Monday, May 18, 2009

16 MEI - Bicara tentang kerjaya seorang guru



16 Mei disambut sebagai hari memperingati guru.....Hari Guru.
Apa yang biasa kita dengar dan kita baca setia kali datangnya Hari Guru adalah:

1. Perutusan Menteri Pelajaran mengenai peranan guru.
2. Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran
3. Ucapan-ucapan selamat hari guru di corong-corong radio, di dada-dada surat khabar dan kad-kad ucapan murid-murid.
4. Artikel-artikel mengenai peranan dan tanggungjawab guru di forum-forum dan di media massa.

Apa yang biasa kita dengar tentang kerjaya guru:
1. Kerja mudah.
2. Banyak cuti.
3. Balik awal

Apa yang orang tak tahu tentang kerjaya guru:
1. Kerja guru ni adalah kerja mudah yang payah.

Kerja kadang2 perlu banyak fokus kepada byk perkara. Kerja mengajar itu merupakan utama. Kerja-kerja yang tidak utama pun turut perlu dijadikan kerja utama. Kalau nak disenaraikan, memang tk larat nak naip. Pengisian pelbagai borang, pengurusan pelbagai fail. Bayangkan kalau seorang guru itu memegang 3 tugas utama dalam 3 bahagian bidang tugas. Bagi setiap bidang tugas itu setiap guru itu perlu menguruskan 6 fail yang mengandungi 1001 macam perkara,. Kalau cikgu tu pegang 3 bahagian tugas, bermakna dia juga perlu menguruskan 18 fail! Itu baru 3 tugas. Kalau 4,5 6 tugas? Cuba anda bayangkan macam mana seseorang guru sekarang terpaksa lalui semua ini setiap hari.

Setiap hari juga mereka perlu masuk ke kelas mengajar. Ada antaranya mempunyai masa 35 masa seminggu iaitu lebih kurang 1050 minit seminggu. Dalam 1 hari mereka hanya mempunyai 1 atau 2 sahaja "masa 'free". Masa free ini bermaksud masa mereka tidak perlu masuk ke dalam kelas. Pada masa free ini lah cikgu-cikgu yang berkenaan akan luangkan utk mengalas perut, memeriksa buku-buku latihan murid-murid yang membukit dan mengemas kini maklumat-maklumat fail yang berbelas-belas itu. Tercungap-cungap kadang dibuatnya.

Lagi satu, guru-guru ni sentiasa kena bergerak. Bukan seperti kawan-kawan kita yang bekerja di pejabat-pejabat. Mereka tidak perlu berjalan dari satu bangunan ke satu bangunan.Kami di sekolah ada juga banyak bangunan. Blok A, blok B, Blok C dan ada juga blok D. Bila abis masa mengajar di kelas yg terletak di blok A, kami terpaksa bergegas ke blog B atau mungkin ke blog C atau D. Dalam 1 hari tu, 3-4 kali jugalah turun naik tangga ke blok-blok yang berasingan.

Kerja mengadap murid-murid ni juga memerlukan kesabaran yang bukan sedikit. Setiap kelas puratanya mempunyai lebih kurang 30 org murid. Jangan tak tahu, ada juga kelas-kelas yang padat sehingga mencapai 40 orang. 40 orang bermaksud ada 40 perangai. Jadi guru-guru kenalah bijaksana dan tahan hati untuk berdepan dengan perangai-perangai murid. Itu perangai murid, tidak termasuk lagi perangai dan karenah pentadbir sekolah, karenah Pegawai Pendidikan di PPD mahupun di JPN. Nak puaskan hati mereka semua tu, kadang-kadang boleh buat kita hangin satu badan!

Hah sekarang, mudah ke kerja cikgu ni?

2. Banyak Cuti dan boleh balik awal?
Banyak sangat ke cuti cikgu-cikgu sekolah ni? Pengalaman saya sendiri, cuti panjang sekolah samada cuti penggal 1 ke atau cuti penggal 2, saya dan rakan-rakan kena jugak datang sekolah. Buat kelas tambahan, buat bengkel, buat kursus, paling komang pun kena datang buat mural kat sekolah!

Kerja cikgu pulak bukan macam kerja kawan-kawan kita kat opis, tak habis hari ni, esok datang ofis boleh sambung dan tak payah bawa balik kerja kat rumah. Tapi kami guru tak boleh macam tu. Sebut je balik awal, tapi terpaksa bawak macam-macam kerja kat rumah. Buku latihan murid yang tak sempat nak semak di sekolah, kertas ujian atau kertas peperiksaan pun kena periksa kat rumah sebab mana sempat nak buat kat sekolah.

Sebab apa tak sempat siap kat sekolah? Cuba baca balik yang kat atas tu. Kadang-kadang kami ni terutama cikgu-cikgu pompuan berada dalam dilema. Mana tak nya, bawak balik kerja kat rumah suami pulak sound. Apa bawak kerja kat rumah, kerja sekolah tinggal kat sekolah. Kat rumah, buat kerja rumah tangga saja. Tengok tu, kadang tak pasal gaduh dengan suami. Saper nak jawab tu?

Itulah sebenarnya kerjaya sebagai guru yang rata-rata orang tak tahu. Hanya orang yang berkecimpung dalam perguruan ini saja yang tahu. Apa pun , pada saya itu adalah sekadar luahan. Luahan yang tak mampu merubah apa-apa pun. Siapa nak dengar. Yang paling penting saya berpegang pada 1 iaitu kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mulia. Tugas memanusiakan seorang manusia adalah tugas yang menuntut segala macam kekuatan, kecekalan, kesungguhan dan keikhlasan. Dan alhamdulllah sehingga sekarang, saya mampu melaksanakan segala amanah yang diletakkan dibahu.

No comments: