tidak mempunyai anak (digelar Marhom Mandul). Baginda telah mengambil anak Temenggong Long Tan iaitu Long Senik Mulut Merah sebagai anak angkatnya.

Long Jenal (1835-1837) Adik Long Muhamad (Sultan Muhamad I 1801-1835) dan memakai gelaran Yam Tuan Kelantan.

Long Senik Mulut Merah (1837-1886) Baginda yang mula-mula sekali memakai gelaran Sultan dan digelar Sultan Muhamad II. Baginda merupakan anak Temenggong Long Tan dan menantu kepada Baginda Long Seri. Pada 1844 Istana Kota Bharu (kemudiannya dikenali sebagai Istana Balai Besar pada zaman Sultan Muhamad IV) telah dibina dengan mengambil tukang-tukang dari Limbat atas arahan Baginda Long Seri. Pada masa pemerintahannya, usaha-usaha bagi melemahkan penguasaan Limbat ke atas Kota Bharu giat dijalankan. Pada masa pemerintahannya juga menyaksikan peningkatan pengaruh Siam, ia dipercayai ada hubung kait dengan cubaan bagi mendapatkan pengiktirafan Siam terhadapnya sebagai pemerintah Kelantan.

1835-1886 Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah (Sultan Kelantan) ibni al-Marhum Tengku Temenggong Long Tan (Tengku Temenggong Ariya Pahlawan) ibni al-Marhum Sultan Long Yunus (Sultan Kelantan), mempunyai dua (2) orang puteri dan seorang (1) putera;
1) Tengku Putri @ Long Sulong binti Sultan Muhammad II (Sultan Kelantan) berkahwin dengan Tengku Ahmad @ Sultan Tengah (Sultan Kelantan [pemangku sementara menggantikan Tuan Long Ghaffar yang masih muda berumur sembilan (9) tahun semasa kemangkatan ayahandanya Sultan Muhammad II ]) ibni al-Marhum Tengku Muhammad (Pemangku dan Yang di-Pertuan Muda Kelantan, 1795-1800) ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah I (Sultan Trengganu) Tengku Ahmad (Tengah) bukan putera Sultan Muhammad II, baginda adalah putera Tengku Muhammad Trengganu, menantu Sultan Muhammad II*

2) Tengku Putri Che’ @ Engku Na Nik (Tengku Raja Patani) binti al-Marhum Sultan Muhammad II (Sultan Kelantan) berkahwin dengan Tengku Besar Long Puteh (Raja Patani)

3) Tuan Long Ghaffar (Tengku Petra Dalam Kebun) ibni al-Marhum Sultan Muhammad II (pewaris tahta yang sah)

Sultan Ahmad (1886-1889) Nama asal baginda ialah Long Sulong, iaitu anak sulung Long Senik Mulut Merah. Pada 1887, baginda membina Istana Jahar. Baginda turut berbesan dengan Long Mansor:
1. Tengku Salleh (putera Long Mansor) berkahwin dengan Tengku Kembang (puteri Sultan Ahmad)
2. Tengku Besar (putera Sultan Ahmad) berkahwin dengan Tengku Kalsom (puteri Long Mansor)

Perkahwinan ini dipercayai bermotif politik dan ada kaitan dengan usaha-usaha bagi melemahkan gerakan bagi menaikkan semula keturunan Long Gaffar di Kelantan.

Sultan Muhamad III (1889-1890) Nama asal baginda ialah Long Kundor iaitu putera Sulong Sultan Ahmad.

Sultan Mansor (1890-1900) Nama asal baginda ialah Long Mansor dan merupakan adik Long Kundor (Sultan Muhamad). Pada masa pemerintahannya, iaitu pada 1891, Datuk Bahaman melarikan diri ke Ulu Kelantan.

PERHIMPUNAN HARI KELUARGA PERDANA PERTUBUHAN KERABAT LONG GHAFFAR KELANTAN











Bertempat di Pantai Air Tawar, Besut. Terengganu, pada Hari Raya AidilAdha ke-3, iaitu bertarikh 29 November 2009, telah diadakan Perhimpunan Kerabat Long Ghaffar Kelantan. Perhimpunan kali ini telah dihadiri lebih kurang 100 keluarga yang datang dari Pahang, Kuala Krai Kelantan dan Besut. YB Haji Mohamad Pahemi, ADUN Kota Putra telah sudi merasmikan perhimpunan kali ini.

Seronok bila dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini. Sayang sekali kali ini, saya dan keluarga tidak dapat balik untuk bersama-sama memeriahkan perhimpunan ini. Insyallah di lain kesempatan, saya ingin sangat mengenali kaum-kerabat saya yang mungkin sebelum ini tidak pernah berjumpa dan tidak pernah kenal.

Gambar-gambar ini pun diberikan oleh adik yang sempat balik dari Johor dan sempat menghadiri perhimpunan hari keluarga perdana ni. Jadi dapat jugak lah tengok kemeriahannya. Dengar kata berbagai-bagai acara diadakan pada hari itu. Semuanya adalah berobjektifkan untuk mengeratkan kembali hubungan sesama kerabat.

Monday, November 30, 2009

MANGSA LANGGAR LARI

Oren sebelum 'dikebumikan'.

Wajah comel Oren.

Oren terlentang kekenyangan.

Sewaktu sampai di muka pintu pagar rumah, mata saya terpandang satu objek di atas jalan. Nampak macam kucing. Naluri mengatakan itu macam si Oren. Saya dan anak-anak bergegas mendapatkan objek di atas jalan raya itu. Sah, kucing yang terkulai di atas jalan raya itu adalah Oren. Rantai di leher Oren mengesahkan itu adalah kucing kami.

Menjerit anak-anak saya apabila melihat keadaan Oren. Oren dah mati! Menitis air mata bila melihat keadaan badan Oren yang cedera teruk. Rasa-rasanya Oren mati dilanggar kereta. Kepalanya cedera parah, sampai tak sanggup saya melihatnya. Oren telah kami kebumikan bersebelahan kubur ABU.

Kesian dan hiba hati saya melihat anak-anak menangis teresak-esak kerana menangisi kematian Oren. Oren ni kucing yang manja. Anak-anak saya pun memang selalu manjakan Oren. Teringat semasa kami mula-mula menemui Oren yang kesejukan berdekatan dengan sebuah pasaraya di Bandar Alor Setar. Masa tu bulan Mei 2008. Kecil lagi Oren waktu tu. Seronok bila tengok anak-anak melayan si Oren ni.



Paling seronok bila tgk time dia makan dan kemudian terlentang kekenyangan. Si Oren ni suka duduk diriba. Selalunya, ketika saya duduk menonton televisyen atau ketika sedang menggunakan komputer, Oren akan naik dan duduk di atas riba saya. Bila turunkan, Oren akan naik semula dan duduk sampai tertido. Kini, dah tak boleh nak tengok Oren lagi. Dah tak boleh nak gelak bila tengok gelagat Oren tidur kekenyangan....Oren kini tinggal dalam kenangan.

Saturday, November 28, 2009

Selamat Hari Lahir Kakak!

Genap 15 tahun umur Ariffah pada 25 November 2009 yang lalu. Saya dan suami kali ni meraikan ulangtahun kelahiran Ariffah yang kami panggil Kakak di sebuah restoran Secret Recipe di Bandar Alor Setar. Dah besar pun anak mama. Saya dan suami suka bercerita kepada anak-anak tentang apa yg mereka selalu buat semasa mereka kecil. Selalu bercerita tentang susah senang menjaga mereka sewaktu bayi dan sebagainya.Kakak adalah anak sulung saya. Sewaktu melahirkan Kakak, saya dan suami baru saja memasuki alam pekerjaan. Masa tu kami tinggal di perantauan.Jadi sejak dari lahir lagi, saya dan suami bersama-sama menjaganya. Saja tidak mahu menyusahkan keluarga, kami berdua sepakat untuk menjaganya sendiri. Biarlah susah senang kami berdua tanggungi bersama. Maklumlah masa tu belum ada pengalaman menjaga bayi. Kekok juga dibuatnya. Pada waktu tu, saya benar-benar terharu dengan kesanggupan dan ketabahan suami semasa menjaga kakak yang baru lahir tu. Dia lah yang memandikan kakak,nampak macam tak kekok langsung walaupun itulah pengalamannya yang pertama. Saya pulak masa tu, belum berani nak mandikan kakak yang belum tanggal lagi tali pusatnya. Gerun saya! Alhamdulillah, dengan izinNya juga, dipermudahkan saya dan suami menjaga kakak. Dia tak banyak meragam. Tak susah menjaganya. Bila kakak berusia 2 tahun, kami balik ke kampung kerana berpindah kerja di sana. Seronok bila melihatkan kakak membesar. Semasa kecil, kakak suka berposing. Pantang disuruh bergaya depan kamera, mula lah dia bergaya macam-macam. Sekarang kakak sudah berusia 15 tahun. Begitu cepat masa berlalu, tapi saya rasakan seolah-olah kakak masih kanak-kanak walaupun sebenarnya dia telah meningkat remaja. Kepada kakak, mama dan papa sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kakak. Kasih sayang mama dan papa akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kakak. Semoga kakak akan menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat juga.

Friday, November 20, 2009

Wajah-wajah UPSR

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.

R.Yugarajan antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR di SJKT Barathy.

Semalam adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua murid yang mengambil UPSR. Ada wajah penuh girang, ada wajah suram. Itu adalah gambaran biasa yang selalu kita saksikan sewaktu tiba saat pengumuman keputusan. Kepada anak-anak murid yang berjaya, syabas dan tahniah. Tahniah juga kepada para ibubapa atau para waris yang begitu bersungguh-sungguh demi menjamin kejayaan anak-anak.

