Wednesday, July 23, 2008

Seni Dalam Diri











Semalam saya sempat menghadiri Hari Anugerah Cemerlang sekolah anak-anak saya. Anakanda kedua saya, Sharifah Nur Fairuz Serena mengambil bahagian dalam persembahan Tarian Zapin. Terpaku saya melihat dia menyusun langkah menarikan Tarian Zapin dengan begitu sempurna sekali. Bakat seni yang ada dalam diri Serena dapat saya lihat dari hari ke hari. Sebelum ini dia amat berminat dengan muzik. Kami belikan dia organ untuknya bila dia beriya-iya bercerita tentang minatnya untuk mempelajari organ. Kami hantar dia ke pusat belajar organ yang kebetulan tidak jauh daripada rumah kami.

Selepas itu, sekolahnya ada menganjurkan pertandingan menyanyi lagu-lagu Inggeris. Anakanda saya ni beriya-iya mahu menyertainya. Melihatkan kesungguhannya, saya dan suami melatihnya menyanyi dengan cara menyediakan set karaoke untuk nya. Dalam pertandingan tersebut, dia menyanyikan lagu Madonna........La Islaboneta dan berjaya menjadi Johan.

Bakat seni Serena tidak hanya tertumpu kepada muzik dan seni tari sahaja. Dia juga berbakat dalam seni lukis. Apa saja yang dilukiskannya benar-benar membuatkan saya terpaku. Bila melihatkan bakat seninya, saya tahu jiwanya sarat dengan seni.

Melihatkan dia menari semalam, saya teringat arwah nenek. Mungkin darah seni yang mengalir dalam tubuh anakanda saya adalah warisan darah moyangnya. Nenek saya, pada zaman mudanya merupakan penggiat makyung. Nenek pernah mempersembahkan tarian makyung nya di hadapan Raja Kelantan pada ketika mudanya dulu. Nenek pernah bercerita tentang hal ini kepada cucu-cucunya termasuklah saya.

Pada zaman kanak-kanak, saya pernah melihat persembahan makyung di kampung saya. Pada masa itu nenek sudah berusia, tetapi dia masih mampu menari makyung bila paluan dan serunai dimainkan. "Semangat Makyung" yang ada dalam dirinya begitu kuat. Sayang sekali, anak-anak nenek saya termasuk ayah saya tidak aktif dalam kebudayaan ini. Bila nenek meninggal dunia, seni warisan ini tidak lagi diikuti oleh anak-cucunya. Mungkin darah seni tarian tu banyak mengalir dalam diri cicitnya yang seorang ini.

Selain nenek , datuk saya juga merupakan pengiat Rodat di Besut Terengganu. Kata mak, arwah datuk kerap kali membuat persembahan Rodat bersama-sama kumpulan nya dahulu. Rodat merupakan salah satu Kesenian masyarakat di sebelah Pantai Timur, Khasnya di Terengganu. PERMAINAN rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan atau lebih yang digabungkan. Anggota-anggota yang mengambil bahagian dalam permainan ini terdiri dari tiga kumpulan. Satu kumpulan lebih kurang 10 orang pemukul rebana Tar, iaitu sejenis rebana kecil menarik. Mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada kaum lelaki dewasa. Menurut Mak, arwah datuk merupakan Tukang Adi, iaitu Ketua yang akan membaca lagu-lagu rodat. Bila mengimbas semula kenangan-kenangan lama ini, membuatkan saya terasa seperti kehilangan sesuatu yang sepatutnya saya jaga dan saya pelihara sebaik mungkin, iaitu warisan kesenian yang didukungi oleh datuk dan nenek saya. Warisan Seni itu seharusnya terus diperkembangkan generasi ke generasi. Mudahan saya masih berpeluang untuk ke arah itu.


2 comments:

Anonymous said...

Wah kemain anak kak nora menari ye. Pandai. Mesti mak dia pun handal menari ni?

Anonymous said...

Mak dia tak reti menari, bukan apa, kalau menari takut nanti tak cukup pentas pulak jadi nya!