Sunday, January 4, 2009

ABU, KASIH SAYANG TANPA SEMPADAN

Abu....sentiasa dibelai oleh seisi keluarga

Kasih sayang terlalu luas skopnya. Kasih sayang antara sesama manusia dan kasih sayang antara manusia dengan makhluk tuhan yang lain juga adalah aluran rasa yang dianugerahi Ilahi.

Bercakap tentang kasih sayang terhadap haiwan, baru-baru ni telah saya saksikan bagaimana sayangnya anak-anak saya terhadap seekor anak kucing. Anak kucing yang entah dari mana datang dan mengiau kesejukan di dalam sebuah longkang telah dipungut oleh anak perempuan saya.
Abu dilap bersih selepas setiap kali diberi susu.

Dia beriya-iya meminta izin untuk membelanya. Anak kucing yang pada anggaran saya baru saja berusia 2 minggu itu dibersihkannya. Dia meminta papanya membelikan susu dan keperluan lain untuk anak kucing yang kemudianya kami namakan Abu.

Setiap pagi seawal 6 pagi apabila terdengar Si Abu mengiau, anak perempuan saya yang berusia 10 tahun ini akan bangun dan membancuh susu serta memberikannya minum . Setiap hari Abu diberi susuan sebanyak 4 kali.


Anak perempuan kedua saya ini begitu ceria setiap kali bila dapat memberikan Abu minum susu. Saya memerhati gelagatnya. Sambil memasukkan susu kepada mulut Abu, dia sesekali bercakap-cakap dengan anak kucing yang kecil itu, seolah-olah anak kucing itu mampu memahaminya.

Dia beriya-iya mahu melakukan semuanya Saya kagum dengan sikap penyayangnya walaupun ada kebiasaanya anak saya ini agak tegas dan kepala angin juga. Walau bagaimana dalam situasi ini, saya dapat melihat kelembutan hatinya yang terselindung.

Suami saya dan anak-anak yang lain juga semakin menyayangi kehadiran Abu. Anak kedua saya sempat mencatat tarikh anak kucing ini ditemui iaitu pada 23 Disember 2008 pada 'white board' yang terlekat di ruang study. Walau bagaimana pun, pada petang 3 Januari 2009, Abu kelihatan kurang aktif. Kebetulan pada hari tersebut satu-satunya klinik haiwan yang terdapat di situ tutup. Walau bagaimanapun suami sempat menghubungi doktor haiwan dan meminta khidmat nasihat melalui telefon. Setelah mengikut nasihat doktor, kami membawa Abu balik ke rumah.

Anak kedua saya mula gelisah. Berkali-kali dia bertanya kepada saya dan papanya adakah kemungkinan Abu dapat diselamatkan. Saya cuba memujuknya dengan memberikanya semangat. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Abu semakin tenat. Nafas nya mula turun naik secara tidak normal.

Anak perempuan saya mula menangis. Sambil membelai anak kucing tersebut di atas tapak tangannya, dia tidak putus-putus menyebut nama anak kucing itu. Tersebak juga saya seketika melihatkan tingkah anak perempuan saya ini. Tidak lama selepas itu, Abu akhirnya menghelakan nafas yang terakhir..di atas tapak tangan anak perempuan kedua saya. Esakkannya semakin kuat. Dia betul-betul menangisi kematian Abu.
Abu beberapa minit sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Puas juga saya memujuknya dengan mengatakan itu janji Tuhan dan saya katakan kepada nya, andai Abu mampu berkata-kata, sudah tentu Abu akan berterima kasih di atas kebaikan dan kesanggupannya menjaganya sebaik mungkin. Untuk mengubat rindunya, suami saya merakamkan kenangan bersama Abu dalam bentuk paparan cd.

Begitulah.....kematian binatang pun kadangkala kita tangisi. Nyatalah kasih sayang mampu dizahirkan bukan sahaja kepada sesama insan, malahan juga kepada semua makhluk tuhan.

No comments: