Saturday, September 27, 2008

AL-FATIHAH

Tanggal 22 September 2008, bersamaan 22 Ramadhan........Nenek tercinta telah kembali ke rahmatullah. Setelah bertahun terlantar kerana sakit tua dan setelah bertahun tidak mampu mengurus diri sendiri, pada petang 22 Ramadhan nenek menghembuskan nafasnya terakhir.

Pemergian nenek yang mesra kami panggil TokWan amat dirasai. Mungkin kerana hubungan kami terlalu rapat. Tok Wan menyusuli pemergiaan Tok ki ( datok ) yang telah kembali kerahmatullah hampir 2 tahun yang lalu.

Banyak kenangan terkumpul bersama tokwan yang sehingga kini masih segar di kantung ingatan. Aku ingin bercerita mengenai tokwan kepada anak-anakku , semoga mereka akan lebih mengenali siapa tokwan. Anak-anak memanggil tok wan dengan panggilan Nyang. Singkatan untuk Moyang.

Tokwan meninggal di usia 80-an. Terlalu banyak yang kami semua kongsikan dengan tokwan. Semasa hayatnya, Tokwan atau nama sebenarnya Engku Fatimah binti Tengku Ali pernah berkhidmat di istana Tengku Long di Kampung Raja. Tokwan menjadi pengasuh kepada anak-anak raja ketika itu.

Tokwan mempunyai 9 orang anak, termasuklah ibuku. Terima kasih tokwan kerana melahirkan ibu yang hebat kepada kami. Terima kasih juga kerana menjadi nenek yang hebat kepada kami. Tokwan memang merupakan seorang ibu, seorang nenek dan seorang moyang yang cukup hebat. Kecekalannya, ketabahannya, kerajinannya, kerahmahannya dan kecaknaannya kepada kami dan kepada masyarakat di kampung memang terserlah. Tidak hairan lah mengapa tokwan begitu dihormati. Setiap kali raya, rumah ibu akan penuh sesak dengan tetamu dan salah saudara yang bertandang untuk menemui tokwan. Sejak sakit tua, tokwan tinggal di rumah ibu. Ibu memang banyak berkorban masa untuk menjaga nenek. Ibu satu-satunya anak perempuan tokwan yang masih ada.

Semasa aku di bangku sekolah, kehidupan kami memanglah susah. Aku masih ingat, semasa aku di sekolah rendah, aku sering mengikut ibu ,nenek dan datuk ke hutan yang berdekatan untuk mencari kayu api. Maklumlah pada zaman itu, belum ada kemudahan dapur gas atau letrik. kayu-kayu yang dipotong, diikat dah dijunjung sejauh 1-2 kilometer untuk dibawa pulang.

Aku juga pernah mengikut tokwan mengerjakan sawah. Pada masa itu, tokwan menyewa beberapa petak sawah. Aku dan sepupuku tanpa segan silu turun ke sawah untuk mengetam padi bersama tokwan. Aku pernah lari lintang pukang dikejar kerbau semasa di sawah. Pernah juga, aku menjerit ketakutan bila beberapa ekor lintah hinggap di betisku. Namun, kerana kasihankan tokwan, aku gagahi juga untuk menolongnya.

Tokwan suka bercucuk tanam. Tak hairanlah di sekeliling rumah tokwan penuh dengan pokok-pokok. Agaknya tangan tokwan ni sejuk, sebab tu apa juga yang ditanamnya tumbuh dan menjadi. Pokok-pokok mempelam misalnya, tumbuh subur dan berbuah lebat setiap kali tiba musimnya.

Kini,...tokwan telah tiada. Yang tinggal cuma kenangan-kenangan manis yang tetap akan mengiringi hayat. Nampaknya aku telah kehilangan ke empat-empat datok dan nenek. Datok dan nenek di sebelah ayah, telah lama meninggal dunia. Kini, datok dan nenek di sebelah ibu pula meninggalkan kami.Hanya doa yang dapat kami panjatkan kepada Tuhan, semoga roh tokki dan tokwan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin,,,,

2 comments:

Dr. Bentara said...

innalillah... yang hidup pasti akan mati.

KuNora said...

yang benar...yang pasti juga kenangan tidak akan mati..