Tuesday, December 16, 2008

KENANGAN DI INSTITUT BAHASA , KUALA LUMPUR

Ketika membelek-belek album lama, mata terpantau pada gambar-gambar kawan-kawan lama. Gambar kenangan bersama-sama kawan-kawan di Institut Bahasa Kuala Lumpur itu, ku selak satu persatu. Teringat-teringat gelagat mereka semasa di kelas, 1001 macam perangai ada. Bila mengingatkan semua tu, aku tersenyum sorang-sorang. Aku tunjukkan gambar-gambar itu kepada suami. Kami sama-sama mengimbas kembali kenangan-kenangan di IB kerana aku dan suami juga berkongsi kenangan yang sama..Kami satu kelas dulu! Berderai ketawa kami bila bercerita semula tentang kenangan-kenangan kami di sana. Aku terlalu merindui kawan-kawan sekelas dan juga rakan-rakan yang sama-sama menggali ilmu di Institut Bahasa khususnya.

Dah lama tak ketemu dengan mereka semua, hanya beberapa orang saja daripada sahabat-sahabat yang sama-sama belajar di IB dulu yang masih berhubung. Kebanyakannya sudah 'lost contact'. Alangkah bahagianya kalau dapat menemui mereka semua. Justeru aku paparkan beberapa keping gambar kenangan bersama kawan-kawan di IB pada blog ini, dengan harapan dapat menemui kembali sahabat-sahabat lamaku. Semoga Tuhan mempermudahkan usaha ini.
KELAS 'E' SESI 1991- 93
Dari kanan: Faridah, Rosmizan, Anita, Puspavathy, Saya sendiri, Ahmad Zamri, Rodziah, Siti Fatimah, Habibab, Tuan Zaidah, Zarida
Berdiri dari kanan: Idrus, Arif, Norhamiza, Yati, Nor Azian., Zulkifli, Rosli.
Barisan belakang dari kanan: Zainol, Asri, Mazli, Asri, Hisham, Syed Izham, Syamsul Kamal, Richard Lee dan Baharin.

Tu dia pom pom girl kelas kami! Si Syamsul pulak, pantang bergambar ada je la aksi pelik dia!

Yang ni pulak masa baru selesai acara merentas desa berganti-ganti.( merentas Lembah Pantai sebenarya) Aku pun aktif juga bab berlari jarak jauh ni. Aku antara 5 pelari berganti-ganti kelas kami. Dalam acara ini kelas kami mendapat tempat ke 5 dari keseluruhan kelas! Ok la tu!

Duduk dari kanan: Arif ( Mat handsome dr Kelate ) Zul ( pemuda pemalu semalaya), Anita Berdiri dari kanan: Habibah, Kak Yan, Yati, Rodziah, Miza, Mazli ( pelawak antarabangsa!) Tuan Zaidah, Ros, Zarida, dan berbaju ungu tu. aku! Baru habis berlari tu!)

Yang ni pulak masa kami pergi makan-makan kat KFC. Yang nganga makan ayam tu Syed Izham (suamiku lah!) Kak Siti, yang tayang belakang tu pula Nizam.




Bersama Yusmizar, Che Ann dan yang duduk tu Jamaliah ( senior aku )


Yang ni pulak masa aku dan kawan-kawan sepengakap sedang mendengar taklimat semasa perkhemahan unit beruniform di Hutan Ulu Selangor.


Sedang aku, Kak Siti dan Hasmiza duk asyik dengar penerangan tentang rawatan kecemasan, si Haida dengan geng dia dah duk praktik teknik menyelamat mangsa tercekik!

Monday, December 8, 2008

KESABARAN SITI HAJAR

KESABARAN SITI HAJAR

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir.

Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar. Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu.

Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata. Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"

Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah- tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." ""Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu. Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.

Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan.

Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini." Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur.

Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa : "Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu." Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai.

Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana.

Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air. Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak- hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan. Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.

Thursday, November 27, 2008

ANAKKU SAZALI VERSI ALAF BARU.

berita@kosmo.com.my

GOMBAK - Gara-gara perselisihan faham antara bapa dan anak lelakinya, seorang ibu menjadi mangsa apabila satu das tembakan yang dilepaskan anaknya tersasar mengenai rusuk kanannya di Country Homes di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, remaja berusia 15 tahun itu yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan bertengkar dengan bapanya, seorang anggota polis di tempat letak kereta rumah mereka.
***************************************************************************************************************

Terkedu sejenak saya sewaktu membaca berita yang tertera di dada akhbar semlm. Tertanya di hati saya, bagaimana mungkin si anak tergamak menembak orang tuanya sendiri. Berita ini adalah antara beberapa gambaran yang semakin kerap kita baca mengenai perlakuan anak-anak di zaman moden ini.

Kisah ibu dan ayah diterajang anak , dicekik dan ditikam oleh anak-anak sendiri bukanlah suatu perkara yang semakin pelik sekarang. Kalau dahulu ya, berita-berita seperti ini amat jarang berlaku, malahan boleh boleh dianggapkan tidak berlaku. Tidak terbaca atau tidak terdengar oleh kita perihal anak mencederakan ibu bapa sendiri.

Teringat kisah Anakku Sazali dan beberapa cerita lain yang banyak menyorotkan pengkisahan tentang salah laku anak-anak pada zaman itu. Secara sinisnya, terdapat mesej-mesej yang sarat di dalam filem tersebut. Antaranya bagaimana asuhan si bapa telah mencorakkan anaknya menjadi Sazali yang derhaka, menjadi Sazali yang kurang ajar dan menjadi Sazali yang tidak mengenang budi. Natijahnya si bapa pula akhirnya ditempelak oleh si anak dengan menyalahkan sikap si ayah yang terlalu mengikut kata dan memanjakannya secara berlebihan menjadi penyebab akhlaknya rosak.

Lihatlah apa yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh menidakkan bahawa sikap kita sendiri sebagai ibu bapa adalah menyumbang kepada kemerosotan akhlak genarasi sekarang.Apabila anak-anak ditegur guru, maka ibu bapa berduyun-duyun datang ke sekolah memaki hamun guru. Apabila anak-anak dirotan guru, maka riuh rendahlah di dada-dada akhbar hatta di kaca televisyen pun tentang omokkan guru menyalahkan kuasa. Terdapat juga terutamanya di kalangan keluarga berada sanggup memasang peguam hanya untuk menyaman guru yang cuba membentuk tingkah anak-anak mereka.

Sikap ibu bapa seumpama ini samalah seperti si ayah dalam kisah Anakku Sazali. Berapa ramai lagi Sazali yang kurang ajar mahu kita lahirkan? Jawapannya ada di tangan kita. Menjaga anak di zaman sekarang menuntut ibu bapa supaya mempunyai ilmu yang pelbagai. Cara kita mendidik mereka haruslah dengan cara yang bijaksana. Jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang berkemahiran dalam ilmu kekeluargaan. Usah malas untuk membaca buku-buku mengenai perihal cara mendidik anak-anak. Tidak salah untuk kita sama-sama berkongsi pengetahuan dengan ibubapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka dengan baik. Semoga kecaknaan kita terhadap perkara ini akan mampu melahirkan genenasi yang lebih berhemah. Mudahan juga kisah anak menembak ibu, anak menetak dan membunuh ibu bapa tidak lagi menjadi penghias berita di dada-dada akhbar.





Sunday, November 16, 2008

Jom Tukar Topik!! Citer Pasal Burung Pulak!







Dok bercakap pasal hal sekolah, iskkk rimas pulak jadinya. Tukar topik lah! Kita cerita pasal burung lah pulak. Baru-baru ni saya sekeluarga sempat ke Pulau Pinang dan melawat Taman Burung di Seberang Jaya.




Saja nak beri peluang kepada anak-anak melihat dengan lebih dekat spesis-spesis burung yang ada di Malaysia. Di samping itu, dapatlah juga diserapkan ke dalam hati anak-anak tentang pentingnya menjaga khazanah flora dan fauna. Biarlah mereka tahu macam mana rupanya burung enggang. Biar mereka melihat sendiri burung yang dipanggil burung hantu, burung kakak tua, burung merak dan bermacam-macam jenis burung lagi.

Teringat masa saya di zaman kanak-kanak dahulu. Semasa saya membesar dahulu, saya bertuah kerana berpeluang melihat burung-burung yang terbang bebas di sekitar kampung. Saya dan kawan-kawan pernah mengejar burung uwak-uwak yang tersesat masuk ke kampung . Burung ini tidak tinggi terbangnya dan berjalan seperti ayam. Seronok sekali masa tu bila kami berjaya mengepung dan menangkap burung tersebut. Sudahnya burung itu menjadi hidangan makan tengah hari!

Pada waktu senja pula kadang-kadang saya berkesempatan melihat burung kerak nasi. Pelik bunyinya tetapi itulah yang disebut-sebut oleh orang kampung bila melihat burung tersebut. Burung ini bersaiz agak besar, lebih besar daripada burung helang. Ekornya panjang dan biasa kelihatan di kampung pada waktu-waktu senja. Saya pun tidak pasti kenapa orang kampung saya memanggil burung itu burung kerak nasi!


Di sebelah malam pula. bunyi patukan burung tukang membelah sunyi malam di kampung saya. Di kampung saya banyak pokok kelapa. Burung-burung tukang biasa nya akan mula 'bekerja' menukang bila malam semakin larut. Bila keadaan sunyi, maka amat jelas sekalilah bunyi ketukan itu. Saya dan kawan-kawan pernah juga pergi 'menyiasat' batang-batang pokok kelapa yang pernah 'ditukang' oleh burung-burung tukang ini.



Burung kunyit, itu satu lagi jenis burung yang selalu terbang bebas di kampung sana semasa saya di zaman kanak-kanak dahulu. Burung ini kecil saja saiznya dan berwarna kuning. Agaknya mengambil kira bulu nya yang berwarna kuning seperti kunyit inilah maka orang memanggilnya burung kunyit. Burung-burung murai dan burung gembala kerbau atau kami panggil burung Ba pula memang mudah dilihat. Kadang-kadang burung-burung ini seperti jinak. Banyak lagilah burung-burung yang mudah dilihat pada waktu itu.

Itu dulu, keadaannya amat berbeza sekarang. Sekarang burung-burung yang saya sebutkan itu sudah amat jarang kelihatan di kampung saya. Bila balik bercuti ke kampung, tiba waktu malam, tiada lagi bunyi burung tukang membelah sunyi malam. Yang kedengaran hanyalah bunyi-bunyi kenderaan. Burung kunyit, burung kerak nasi, burung Ba, burung uwak-uwak sudah tidak kelihatan. Kesian generasi muda sekarang, mereka tidak lagi berpeluang menyaksikan sendiri burung-burung ini terbang bebas dari pokok ke pokok.


Mereka tidak lagi berkesempatan melihat burung-burung ini terbang bebas di halaman rumah. Mereka juga tidak lagi dapat mendengar bunyi kicauan burung-burung. Mereka tidak lagi dapat mendengar bunyi ketukan burung tukang pada waktu-waktu malam.
Saya pernah bercerita kepada anak-anak tentang pengalaman yang saya lalui sewaktu saya sebaya mereka. Bila melihat mereka mendengar dengan penuh minat, contohnya mengenai burung-burung yang saya sebutkan di atas tadi, timbul rasa kesian kepada mereka. Oh.,,..anak-anakku tidak lagi berpeluang menikmati semua itu. Bertitik tolak daripada cetusan itu, saya mengajak suami, mencari luangwaktu senggang suami dan saya, untuk membawa anak-anak melawat Taman Burung di Seberang Jaya. Mudahan anak-anak saya mendapat manafaat daripadanya walaupun sedikit.



Geram betul lah!

Saya yang menurut perintah!
Isk isk isk meluat betul lah dengan ayat tersebut! Saya ni jarang marah, tapi bila dah mula marah, memang susah nak reda! Macam-macam hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah membuatkan marah saya membuak-buak.

