Monday, November 30, 2009

MANGSA LANGGAR LARI

Oren sebelum 'dikebumikan'.

Wajah comel Oren.

Oren terlentang kekenyangan.

Sewaktu sampai di muka pintu pagar rumah, mata saya terpandang satu objek di atas jalan. Nampak macam kucing. Naluri mengatakan itu macam si Oren. Saya dan anak-anak bergegas mendapatkan objek di atas jalan raya itu. Sah, kucing yang terkulai di atas jalan raya itu adalah Oren. Rantai di leher Oren mengesahkan itu adalah kucing kami.

Menjerit anak-anak saya apabila melihat keadaan Oren. Oren dah mati! Menitis air mata bila melihat keadaan badan Oren yang cedera teruk. Rasa-rasanya Oren mati dilanggar kereta. Kepalanya cedera parah, sampai tak sanggup saya melihatnya. Oren telah kami kebumikan bersebelahan kubur ABU.

Kesian dan hiba hati saya melihat anak-anak menangis teresak-esak kerana menangisi kematian Oren. Oren ni kucing yang manja. Anak-anak saya pun memang selalu manjakan Oren. Teringat semasa kami mula-mula menemui Oren yang kesejukan berdekatan dengan sebuah pasaraya di Bandar Alor Setar. Masa tu bulan Mei 2008. Kecil lagi Oren waktu tu. Seronok bila tengok anak-anak melayan si Oren ni.



Paling seronok bila tgk time dia makan dan kemudian terlentang kekenyangan. Si Oren ni suka duduk diriba. Selalunya, ketika saya duduk menonton televisyen atau ketika sedang menggunakan komputer, Oren akan naik dan duduk di atas riba saya. Bila turunkan, Oren akan naik semula dan duduk sampai tertido. Kini, dah tak boleh nak tengok Oren lagi. Dah tak boleh nak gelak bila tengok gelagat Oren tidur kekenyangan....Oren kini tinggal dalam kenangan.

Saturday, November 28, 2009

Selamat Hari Lahir Kakak!

Genap 15 tahun umur Ariffah pada 25 November 2009 yang lalu. Saya dan suami kali ni meraikan ulangtahun kelahiran Ariffah yang kami panggil Kakak di sebuah restoran Secret Recipe di Bandar Alor Setar. Dah besar pun anak mama. Saya dan suami suka bercerita kepada anak-anak tentang apa yg mereka selalu buat semasa mereka kecil. Selalu bercerita tentang susah senang menjaga mereka sewaktu bayi dan sebagainya.Kakak adalah anak sulung saya. Sewaktu melahirkan Kakak, saya dan suami baru saja memasuki alam pekerjaan. Masa tu kami tinggal di perantauan.Jadi sejak dari lahir lagi, saya dan suami bersama-sama menjaganya. Saja tidak mahu menyusahkan keluarga, kami berdua sepakat untuk menjaganya sendiri. Biarlah susah senang kami berdua tanggungi bersama. Maklumlah masa tu belum ada pengalaman menjaga bayi. Kekok juga dibuatnya. Pada waktu tu, saya benar-benar terharu dengan kesanggupan dan ketabahan suami semasa menjaga kakak yang baru lahir tu. Dia lah yang memandikan kakak,nampak macam tak kekok langsung walaupun itulah pengalamannya yang pertama. Saya pulak masa tu, belum berani nak mandikan kakak yang belum tanggal lagi tali pusatnya. Gerun saya! Alhamdulillah, dengan izinNya juga, dipermudahkan saya dan suami menjaga kakak. Dia tak banyak meragam. Tak susah menjaganya. Bila kakak berusia 2 tahun, kami balik ke kampung kerana berpindah kerja di sana. Seronok bila melihatkan kakak membesar. Semasa kecil, kakak suka berposing. Pantang disuruh bergaya depan kamera, mula lah dia bergaya macam-macam. Sekarang kakak sudah berusia 15 tahun. Begitu cepat masa berlalu, tapi saya rasakan seolah-olah kakak masih kanak-kanak walaupun sebenarnya dia telah meningkat remaja. Kepada kakak, mama dan papa sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kakak. Kasih sayang mama dan papa akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kakak. Semoga kakak akan menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat juga.

Friday, November 20, 2009

Wajah-wajah UPSR

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.

R.Yugarajan antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR di SJKT Barathy.

Semalam adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua murid yang mengambil UPSR. Ada wajah penuh girang, ada wajah suram. Itu adalah gambaran biasa yang selalu kita saksikan sewaktu tiba saat pengumuman keputusan. Kepada anak-anak murid yang berjaya, syabas dan tahniah. Tahniah juga kepada para ibubapa atau para waris yang begitu bersungguh-sungguh demi menjamin kejayaan anak-anak.

Sempat berbual dengan beberapa orang ibu bapa yang kelihatan muram kerana keputusan anak-anak mereka tidak seperti yang dijangkakan. Kata mereka, tuisyen dah bagi, apa pun dah bagi, tapi keputusan tidak seperti yang diharap-harapkan. Sekadar berkongsi dengan mereka, saya nyatakan kepada mereka, kita sebagai penjaga memang mengharapkan kecemerlangan anak-anak. Pelbagai cara dah kita buat tapi sentuhan terakhir adalah di tangan anak-anak kita sendiri. Pada si ibu yang murung itu, saya nasihatkan dia, usah diberi tekanan kepada anak. Langkah mereka masih panjang. Jangan kerana kegagalan mereka di tahap ini, kita hukum mereka seolah-olah mereka sudah sampai ke hujung perjuangan. Jangan sampai kejadian setahun yang lalu di mana seorang murid telah menggantung diri hanya kerana tidak mendapat bilangan A yang dimahukan oleh ibu bapa mereka! Kepada anak-anak murid yang menangis teresak-esak kerana gagal menggapai kejayaan yang diharap, saya peluk dan bisik kepada mereka, kamu belum kalah. Kamu belum gagal dalam hidup. Usaha lagi dalam PMR nanti. Bukti kat semua orang kamu masih boleh berjaya.

Dalam keriuhan suasana gelak tawa dan tangis, datang beberapa orang ibu bapa kepada saya sambil mengucapkan terima kasih. Anaknya tidak tergolong dalam kumpulan murid-murid pandai. Cemerlang jauh sekali. Setiap kali ujian atau peperiksaan, tak pernah lulus pun. Tapi semalam, murid ini dan ibu bapanya datang kepada saya dengan kuntuman senyum. Kata si ayah, terima kasih cikgu kerana ajar anak saya. Dia lulus! Ingat dia dapat D atau E, tapi dia dapat B! Itu murid dari kelas belakang, yang sebelum ini langsung tak diberi harapan oleh ibu dan ayah nya lulus dalam UPSR. Lalu saya berkata kepada keluarga ini, setiap anak ada potensi. Mungkin dia kurang bijak dalam pelajaran tapi ada kemampuan lain yang tidak ada pada pelajar-pelajar cemerlang. Yang penting sebagai ibu bapa kita perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka kebolehan yang ada pada dirinya.

Itu lah antara cerita-cerita yang berlaku di sekolah saya semalam. Bila tengok surat khabar hari ni pula, bermacam-macam cerita berlaku di sana-sana, semuanya bercerita tentang keputusan UPSR semalam. Dalam banyak-banyak cerita, saya tersentuh hati apabila terbaca tentang kegigihan seorang ibu kepada seorang pelajar cacat di Besut demi melihat anaknya berjaya.

Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.


Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.

Di helaian yang lain pula, saya teruntun hati apabila terbaca kisah seorang murid miskin yang hanya mampu melihat keputuasan cemerlangnya di papan kenyataan tanpa mampu memegang slip keputusan hanya kerana tidak mampu melangsaikan hutang dengan pihak sekolah. Kesian bila melihat dia menangis. Tidak tercetuskan perasaan kesian di hati para guru di sekolah itu untuk mengizinkan dia memiliki slip keputusannya. Entahlah...kadang-kadang kerana perkara wang ringgit manusia seolah hilang nilai kemanusiaan.

Tuesday, November 10, 2009

Bila kita sakit...

Semalam saya dan suami sempat menziarahi seorang rakan sekerja, Guru Penolong Kanan sekolah saya di Hospital Besar Sulaltanah Bahiyah Alor Setar. Bila sampai di wad, saya lihat dia terlantar lemah. Paling mengharukan bila melihat kaki kanannya telah dipotong. Dah jadi kudung.

Kakinya terpaksa dipotong kerana kesan penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dia memang pengidap penyakit kencing manis yang serius. Kesian sungguh bila tengok dia dalam keadaan macam tu. Maklumlah sebelum ni, dia seorang guru yang aktif dalam hal-hal sukan, jadi bila dah jadi macam tu, dah susah dah untuk dia buat perkara-perkara yang sebelum ni dia buat.

Bila berbual-bual dengan beliau, kami sempat nasihati dia supaya jaga makan, kena berpantang sikit bila makan. Saya nasihatkan dia makan ikan haruan, buat sup ke, panggang ke. Sebab ikan haruan ni memang baik untuk menyembuhkan luka-luka. Apa yang termampu kami buat adalah terus memberikannya semangat dan nasihat serta berdoa agar dia kuat semangat dan cepat sembuh. Setahu saya, dia ni susah sikit nak berpantang. Ini diakui sendiri oleh yang empunya badan. Dalam duk sakit masa dalam wad tu pun, dia sempat mintak minum nescafe dan tea yang bergula!