Monday, March 9, 2009

Contoh Yang Terbaik



Selamat menyambut Maulidur rasul kepada semua umat Islam.

Hari ini adalah hari di mana kita semua mengingati kelahiran Junjungan Mulia kita Nabi Muhammad s.a.w Setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiul Awal, semua umat Islam di seluruh dunia akan memperkatakan tentang segala perihal mengenai Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w . Di corong radio, di televisyen, khutbah-khutbah di masjid-masjid mahupun surau-surau semuanya mencerita dan mengimbas semula cerita mengenai sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w.


Cuba bayangkan andai apa yang diceritakan itu mampu meresap ke dalam hati, mampu menyelinap ke dalam jiwa, sudah pasti apa yang berlaku pada kita sekarang tidak akan terjadi. Saban tahun, saban masa kita mendengar segala ceramah dan khutbah mengenai peri pekerti Junjungan kita, namun mengapa telinga kita hanya mampu mendengar dan tidak terus teresap ke dalam hati? Jika apa yang kita dengar itu teresap di dalam hati, tentu tidak kita meneruskan segala macam yang menyusang daripada pekerti rasullullah.


Cuba lihatlah gelagat umat Islam sekarang yang rata-rata mengakui dan mengikrarkan bahawa sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w itu mulia dan perlu dicontohi. Di Malaysia saja pun cukup, lihatlah! Lihatlah orang yang mengaku alim pun masih suka memaki hamun orang lain yang tidak selandasan fahaman dengan mereka. Sifat terpuji kah itu?


Lihatlah, ada yang berserban, berkupiah di atas kepala, tetapi dalam masa berserban dan berkupiah itu, mereka masih bersemangat dan lantang menuduh orang yang tidak sehaluan dengan mereka itu kafir , dan segala macam panggilan-panggilan yang kotor! Ini tentu sekali membuktikan kepada kita, apa yang dilafaz itu tidak terus dari hati. Kita mahu mengajar orang menjadi baik, tetapi kita sendiri tidak baik. Kita mahu mengajar orang berakhlak, kita sendiri goyang akhlaknya, Kita mahu mengajar orang bersopan, kita sendiri yang kurang ajar! Dalam ceramah, kita berdegar-degar menyeru orang mengikut dan mencontohi perilaku Nabi Muhammad s.a.w tetapi dalam masa yang sama kita sendiri yang seringkali tersasar daripada mengikutinya. Jadi bagaimana? Adakah selama ini apa yang masuk dalam telinga kita itu hanya menjadi tahi telinga kita?


Situasi ini mungkin akan menjadi baik, sekiranya, apa pekara baik yang kita dengar , kita amalkan. Tidak dinafikan sesetengah daripada kita kaya dengan ilmu agama. Tetapi percayalah, ilmu tanpa amal itu, ibarat pohon lebat berdaun tetapi tidak pernah berbunga dan berbuah. Ibarat rumah yang elok di luar, tetapi tidak cukup tiang penyokongnya. Berilmu bukan sekadar berteori, bukan sekadar bersilat lidah atau berlanggar pena. Berilmu bererti beramal.


Sesungguhnya Islam memuliakan ilmu dan ilmu yang dituntut mesti memberi manafaat kepada diri dan masyarakat Orang Islam yang berilmu hanya untuk kepentingan diri sendiri sama sahaja keadaan orang yang berilmu itu dengan orang yang tidak berilmu. Lebih teruk lagi, jika orang yang berilmu mempergunakan ilmunya utk membahayakan orang lain atau merosakkan masyarakat dan negara. Amat mendukacitakan kita kerana itu lah terhidang sekarang!