Saturday, November 27, 2010

Aktiviti Anak-anak

Sudah seminggu cuti sekolah berlalu. Ramai dah yang bercuti barangkali dan tak kurang juga agaknya yang balik kampung dan sebagainya. Kami sekeluarga belum sempat bercuti ke mana-mana lagi. Duduk saja di rumah. Mungkin seminggu dua lagi baru dapat ke mana-mana. Kebetulan pula khabarnya ibu dan adik mahu datang ke sini. Jadi kami tinggu saja di rumah.

Maka aktiviti masa cuti anak-anak diisi dengan aktiviti dalam rumah saja lah. Anak yang bongsu macam biasalah tak sudah-sudah dengan playstation dan games onlinenya. Kadang-kadang kami anak beranak lawan catur. Anak yang sulung pula lebih suka mengadap novel, sampai dah bertimbun-timbun novel koleksinya. Yang kedua pula gemar melukis. Kalau keluar ke pasaraya, benda yang dicarinya adalah kertas lukisan dan pen lukisan. Memang dia ada bakat semulajadi.

Teringat zaman kanak-kanak dulu. Masa zaman sekolah dulu, abang pun suka melukis, Habis dinding rumah mak dibuat mural. Dan sekarang si Nana memiliki bakat seperti bapa saudaranya.

Antara koleksi lukisan nana











Tuesday, November 23, 2010

Selamat bercuti kepada murid-murid dan guru-guru seluruh Malaysia!

Selamat bercuti kepada semua murid-murid dan cikgu-cikgu. Alhamdulillah ada masa sikit untuk buat aktiviti bebas. Tak perlu nak semak-semak buku tiap-tiap hari lagi dah. Tahun ni tak perlu banyak kali ke sekolah pd masa cuti ni , lega sangat.

Mungkin ramai yang mula menikmati cuti-cuti Malaysia. Bawa keluarga berjalan2 atau setidak-tidaknya balik kampung, kecohkan rumah datok nenek. Teringin juga nak balik ke Kampung Air Tawar, bercuti di rumah Che cuti ni, tapi nampaknya buat masa ini belum pasti. Kebetulan pula Disember nanti saya sendiri ada final exam. Kesian juga dekat anak-anak. Harap-harap la jugak bawa mereka ke mana-mana walau beberapa hari.

Thursday, November 11, 2010

Antara anak sendiri dan anak-anak murid..

