Sunday, July 12, 2009

Kasarnya!

Hari ni hujan saja, sejak semlm. Pun, alhamdulilah hujan adalah rahmat. Mana taknya jika sebelum ini cuaca sangat panas jadi dengan turunnya hujan ini adalah pelengkap kepada pusingan cuaca, ada kemaraunya dan ada ada hujannya. Maka elakkanlah diri daripada merungut-rungut dengan kejadian Tuhan kerana panas dan hujan itu adalah anugerahNya kepada semua kehidupan di muka bumi ini.

Itu satu hal......
Sebut pasal merungut-rungut ini, aku pun nak merungut juga. Tapi bukan merungut pada ketentuan Tuhan. Cuma merungut untuk meluahkan rasa tak berkenan aku kepada seseorang yang pada aku tidak sepatutnya berbahasa seperti yang selalu digunakannya.

Masuk kuliah, telah 2 kali aku diberi kuliah oleh salah seorang pensyarah di sini. Kuliahnya bagus, cepat faham. Dia juga kulihat seorang yang mempunyai prinsip dan sentiasa patuh pada ketepatan masa. Itu aku puji.

Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang 'menyakitkan telingaku' bila dia menyampaikan kuliahnya. Tutur katanya yang kurang murni, kasar dan yang sewaktu dengannya itu membuatkan aku terfikir dan tertanya-tanya sendiri. Adakah itu caranya? Jika ya, teruknya! Mana boleh memanggil pelajar-pelajar yang sebaya dengannya dan ada yang lebih berusia daripadanya dengan panggilan hangpa, hang. Kasar dan kurang tertib rasanya tu. Adalah lebih elok dan lebih manis jika dia memanggil student-studentnya dengan panggilan cikgu-cikgu, atau anda, suadara-saudari atau apa-apa kata panggilan yang lebih murni dan bersopan. Jangan lah pakai redah saja. Setinggi mana pun ilmu kita, kesantunan dan kemurnian bahasa juga perlu diutamakan, terutamanya cara kita memanggil seseorang itu.

Thursday, July 9, 2009

Cikgu dan bekas murid

Semasa balik dari kuliah, saya duduk-duduk di cafe sementara menunggu suami datang menjemput. Kesian pulak kat suami sebab terpaksa menghantar dan menjemput saya pulang dari kuliah. Budimu kukenang!

Sewaktu duduk-duduk tu, saya didatangi seorang pelajar sekolah sekolah. Pelajar perempuan. Kebetulan pada waktu tu, IPGM Kampus Darulaman ada menganjurkan Hari Pengkisahan Kenegaraan dan menjemput pelajar-pelajar dari sekolah yang berdekatan menghadirinya.

Pelajar perempuan tadi menghampiri dan menegur saya. Setelah dia memperkenalkan diri, barulah saya perasan rupa-rupanya dia adalah bekas student saya semasa di Sekolah Kebangsaan Telaga Mas. Selepas bersalaman, dia membawa beberapa orang pelajar lain menemui saya. Dari jauh saya lihat mereka tersenyum-senyum dan melambai-lambai ke arah saya sambil menjerit Cikgu Azizah! Cikgu Azizah! Terlopong saya melihat gelagat mereka.

Apabila menghampiri saya, masing-masing bertanya, cikgu, masih kenal tak saya? Cikgu masih ingat tak nama saya? Sorang tu sempat berkata, cikgu ni mesti ingat nama saya sebab saya paling nakal dalam kelas. Tersenyum saya dibuatnya. Memang setelah diamati wajah sorang-sorang, saya kembali mengingati mereka semua. Yang paling nakal tu pun saya ingat nama dia, sebab saya selalu cubit dia dan piat dia masa dalam kelas! Tak sangka pulak, dia masih mengingati guru garangnya ni. Memang kat sekolah dulu, saya ni murid-murid panggil cikgu garang yang baik!

Terima kasih kepada semua bekas anak-anak murid yang masih mengenang cikgu nan sorang ni.

Wednesday, July 8, 2009

Kembali Ke Bilik Kuliah!

Dah agak lama tidak berkesempatan menulis di blog ni. Banyak yang tersimpan dalam kepala nak diluahkan di sini tetapi tidak sempat untuk dicatat.

Jadual rutin menjadi agak sibuk kerana sekarang ni dah kembali menjadi pelajar. Pelajar tua! Sebelum ni jadi pengajar, sekarang dah kena belajar balik. Sejak 29 Jun lepas, saya telah mendaftar di IPGM Kampus Darulaman untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan selama hampir 4 bulan.

Ia adalah sebahagian daripada perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Tua-tua baru nak belajar ye. Nak buat macam mana, sebelum ni komitmen lain banyak, anak-anak pun masih di peringkat yang perlukan perhatian yang lebih. Sekarang ni, anak-anak dah boleh diharap. Tak de lah menjadi masalah bila mak nya nak sambung belajar. Terima juga kepada suami tercinta yang memberikan galakan sepenuhnya untuk saya menyambung pelajaran. Pada saya restu suami tu paling penting.

Bila dah masuk bilik kuliah , teringat pulak zaman di maktab dulu. Masa tulah paling akhir saya memasuki bilik kuliah. Dah lebih 17 tahun lamanya. Jadi, bila menginjakkan kaki semula ke bilik kulih, terbayang kisah-kisah bersama kawan-kawan lama dulu. Sekarang dah jumpa pulak kawan-kawan baru. Rata-rata yang mengikuti kuliah bersama di sini berumur 20-an dan 30-an berbanding saya ni dah nak masuk 42 tahun!

Bila dah mula masuk kuliah ni dan mendengar kuliah-kuliah yang bermacam-macam, semacam pulak kepala dibuatnya.Maklumlah dah 17 tahun tinggalkan 'dunia masuk kuliah'dan mendengar kuliah-kuliah yang bermacam-macam. Dah lama meninggalkan zaman belajar menyebabkan agak ter'blur' sikit, tambah-tambah bila dapat assignment yang bukan satu tapi 7 dan satu masa.




Walaubagaimanapun, apa-apa pun kena cool! Kena bertenang dan kena bijak mengurus masa dan tugasan. Cakap kat diri sendiri, orang lain boleh, aku pun boleh!