Kali ni, saya nak bercerita sedikit tentang hari yang disambut pada tanggal 10 Mei yang lalu iaitu Hari Ibu. Ada yang mengatakan orang kita ni kaya dengan budaya meniru. Orang barat sambut hari itu dan hari ini, kita pun nak sambut juga.
Pada saya, tidak salah kalau mengikut sesuatu yang baik dan tidak memesongkan. Tidak semua yang diamalkan oleh orang-orang Barat itu tidak elok. Apa yang baik, apa salahnya kita ikut. Berbalik kepada sambutan Hari Ibu ini, pada pendapat saya, meraikannya adalah satu perkara yang baik.
Bukan bermakna dengan menyambut Hari Ibu ini, kita hanya memberi fokus kepada kasih sayang terhadap ibu pada hari-hari tertentu sahaja. Sebenarnya, memilih satu hari dalam setahun ini adalah suatu yang simbolik untuk menterjemahkan keikhlasan hati anak terhadap kasih sayang kepada ibu. Kita memang menyayangi ibu kita setiap saat. Cuma dengan adanya 10 Mei ini yang diangkat sebagai Hari Ibu, ia tentunya boleh menyemarakkan lagi kasih sayang antara anak dan ibu. Bukankah ini suatu yang baik?
Pada kali ini, saya sedikit tersentuh dengan gelagat anak-anak saya. Beberapa hari sebelum hari Ibu, mereka sibuk dengan aktivti sekolah. Lantaran kesuntukan masa, ketiga-tiga anak saya agak kecewa kerana sehari sebelum nya mereka tidak berpeluang menyediakan hadiah! Kata mereka kepada saya, papa sibuk, tak sempat nak ajak papa beli hadiah untuk mama. Saya tergelak mendengar kata-kata mereka. Saya beritahu mereka, bahawa saya tidak perlukan semua itu. Kemudian, anak kedua saya menghulur satu bungkusan kecil. Di dalamnya terdapat satu barang kraf yang dihasilkan sendiri daripada perca kain yang diambilnya di rumah. Kata nya, semlm dia jahit, buat untuk mama! Nak tergelak pun ada bila tengok apa yang dijahitnya.
Keesokkan hari nya, sewaktu balik dari sekolah, anak-anak saya kemudiannya telah menghulurkan satu bungkusan. Kata mereka, tadi papa beli bagi pihak mereka! Eh, macam-macam. Agaknya papa mereka kesian tengok anak-anak hanya memberi hadiah senyuman dan ciuman kepada saya lalu diajaknya anak-anak membeli hadiah untuk saya pada hari tu. Terima kasih banyak-banyak kepada suami tersayang kerana sentiasa peka dengan perasaan anak-anak. Budimu dikenang!
No comments:
Post a Comment