Hari ni keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Bagi seorang guru, terutamanya yang mengajar Tahun Enam pasti debar di dada melebihi debar pelajar. Sejak mula melapor diri di sekolah pertama dulu , iaitu kira-kira 17 tahun yang lalu, saya telah diamanahkan untuk mengajar tahun enam. Dalam tempoh perkhidmatan saya, tidak pernah setahun pun terlepas dari mengajar di Tahun Enam.
Sebenarnya memang setiap tahun, saya akan diburu rasa gelisah, dada berombak2 kerana berdebar dengan keputusan yang bakal dicapai. Kalau silap hari bulan boleh kena sakit jantung dibuatnya. Bukan apa, tanggungjawab yang dipikul bukan sedikit. Kalau lingkup pencapaian subjek yang kita ajar, maka lingkuplah keseluruhan pencapaian sekolah. Jadi memang setiap tahun berdebar jer lah dibuatnya bila tiba waktu keputusan nak diumumkan.
Dan hari ini, dada saya berganda debarnya. Ini kerana anak kedua saya pun mengambil UPSR. Tapi, entahlah, saya terlalu debarkan anak-anak murid saya sehingga bila ada yang cadangkan saya pergi saja ke sekolah anak yang terletak tidak jauh dari sekolah saya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan anak, saya kata, tak apa, saya nak lihat dulu keputusan anak-anak murid saya.
Setelah keputusan dimaklumkan, saya lega kerana peratus subjek yang diajar meningkat hampir menyamai target dan paling lega bila peratus keseluruhan telah meningkat sebanyak 20% berbanding tahun lepas. Namun dalam kelegaan itu, saya sedikit terkilan kerana beberapa orang murid yang rasa saya memang layak mendapat 7A berdasarkan peperiksaan dan ujian yang dijalankan sebelum ni, tup2 mendapat 6A 1B. Menangis teresak2 murid2 tersebut. Dan dalam waktu saya cuba menenangkan perasaan murid-murid saya ini, tiba-tiba anak kedua saya menelefon saya memberitahu dia gagal mendapat 5A, sekadar 4A 1B. Mana nak saya dahulukan. Pujuk anak dan pujuk anak-anak murid.
Melalui telefon, saya memujuk dan menenangkan anak saya. Saya katakan kepadanya, dia dah berusaha sehabis baik dan saya memang nampak peningkatan pencapaiannya sebelum ini. Namun apa nak dikatakan, satu subjek tersasar mendapat B. Saya katakan lagi kepadanya, mama bersyukur dan gembira walaupun Nana mendapat 4A 1B. Mama tahu Nana boleh mencapai keputusan yang lebih baik nanti. Selepas menutup telefon, saya kembali kepada anak-anak murid saya yang masih menangis teresak2.
Saya dan beberapa orang guru menenangkan mereka dan memberi kata nasihat serta perangsang kepada mereka agar mereka sedar bahawa mereka telah mencapai keputusan yang baik sebenarnya. Mereka dah berusaha bersungguh-sungguh dan kami nampak kesungguhan itu. Selepas dipujuk dan diberi perangsang, akhirnya murid-murid harapan tadi kembali tenang dan tak lama selepas tu dah kembali tersenyum!
Begitulah situasi yang dilalui oleh saya dan guru-guru Tahun Enam setiap tahun.

Sunday, November 7, 2010

Suka-suka dia saja....

Pagi ini, saya sempat membelek-belek berita secara online. Nak cari surat khabar di luar sana, jalan masih ditutup. Sewaktu membelek2 berita, mata terfokus tentang satu rencana. Saya kongsikan petikan rencana tersebut dengan para pembaca dan kalau sudi fikir, fikir-fikirkanlah....

Bahasa Melayu dan sekolah vernakular
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

DESAKAN Ahli Parlimen Bukit Mertajam, mahukan guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Cina (SJKC) mesti menguasai bahasa Cina bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran jelas menunjukkan siapa mereka sebenarnya. Lebih ekstrem lagi, beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya guru bahasa Cina mengajar Mandarin di sekolah kebangsaan jika tidak memahami bahasa Melayu. Dua isu yang jauh berbeza.

Pertanyaan saya, di manakah negara kita berada sebenarnya? Anak-anak bukan Melayu sepatutnya sejak kecil sudah menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Kenapa perlu perkenalkan guru bahasa Melayu sedemikian rupa di sekolah vernakular? Bahasa Melayu di peringkat sekolah adalah untuk tujuan pemantapan, bukannya untuk belajar mengeja dan belajar bertutur. Tidakkah kita sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nombor satu negara yang mesti dikuasai dan dituturkan sejak anak-anak ini masih rebung?

Selaku Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau memberikan input untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, bukan sekolah perkauman. Pemantapan masa depan amat penting untuk generasi akan datang. Sekolah perkauman tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan yang sedia ada, jika tidak diperbaiki dan diatasi kelemahan yang sedia ada.

Apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memperkasakan anak bangsa dan rakyat negara ini semuanya ditentang. Semuanya tidak betul. Bayangkan jika mereka memerintah, sudah tentu guru-guru bahasa Melayu, yang kebanyakannya guru Melayu, akan dipaksa untuk memperkasakan sekolah vernakular. Maklum sahajalah guru bukan Melayu tidak mahu mengambil option bahasa Melayu sebab tidak ada nilai komersial. Apakah mungkin sekolah kebangsaan juga akan ‘divernakularkan’?

Persoalannya, susah sangatkah belajar bahasa Melayu? Cuba kita buat perbandingan bagaimana mereka yang datang ke negara kita untuk mencari rezeki seperti pekerja Bangladesh, India dan sebagainya, bagaimanakah mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa begitu cepat tidak sampai setahun. Hari ini kita bukan bercakap jangka masa setahun, tetapi sudah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kalau ada yang boleh, cara percakapannya amat meloyakan.

Saturday, November 6, 2010

Suspen sungguh!

Di Pumpong



Semalam, konon2 nk pergi tengok keadaan bah di sekitar rumah lama di Jalan Stadium,alih-alih terperangkap! Bila sampai di Jalan Stadium, tengok jalan dh penuh dengan air bah. Kereta-kereta yang meredah laluan dah banyak tersangkut. Nak pusing tak boleh sebab jalan sehala dan ada pembahagi jalan di tengah-tengah. Kalau terus tunggu harus2 terperangkap dalam air bah. Mahu tak mahu, suami terpaksa bawa kereta secara mengundur untuk keluar dari Jalan Stadium. Suspen , sebab jalan sehala dan ada kereta yang masih terus masuk ke jalan tersebut kerana tidak tahu apa yg berlaku di hadapan.

Bila dah dapat keluar dari kawasan tadi, satu lagi dugaan terhidang di hadapan. Jalan bersebelahan KFC pun penuh dengan 'air milo'! Tak ada pilihan lain, perlu redah! Kalau tunggu mesti terperangkap dalam kereta. Alhamdulillah, Allah permudahkan, dapat melepasi laluan air bah sejauh 50 meter tu. Pucat kelat muka anak-anak, muka mak nya pun! Terus pecut balik ke rumah, syukur tak ada apa2 yang buruk berlaku.

Friday, November 5, 2010

Macam-macam cerita bila ada Pilihanraya ni...

Tinggalkan seketika cerita pasal banjir.
Tukar topik politik pulak. Semlm telah diketahui keputusan pilihanraya di Galas dan Batu Sapi. Tahniah kepada yang menang dan kepada yang kalah, perlulah terima kenyataan walaupun pahit. Biasa lah, adat pertarungan, ada menang, ada kalahnya. Orang yang tidak mampu menerima kekalahan, lain kali jangan masuk gelanggang.

Bila adanya pertandingan macam ni, ada baik dan buruknya.

Tengok la, dulu orang tak tahu pun kt mana GALAS, kat mana Batu Sapi. Bila diadakan medan percaturan politik, baru lah kita tahu wujudnya Galas. Baru lah rumah2 orang asli dikunjungi dengan begitu mesra sekali! Barulah wajah2 orang asli yang berketak2 nya dapat disapa. Agaknya orang2 asli tu pun jadi culak, yelah, sebelum ni, sapa pun tk ambik berat, sapa pun tk pernah bertanya kabar, apatah lagi nak bersalam atau nak bermanis2 wajah dengan mereka.

Lagi satu paling ketara bila berlakunya pilihanraya macam baru2 ni, kewarasan manusia makin menipis. Apa ke badi nya ntah lah. Yang sebelum ni boleh bersembang elok, boleh bersabar dengan macam2 perkara, bila tiba time berkempen, manusia dah jadi kurang waras! Budi bahasa dibuang jauh2 ke kaki langit! Yang terucap di bibir mulut cuma maki hamun, umpat-mengumpat, dan paling memalukan carut-mencarut laju jer keluar daripada mulut. Kupiah kat kepala pun tk ingat dah. Ulamak dan jadi Fulamak! Iskkkk, apa nak jadi dengan orang kita ni? Adakah kita perlu menjadi orang lain bila berkempen? Adakah kita perlu mengorbankan tatasusila dan peradaban semata2 untuk meraih undi?

Sungguh memualkan....memalukan...!

Kurang Cakna


Pagi dan tengah hari tadi, keluar cari stok makanan. Sempat juga tinjau2 paras air di sekitar Alor Setar ni. Makin naik nampaknya. Banyak kawasan yang semlmnya kering, hari ni telah dipenuhi air. Banjir belum menunjukkan tanda akan reda. Walau pun hujan dah berhenti sejak 2 hari lalu, tp makin banyak kawasan dipenuhi air. Entahlah, beginilah bila hal2 yang berkaitan kepentingan saliran dan perparitan yang sempurna diambil mudah.

Sebelum ni, banyak longkang2 tersumbat, tp jarang sangat pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan. Longkang besar pun penuh dengan pokok2, penuh dengan sampah. Masing2 buat tak tahu! Bila dah berlaku banjir besar macam ni, baru kalut nak korek. Kerja kurang cerdik! Pembangunan kiri kanan belakang depan duk buat. Taman2 perumahan tumbuh macam cendawan lepas hujan. Habis tanah bendang ditukar status utk dijadikan tempat kediaman. Bina itu, bina ini, tapi saliran dan sistem perparitan tidak selari. Masih di tahap lama. Pentadbiran kerajaan negeri ni tak da fikir ke semua ni? Iskkk payah bila yang jadi pemimpin atasan ni fikiran tak maju ke depan. Lambat pick-up...

Thursday, November 4, 2010

Air oh air.........


Semalam, pagi-pagi lagi kawan sekerja telefon bertanyakan tentang bekalan air di kawasan tempat tinggal saya ok ke tidak. Terkejut juga sebab sebelum keluar rumah tadi, memang air ada. Rupa-rupanya dia baru sahaja mendapat berita bahawa di seluruh Alor Setar bakal menerima gangguan bekalan air selama 3 hari!

Balik ke rumah jiran2 yang berdekatan beritahu air dah tk ada. Tapi alhamdulillah, masuk ke rumah, air masih ada. Agaknya sebab kami guna tangki besar dan 2 pam dipasang atas dan bawah sebelum ni cukup membantu. Jadi kami tak de lah putus air. Alhamdullah. Kesian kat orang lain yang terpaksa berdepan dengan masalah ni.

Bila berdepan dengan situasi ni, teringat masa tinggal di Besut dulu. Lebih kurang 10 tahun yang lalu kedai kami di Besut dimasuki air bah sampai paras lutut. Habis perabot dlm kedai rosak sebab tk sempat nak angkat. Yang menyedihkan juga, bekalan air terputus, eletrik pun sama. Masa ni terpaksa beli air mineral berpuluh botol. Memang tak boleh lupa lah kenangan tu. Maka hari ni, saya rasa bersyukur sangat, sebab dalam orang kelam kabut terputus bekalan ain, saya dan keluarga masig mempunyai bekalan air yg cukup untuk minum, untuk mandi dan untuk mencuci. Alhamdulillah.

Wednesday, November 3, 2010

Banjir Di Kedah





Agak lama tidak menurunkan catatan di blog ni. Sentiasa diburu masa yang tidak pernah cukup, itu penyebabnya. Sebenarnya, banyak yang nak diceritakan, tetapi terpaksa disimpan dahulu kerana mencari ruang masa.

Hari ini ada ruang renggang masa, jadi boleh lah mencatat beberapa perkara. Pertama sekali saya nak cerita pasal banjir. Tahun ni sekali lagi Kedah diuji dengan bencana alam. Suspen juga bila dengar kawasan2 'atas' dah mula dilimpahi bah. Takut air bah turun ke Alor Setar pulak. Tapi setakat ni, alhamdulillah sekitar dalam bandar Alor Setar ni masih selamat walaupun kawasan yang berhampiran sudah ditangkungi air bah.

Ini lah kesannya bila pembangunan tidak seimbang dengan penyediaan saliran yang baik. Di Jitra misalnya, merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir. Kesian bila tengok keadaan rumah dan persekitaran di Jitra. Nak buat macam mana....