Hari ini genap 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Usia 51 tahun ini jika diukur adalah tahap umur yang cukup matang. Saya tidak ingin menyentuh mengenai apa yang telah dicapai oleh negara kita hingga ke saat ini.Namun apa yang mahu saya cetuskan adalah mengenai minda rakyat Malaysia di usia 51 tahun kemerdekaan ini.
Pada zahirnya kita memang telah merdeka. Namun tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa minda kebanyakan daripada kita masih belum merdeka. Lihat saja onar-onar yang diserlah oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia apabila berdepan dengan pertembungan idealogi politik. Contoh yang jelas dapat kita saksikan ialah semasa pilihanraya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini. Maki hamun, caci cerca, dan segala macam tindak tanduk yang jelek senang-senang dapat kita lihat.
Setiap hari kita disogokkan dengan cetusan berita mengenai kebiadapan orang-orang yang mengaku sudah merdeka ini. Yang paling memualkan ia datangnya daripada orang-orang Melayu yang berpegang kuat pada budaya kesopanan dan kesusilaan. Agaknya inilah minda merdeka mereka. Mereka mahu bebas 'merdeka' untuk melakukan apa saja, hatta dengan cara mencerca sesama bangsa dan sesama agama.
Mereka inginkan kemerdekaan minda dengan kebebasan untuk melakukan tindak tanduk yang bercanggah dengan ketatasusilaan bangsa. Menjerit-jerit seperti orang kehilangan adap, mencarut-carut tanpa segan silu dan menelanjangkan maruah orang mungkin merupakan satu kebebasan atau kemerdekaan minda bagi mereka. Itu lah paparan sebahagian rakyat merdeka di bumi merdeka ini yang mengundang satu pertanyaan iaitu 'Merdekakah kita?"
Sewaktu berjalan-jalan di bandar sebentar tadi, hati saya terdesup. 51 tahun merdeka namun minda rakyat belum merdeka. Anak-anak muda berpeleseran dengan gaya seperti mayat keluar dari kubur,. Dengan rambut kusut masai, bercacak-cacakan, kata mereka itulah fesyen up to date. Mereka ingin merdeka untuk menentukan gaya mana yang mereka suka, sekali pun ia menampakkan kejelekan yang ketara.
Anak-anak gadis baik Cina, India mahu pun Melayu sendiri mempunyai ketaksuban terhadap corak kehidupan bangsa penjajah. Kata mereka ini rona hidup moden, perlu mengikut barat. Tidak hairan lah jika mereka berani berpakaian seperti orang di zaman batu. Anak-anak Melayu sendiri tanpa segan silu menayangkan pakaian dalam untuk tontonan orang.
Mual melihatkan anak-anak Melayu berpakaian seluar sendat yang sengaja dilondehkan sehingga menampakkan seluar dalam, walhal tudung masih dipakai di atas kepala! Fesyen kata mereka! Jelas sekali, walau 51 tahun negara kita merdeka, minda warga nya masih ramai yang belum merdeka.
No comments:
Post a Comment