Haaaa betui la tu....gaji je banyak, tp yang keluar nya pun banyak. Tambahan pula dengan peningkatas kos sara hidup an
BERPENDAPATAN lebih RM5,000 mungkin disifatkan mewah, namun tidak untuk mereka yang berkeluarga.
Hakikat itu terpaksa dihadapi seorang eksekutif sebuah syarikat pembekal barangan am di ibu negara.
Hisyam Malik, 36, yang mempunyai dua cahaya mata hasil perkongsian
hidup selama 11 tahun bersama isterinya, mengakui gajinya sekadar cukup
makan, setelah menolak perbelanjaan dan komitmen setiap bulan.
Menurutnya, isterinya sudah tidak bekerja sejak lima tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada anak-anak yang sedang membesar.
“Isteri hanya kerja biasa-biasa saja dan gaji tidaklah banyak mana.
Kalau dia kerja pun, dapat gaji terpaksa berhabis untuk bayar pengasuh
dan kos ke tempat kerja pun agak tinggi. Jadi saya minta dia berhenti
untuk tumpu kepada anak-anak.
“Memang ‘sakit’ apabila semua perbelanjaan yang selama ini ditanggung
dengan dua pendapatan, terpaksa saya tanggung seorang. Walaupun tidak
banyak bahagian pendapatan isteri yang digunakan, ia tetap jadi kos
tambahan buat saya.
“Tapi taklah saya anggap ia sebagai beban sebab ia tanggungjawab yang
saya perlu lakukan. Tapi percayalah, jika tidak sabar, bukan mudah nak
hadapi,” katanya.
Hisyam berkata, anak sulungnya berusia sembilan tahun, manakala yang kedua baru genap setahun.
Katanya, kedua-dua anaknya itu, masing-masing mempunyai kos yang perlu dilaburkan.
“Kakak pergi sekolah pagi dan petang dengan bas sebab kedudukan rumah
yang agak jauh dari sekolah. Yang adik, macam biasalah, belanja susu dan
lampin pakai buang saja sudah berapa? Semua tu termasuk dalam belanja
rumah.
“Bila tolak semua perbelanjaan, adalah baki dalam RM500 untuk simpan.
Tu pun kadang-kadang tak dapat simpan sebab dah ‘tarik’ untuk
minggu-minggu akhir bulan,” katanya.
Ditanya sama ada dia berhasrat untuk berhijrah ke desa, Hisyam berkata,
perkara itu ada difikirkan, namun tidak mungkin dilaksanakan dalam masa
terdekat.
“Saya kerja di tempat sekarang sejak tamat diploma dan sudah selesa.
Sekarang bukan senang untuk dapat kerja, kalau di luar bandar, mungkin
tidak dapat gaji sebanyak itu sebab sekarang semua orang mahu ‘cut’ kos.
Tidak ambil yang berpengalaman kerana akan ‘demand’ tinggi.
“Insya-ALLAH, saya yakin dapat tanggung semua. Komitmen bayaran kereta
juga habis awal tahun depan. Begitu juga pinjaman peribadi. Jadi sedikit
sebanyak adalah juga lebihan wang nanti,” katanya.