Thursday, November 27, 2008

ANAKKU SAZALI VERSI ALAF BARU.

berita@kosmo.com.my

GOMBAK - Gara-gara perselisihan faham antara bapa dan anak lelakinya, seorang ibu menjadi mangsa apabila satu das tembakan yang dilepaskan anaknya tersasar mengenai rusuk kanannya di Country Homes di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, remaja berusia 15 tahun itu yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan bertengkar dengan bapanya, seorang anggota polis di tempat letak kereta rumah mereka.
***************************************************************************************************************

Terkedu sejenak saya sewaktu membaca berita yang tertera di dada akhbar semlm. Tertanya di hati saya, bagaimana mungkin si anak tergamak menembak orang tuanya sendiri. Berita ini adalah antara beberapa gambaran yang semakin kerap kita baca mengenai perlakuan anak-anak di zaman moden ini.

Kisah ibu dan ayah diterajang anak , dicekik dan ditikam oleh anak-anak sendiri bukanlah suatu perkara yang semakin pelik sekarang. Kalau dahulu ya, berita-berita seperti ini amat jarang berlaku, malahan boleh boleh dianggapkan tidak berlaku. Tidak terbaca atau tidak terdengar oleh kita perihal anak mencederakan ibu bapa sendiri.

Teringat kisah Anakku Sazali dan beberapa cerita lain yang banyak menyorotkan pengkisahan tentang salah laku anak-anak pada zaman itu. Secara sinisnya, terdapat mesej-mesej yang sarat di dalam filem tersebut. Antaranya bagaimana asuhan si bapa telah mencorakkan anaknya menjadi Sazali yang derhaka, menjadi Sazali yang kurang ajar dan menjadi Sazali yang tidak mengenang budi. Natijahnya si bapa pula akhirnya ditempelak oleh si anak dengan menyalahkan sikap si ayah yang terlalu mengikut kata dan memanjakannya secara berlebihan menjadi penyebab akhlaknya rosak.

Lihatlah apa yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh menidakkan bahawa sikap kita sendiri sebagai ibu bapa adalah menyumbang kepada kemerosotan akhlak genarasi sekarang.Apabila anak-anak ditegur guru, maka ibu bapa berduyun-duyun datang ke sekolah memaki hamun guru. Apabila anak-anak dirotan guru, maka riuh rendahlah di dada-dada akhbar hatta di kaca televisyen pun tentang omokkan guru menyalahkan kuasa. Terdapat juga terutamanya di kalangan keluarga berada sanggup memasang peguam hanya untuk menyaman guru yang cuba membentuk tingkah anak-anak mereka.

Sikap ibu bapa seumpama ini samalah seperti si ayah dalam kisah Anakku Sazali. Berapa ramai lagi Sazali yang kurang ajar mahu kita lahirkan? Jawapannya ada di tangan kita. Menjaga anak di zaman sekarang menuntut ibu bapa supaya mempunyai ilmu yang pelbagai. Cara kita mendidik mereka haruslah dengan cara yang bijaksana. Jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang berkemahiran dalam ilmu kekeluargaan. Usah malas untuk membaca buku-buku mengenai perihal cara mendidik anak-anak. Tidak salah untuk kita sama-sama berkongsi pengetahuan dengan ibubapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka dengan baik. Semoga kecaknaan kita terhadap perkara ini akan mampu melahirkan genenasi yang lebih berhemah. Mudahan juga kisah anak menembak ibu, anak menetak dan membunuh ibu bapa tidak lagi menjadi penghias berita di dada-dada akhbar.





No comments: