Sunday, August 31, 2008

Minda Yang Belum Merdeka.




Hari ini genap 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Usia 51 tahun ini jika diukur adalah tahap umur yang cukup matang. Saya tidak ingin menyentuh mengenai apa yang telah dicapai oleh negara kita hingga ke saat ini.Namun apa yang mahu saya cetuskan adalah mengenai minda rakyat Malaysia di usia 51 tahun kemerdekaan ini.


Pada zahirnya kita memang telah merdeka. Namun tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa minda kebanyakan daripada kita masih belum merdeka. Lihat saja onar-onar yang diserlah oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia apabila berdepan dengan pertembungan idealogi politik. Contoh yang jelas dapat kita saksikan ialah semasa pilihanraya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini. Maki hamun, caci cerca, dan segala macam tindak tanduk yang jelek senang-senang dapat kita lihat.


Setiap hari kita disogokkan dengan cetusan berita mengenai kebiadapan orang-orang yang mengaku sudah merdeka ini. Yang paling memualkan ia datangnya daripada orang-orang Melayu yang berpegang kuat pada budaya kesopanan dan kesusilaan. Agaknya inilah minda merdeka mereka. Mereka mahu bebas 'merdeka' untuk melakukan apa saja, hatta dengan cara mencerca sesama bangsa dan sesama agama.


Mereka inginkan kemerdekaan minda dengan kebebasan untuk melakukan tindak tanduk yang bercanggah dengan ketatasusilaan bangsa. Menjerit-jerit seperti orang kehilangan adap, mencarut-carut tanpa segan silu dan menelanjangkan maruah orang mungkin merupakan satu kebebasan atau kemerdekaan minda bagi mereka. Itu lah paparan sebahagian rakyat merdeka di bumi merdeka ini yang mengundang satu pertanyaan iaitu 'Merdekakah kita?"


Sewaktu berjalan-jalan di bandar sebentar tadi, hati saya terdesup. 51 tahun merdeka namun minda rakyat belum merdeka. Anak-anak muda berpeleseran dengan gaya seperti mayat keluar dari kubur,. Dengan rambut kusut masai, bercacak-cacakan, kata mereka itulah fesyen up to date. Mereka ingin merdeka untuk menentukan gaya mana yang mereka suka, sekali pun ia menampakkan kejelekan yang ketara.


Anak-anak gadis baik Cina, India mahu pun Melayu sendiri mempunyai ketaksuban terhadap corak kehidupan bangsa penjajah. Kata mereka ini rona hidup moden, perlu mengikut barat. Tidak hairan lah jika mereka berani berpakaian seperti orang di zaman batu. Anak-anak Melayu sendiri tanpa segan silu menayangkan pakaian dalam untuk tontonan orang.


Mual melihatkan anak-anak Melayu berpakaian seluar sendat yang sengaja dilondehkan sehingga menampakkan seluar dalam, walhal tudung masih dipakai di atas kepala! Fesyen kata mereka! Jelas sekali, walau 51 tahun negara kita merdeka, minda warga nya masih ramai yang belum merdeka.

Wednesday, August 20, 2008

Kelebihan Bulan Syaaban

Bulan demi bulan berganjak dan terus berganjak. Sekarang telah masuk bulan Syaaban dan tidak lama lagi Ramadhan akan muncul melewati pusingan waktu. Bercakap mengenai bulan Syaaban ini, saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang singgah di blog ini untuk bersama-sama menghalusi akan kelebihan bulan Syaaban ini.




Keutamaan Bulan Syaaban
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya :



"Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan. Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya :



"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."



Amalan-amalan di bulan Syaaban
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
1. Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :



"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)



3. Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.



Malam Nisfu Syaaban
Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban adalah satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.



Malam nisfu Syaaban ini sayugialah kita hidupkan dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas sembahyan fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasiin akan dibaca doa. Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala dan pada bacaan ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. Cara lain ialah menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berhimpun membaca zikir dan Al Quran.


Doa Malam Nisfu Syaaban.





Ertinya : Allahumma Ya Allah Ya Tuhan yang empunya kurniaan, dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, ya Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang memohon perlindungan, dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan, yang mohon keselamatan, dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz, akan seorang yang celaka, maka hamba mohon akan hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia. Dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz akan seorang yang ditegah dari kebajikan, dan seorang yang disempitkan rezeki hamba, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba, dan mudahkan rezeki hamba, dan hamba mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba, akan seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufikkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al Quran) maksudnya : "Allah Taala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan, dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Loh Mahfudz."