Friday, March 14, 2008

KEMARUK NAK JADI MENTERI BESAR




Istana Terengganu ‘tolak’ Idris?
Oleh Nor Aziah Jaafar dan Wan Ramli Wan Mohamad


KUALA TERENGGANU 12 Mac – Terengganu mungkin memperoleh Menteri Besar yang baru apabila nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan ‘tidak diperkenan’ oleh pihak istana untuk memegang jawatan itu bagi penggal kedua.
Sumber Istana Terengganu ketika dihubungi mengesahkan sehingga hari ini Idris tidak mendapat ‘restu’ untuk meneruskan tugas tersebut walaupun beliau berjaya mengetuai Barisan Nasional (BN) Terengganu memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. <==== [ Dah mula nampak dah sikap suka mencantas orang-orang dalam Parti UMNO. Macam-macam cara depa guna untuk mendapat kuasa. Bila dah rapat dengan Sultan, kedudukan itu pun digunakan untuk mempengaruhi Sultan memilih mereka. Mereka mula mencambahkan benih-benih perpecahan di dalam Parti ]


Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti calon untuk menerajui kerajaan negeri.Bagaimanapun, ujar beliau, setakat ini nama-nama yang difikirkan sesuai belum diterima oleh pihak istana.


‘‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Kedua menyebut pelantikan Menteri Besar hendaklah terdiri daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
‘‘Yang ditekankan di sini bukanlah mereka yang mengetuai parti yang memenangi pilihan raya tetapi mana-mana seorang ADUN yang pada fikiran Sultan Terengganu boleh mendapat kepercayaan ahli-ahli dewan yang mewakili rakyat negeri ini,” katanya. <==== [ Pihak Istana perlu matang , perlu bijaksana, perlu lebih celik , perlu lebih rasional supaya tidak dijadikan alat oleh pihak-pihak yang gila kuasa. Sultan perlu lebih peka kepada kehendak semua rakyat yang masih memerlukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu dan bukan hanya mendengar omokkan-omokkan mengarut daripada orang yang mahu memangkas, mencantas dan memijak orang lain hanya kerana kemaruk ingin berkuasa.]



Mengulas lanjut, sumber istana itu berkata, Sultan Terengganu sebenarnya bukan melibatkan diri baginda dengan politik sehingga melampaui sempadan, namun apa yang baginda mahu ialah kepentingan dan kesejahteraan rakyat mendapat pembelaan. Sumber itu menafikan pihak istana campur tangan berhubung pelantikan menteri besar yang baru. Katanya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukannya. <==== [ Jika mahu melihat Terengganu selamat, jika mahu melihat Terengganu aman, sentosa dan maju seperti sekarang, pihak Istana usah melibatkan diri dalam percaturan politik. Usah biarkan pihak Istana diperguna-gunakan.Jangan sampai sudah terantuk baru nak terngadah. Jangan sampai rakyat hilang hormat kepada institusi Istana]


‘‘Pihak istana sebenarnya tidak campur tangan dalam pemilihan menteri besar, cuma istana mahu mereka yang menjadi menteri besar adalah mereka yang benar- benar diterima oleh rakyat.‘‘Istana juga mahu mereka yang menjadi Menteri Besar berkemampuan untuk membawa kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya. <===[Majoriti rakyat Negeri Terengganu masih memerlukan Datuk Seri Hj Idris Jusoh menerajui pentadbiran Negeri Terengganu. Rakyat masih menghargai jasa-jasa beliau yang berjaya merampas kembali Terengganu dari cengkaman PAS. Rakyat masih mengenang jasa beliau yang bertungkus lumus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO , terhadap Barisan Nasional. Rakyat masih menghargai kesungguhan beliau mengepalai gelombang biru dengan menjadi panglima di barisan hadapan melawan kerakusan PAS sewaktu memerintah Terengganu sebelum ini. Rakyat Terengganu tidak pernah lupa! Rakyat Terengganu bukan jenis tidak tahu mengenang budi!. Yang mudah lupa, yang tidak mengenang budi, yang tidak tahu menghargai jasa orang tu adalah wakil-wakil rakyat yang tamak haloba, yang hanya gila kuasa, yang sanggup pijak kepala orang lain hanya kerana mahu melunaskan kemaruk di dada.]


Setakat ini, antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Menteri Besar Terengganu ialah ADUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.
Turut disebut ialah ADUN Bukit Besi, Din Adam dan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said.
Kesemua mereka merupakan bekas ahli Exco kerajaan negeri pada penggal lepas.
Mohamed dan Rosol masing-masing bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri.Din pula ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, manakala Ahmad merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri <====== [ Ini lah manusia-manusia yang menjadi duri dalam daging. Menjadi gunting dalam lipatan. Menjadi perosak kesejahteraan UMNO. Tidak habis-habis dengan sikap tamak dan haloba. Kemaruk sangat ingin menjadi Menteri Besar sehingga sanggup memperalat Sultan dan Institusi Istana diheret sama.]

No comments: