Friday, November 20, 2009

Wajah-wajah UPSR

UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.

R.Yugarajan antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR di SJKT Barathy.

Semalam adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua murid yang mengambil UPSR. Ada wajah penuh girang, ada wajah suram. Itu adalah gambaran biasa yang selalu kita saksikan sewaktu tiba saat pengumuman keputusan. Kepada anak-anak murid yang berjaya, syabas dan tahniah. Tahniah juga kepada para ibubapa atau para waris yang begitu bersungguh-sungguh demi menjamin kejayaan anak-anak.

Sempat berbual dengan beberapa orang ibu bapa yang kelihatan muram kerana keputusan anak-anak mereka tidak seperti yang dijangkakan. Kata mereka, tuisyen dah bagi, apa pun dah bagi, tapi keputusan tidak seperti yang diharap-harapkan. Sekadar berkongsi dengan mereka, saya nyatakan kepada mereka, kita sebagai penjaga memang mengharapkan kecemerlangan anak-anak. Pelbagai cara dah kita buat tapi sentuhan terakhir adalah di tangan anak-anak kita sendiri. Pada si ibu yang murung itu, saya nasihatkan dia, usah diberi tekanan kepada anak. Langkah mereka masih panjang. Jangan kerana kegagalan mereka di tahap ini, kita hukum mereka seolah-olah mereka sudah sampai ke hujung perjuangan. Jangan sampai kejadian setahun yang lalu di mana seorang murid telah menggantung diri hanya kerana tidak mendapat bilangan A yang dimahukan oleh ibu bapa mereka! Kepada anak-anak murid yang menangis teresak-esak kerana gagal menggapai kejayaan yang diharap, saya peluk dan bisik kepada mereka, kamu belum kalah. Kamu belum gagal dalam hidup. Usaha lagi dalam PMR nanti. Bukti kat semua orang kamu masih boleh berjaya.

Dalam keriuhan suasana gelak tawa dan tangis, datang beberapa orang ibu bapa kepada saya sambil mengucapkan terima kasih. Anaknya tidak tergolong dalam kumpulan murid-murid pandai. Cemerlang jauh sekali. Setiap kali ujian atau peperiksaan, tak pernah lulus pun. Tapi semalam, murid ini dan ibu bapanya datang kepada saya dengan kuntuman senyum. Kata si ayah, terima kasih cikgu kerana ajar anak saya. Dia lulus! Ingat dia dapat D atau E, tapi dia dapat B! Itu murid dari kelas belakang, yang sebelum ini langsung tak diberi harapan oleh ibu dan ayah nya lulus dalam UPSR. Lalu saya berkata kepada keluarga ini, setiap anak ada potensi. Mungkin dia kurang bijak dalam pelajaran tapi ada kemampuan lain yang tidak ada pada pelajar-pelajar cemerlang. Yang penting sebagai ibu bapa kita perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka kebolehan yang ada pada dirinya.

Itu lah antara cerita-cerita yang berlaku di sekolah saya semalam. Bila tengok surat khabar hari ni pula, bermacam-macam cerita berlaku di sana-sana, semuanya bercerita tentang keputusan UPSR semalam. Dalam banyak-banyak cerita, saya tersentuh hati apabila terbaca tentang kegigihan seorang ibu kepada seorang pelajar cacat di Besut demi melihat anaknya berjaya.

Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.


Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.

Di helaian yang lain pula, saya teruntun hati apabila terbaca kisah seorang murid miskin yang hanya mampu melihat keputuasan cemerlangnya di papan kenyataan tanpa mampu memegang slip keputusan hanya kerana tidak mampu melangsaikan hutang dengan pihak sekolah. Kesian bila melihat dia menangis. Tidak tercetuskan perasaan kesian di hati para guru di sekolah itu untuk mengizinkan dia memiliki slip keputusannya. Entahlah...kadang-kadang kerana perkara wang ringgit manusia seolah hilang nilai kemanusiaan.

2 comments:

Anonymous said...

Hi nama saya puspa. Saya kini ada satu prog yang boleh menbantu pelajar mencapai straight A dalam peperiksaan. Hubungi saya 016-2219765

KuNora said...

Terima kasih Puspa :-)