Sempat berbual dengan beberapa orang ibu bapa yang kelihatan muram kerana keputusan anak-anak mereka tidak seperti yang dijangkakan. Kata mereka, tuisyen dah bagi, apa pun dah bagi, tapi keputusan tidak seperti yang diharap-harapkan. Sekadar berkongsi dengan mereka, saya nyatakan kepada mereka, kita sebagai penjaga memang mengharapkan kecemerlangan anak-anak. Pelbagai cara dah kita buat tapi sentuhan terakhir adalah di tangan anak-anak kita sendiri. Pada si ibu yang murung itu, saya nasihatkan dia, usah diberi tekanan kepada anak. Langkah mereka masih panjang. Jangan kerana kegagalan mereka di tahap ini, kita hukum mereka seolah-olah mereka sudah sampai ke hujung perjuangan. Jangan sampai kejadian setahun yang lalu di mana seorang murid telah menggantung diri hanya kerana tidak mendapat bilangan A yang dimahukan oleh ibu bapa mereka! Kepada anak-anak murid yang menangis teresak-esak kerana gagal menggapai kejayaan yang diharap, saya peluk dan bisik kepada mereka, kamu belum kalah. Kamu belum gagal dalam hidup. Usaha lagi dalam PMR nanti. Bukti kat semua orang kamu masih boleh berjaya.

Dalam keriuhan suasana gelak tawa dan tangis, datang beberapa orang ibu bapa kepada saya sambil mengucapkan terima kasih. Anaknya tidak tergolong dalam kumpulan murid-murid pandai. Cemerlang jauh sekali. Setiap kali ujian atau peperiksaan, tak pernah lulus pun. Tapi semalam, murid ini dan ibu bapanya datang kepada saya dengan kuntuman senyum. Kata si ayah, terima kasih cikgu kerana ajar anak saya. Dia lulus! Ingat dia dapat D atau E, tapi dia dapat B! Itu murid dari kelas belakang, yang sebelum ini langsung tak diberi harapan oleh ibu dan ayah nya lulus dalam UPSR. Lalu saya berkata kepada keluarga ini, setiap anak ada potensi. Mungkin dia kurang bijak dalam pelajaran tapi ada kemampuan lain yang tidak ada pada pelajar-pelajar cemerlang. Yang penting sebagai ibu bapa kita perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka kebolehan yang ada pada dirinya.

Itu lah antara cerita-cerita yang berlaku di sekolah saya semalam. Bila tengok surat khabar hari ni pula, bermacam-macam cerita berlaku di sana-sana, semuanya bercerita tentang keputusan UPSR semalam. Dalam banyak-banyak cerita, saya tersentuh hati apabila terbaca tentang kegigihan seorang ibu kepada seorang pelajar cacat di Besut demi melihat anaknya berjaya.

Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.


Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.

Di helaian yang lain pula, saya teruntun hati apabila terbaca kisah seorang murid miskin yang hanya mampu melihat keputuasan cemerlangnya di papan kenyataan tanpa mampu memegang slip keputusan hanya kerana tidak mampu melangsaikan hutang dengan pihak sekolah. Kesian bila melihat dia menangis. Tidak tercetuskan perasaan kesian di hati para guru di sekolah itu untuk mengizinkan dia memiliki slip keputusannya. Entahlah...kadang-kadang kerana perkara wang ringgit manusia seolah hilang nilai kemanusiaan.

Tuesday, November 10, 2009

Bila kita sakit...

Semalam saya dan suami sempat menziarahi seorang rakan sekerja, Guru Penolong Kanan sekolah saya di Hospital Besar Sulaltanah Bahiyah Alor Setar. Bila sampai di wad, saya lihat dia terlantar lemah. Paling mengharukan bila melihat kaki kanannya telah dipotong. Dah jadi kudung.

Kakinya terpaksa dipotong kerana kesan penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dia memang pengidap penyakit kencing manis yang serius. Kesian sungguh bila tengok dia dalam keadaan macam tu. Maklumlah sebelum ni, dia seorang guru yang aktif dalam hal-hal sukan, jadi bila dah jadi macam tu, dah susah dah untuk dia buat perkara-perkara yang sebelum ni dia buat.

Bila berbual-bual dengan beliau, kami sempat nasihati dia supaya jaga makan, kena berpantang sikit bila makan. Saya nasihatkan dia makan ikan haruan, buat sup ke, panggang ke. Sebab ikan haruan ni memang baik untuk menyembuhkan luka-luka. Apa yang termampu kami buat adalah terus memberikannya semangat dan nasihat serta berdoa agar dia kuat semangat dan cepat sembuh. Setahu saya, dia ni susah sikit nak berpantang. Ini diakui sendiri oleh yang empunya badan. Dalam duk sakit masa dalam wad tu pun, dia sempat mintak minum nescafe dan tea yang bergula!