Wednesday, February 6, 2008

Apa Yang Dirancang dan Apa Yang Terhidang





Semalam berakhirlah Sukan RIMUP bagi sekolah-sekolah rendah di Kompleks Pendidikan Negeri Kedah. Sukan RIMUP adalah singkatan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Ia julung-julung kali diadakan semlm.


Idea melaksanakan sukan RIMUP ini memang bagus. Banyak kebaikan yang mampu diraih seandainya apa yang dirancang dan diharapkan itu sama seperti yang terhidang. Sukan ini melibatkan 3 buah sekolah iaitu 2 buah sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil.


Antara matlamat mulianya adalah untuk mewujudkan persefahaman, kerjasama dan tolenrasi antara kaum. Molek sungguh apa yang diimpi-impikan itu. Namun begitu, apa yang dirancang tidak sama dengan apa yang terhilang. Nampak sangat ada kejurangan di situ.


Melalui penghayatan saya sejak sebulan yang lepas, dan paling akhir semalam, nyata hasrat untuk mencapai nilai-nilai murni itu masih sukar dicapai. Apa yang dirancang tidak sama dengan apa yang terhilang.


Saya dapat melihat dengan jelas bagaimana sikap orang kita [Melayu] tatkala bekerja atau berurusan dengan kamu lain. Sekali pun saya orang Melayu tetapi saya kesal dengan sikap orang melayu kita yang kerap memandang kaum lain dengan sebelah mata. Saya cukup rasa malu dengan kaum saya sendiri. Saya mengajar di dalam komuniti Kaum India. Saya satu-satunya guru Melayu di sekolah saya. Namun begitu saya tidak pernah rasa tersisih. Saya diterima dengan tangan terbuka di sekolah saya. Saya tidak pernah diasingkan dan guru-guru .Guru Besar juga tidak pernah membezakan saya. Saya diberi layanan yang sama adil. Itu yang saya nampak layanan di pihak kaum lain terhadap orang kita.


Akan tetapi apa pulak cara kita melayan mereka? Semalam contohnya, saya dapat melihat dengan jelas ketidakimbangan perilaku bangsa kita, kaum Melayu terhadap bangsa lain. Cikgu-cikgu Melayu begitu malas untuk berada di tengah padang mengurus murid-murid. Panas agaknya? Lalu tanggungjawab itu terpaksa dipikul oleh kebanyakan guru-guru dari Sekolah Tamil yang 99% nya India. Saya malu melihat bangsa Melayu hanya tahu mencuri tulang. Duduk bawah khemah sambil memakai kaca mata hitam. Pakai pakaian pun mengalahkan orang nak pergi buat show. Tak reti masuk majlis sungguh! Ada ke masuk ke padang untuk bersukan pakai baju rambo rambai macam nak pergi majlis makan malam. Nampak sangat cara orang kita ni tak reti masuk majlis. Lebih kuah dari sudu.


Lagi satu orang kita ni hanya mahu orang hormati kita tetapi kita sendiri tak tahu nak menghormati bangsa lain. Semalam saya benar-benar meluat dengan bangsa saya sendiri. Saya malu melihat apa yang mereka buat sewaktu melaksanakan sukan RIMUP ini. Macam mana orang kita nak dipandang tinggi oleh bangsa lain? Orang kita hanya gah pada nama, pada kuasa. Perlu diingat, jika tanpa kuasa, apa yang akan jadi?


Sedih saya melihat bagaimana orang kita melayan kaum lain. Murid-murid Melayu sendiri rata-rata kurang tahu menghormati kaum lain. Mencaci dan mengata membuatkan telinga saya menjadi nipis. Sekali pun saya sendiri orang Melayu, saya marah bila anak-anak bangsa saya tidak tahu menghormati kaum lain. Hati saya terdetik mengatakan, kalau guru mereka pun tidak tahu menghormati rakan sekerja mereka dari kaum lain, ini kan pula budak-budak kecil tu. Itu lah yang terhidang!


Syabas saya ucapkan kepada guru-guru SJK(T) Barathy kerana telah memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan sukan perpaduan ini. Tahniah juga kepada beberapa orang guru Melayu dari sekolah-sekolah yang berkenaan yang tahu menghormati guru-guru dari kaum lain dan bersama-sama kami melaksanakan sukan Rimup kali Pertama ini.