Kelemahan saya mungkin kerana diri kurang berkemahiran memprotes secara bersuara. Mungkin kerana asuhan mak ayah saya yang banyak menyerapkan sikap bersabar dalam diri. Saya lebih suka mengambil sikap memprotes secara senyap. Tindakan ini kadang-kadang menjadi bila orang yang kita protes tu tahu bahasa tetapi bila dia jenis tak tahu bahasa atau buat-buat tak tahu bahasa atau dalam erti kata lain buat bebal je, maka protes senyap ini kurang berkesan.


Saya geram bila ada pihak yang cuba untuk menidakkan hak saya. Kenapa harus berprasangka dengan kemampuan orang lain? Jika seseorang itu berhak mendapat haknya, kenapa pihak yang satu lagi perlu mencantaskannya? Saya geram bila hak untuk menyambung belajar pun tersekat gara-gara sikap 'penilai' yang berat sebelah dan mahu menyekat peluang orang lain!

Sunday, October 5, 2008

Ketupat Pulut Daun Palas dengan Serunding Ayam

Alhamdulillah,

Syukur kerana dipanjangkan usia dan masih mampu menikmati keindahan raya pada tahun ini. Berganda juga syukurnya kerana pada tahun ini, dapat merayakan Aidilfitri di kampung halaman.

Pada tahun ini, saya sempat juga balik kampung awal sikit. Jadinya, sempat lah join adik-beradik membungkus ketupat. Ketupat merupakan juadah wajib di pagi raya. Kalau di sebelah Pantai Timur ni, ketupat pulut lebih menjadi keutamaan berbanding ketupat nasi. Makannya pula bersama-sama serunding ayam atau daging. Fuhhhh memang terangkat!

Sehari sebelum raya, saya berkumpul di rumah Che (mak) untuk 'mengerjakan' ketupat. Banyak tahun juga, saya berangan-angan untuk menunjukkan skill membungkus ketupat daun palas ni, walaupun hakikatnya saya tak biasa pun.

Membungkus ketupat pun ada seninya. Bukan main sental saja. Mula-mula memang terasa sukarnya untuk membentuk ketupat yang 'comel' dan sempurna seginya. Jenuh juga ditunjukajar, akhirnya berjaya juga saya membalut ketupat pulut daun palas ini dengan baik.

Kepada yang belum pernah melihat proses membuat ketupat pulut daun palas, jom lah tengok antara sedutan langkah-langkah membuatnya.



Align Center






























Saturday, September 27, 2008

AL-FATIHAH

Tanggal 22 September 2008, bersamaan 22 Ramadhan........Nenek tercinta telah kembali ke rahmatullah. Setelah bertahun terlantar kerana sakit tua dan setelah bertahun tidak mampu mengurus diri sendiri, pada petang 22 Ramadhan nenek menghembuskan nafasnya terakhir.

Pemergian nenek yang mesra kami panggil TokWan amat dirasai. Mungkin kerana hubungan kami terlalu rapat. Tok Wan menyusuli pemergiaan Tok ki ( datok ) yang telah kembali kerahmatullah hampir 2 tahun yang lalu.

Banyak kenangan terkumpul bersama tokwan yang sehingga kini masih segar di kantung ingatan. Aku ingin bercerita mengenai tokwan kepada anak-anakku , semoga mereka akan lebih mengenali siapa tokwan. Anak-anak memanggil tok wan dengan panggilan Nyang. Singkatan untuk Moyang.

Tokwan meninggal di usia 80-an. Terlalu banyak yang kami semua kongsikan dengan tokwan. Semasa hayatnya, Tokwan atau nama sebenarnya Engku Fatimah binti Tengku Ali pernah berkhidmat di istana Tengku Long di Kampung Raja. Tokwan menjadi pengasuh kepada anak-anak raja ketika itu.

Tokwan mempunyai 9 orang anak, termasuklah ibuku. Terima kasih tokwan kerana melahirkan ibu yang hebat kepada kami. Terima kasih juga kerana menjadi nenek yang hebat kepada kami. Tokwan memang merupakan seorang ibu, seorang nenek dan seorang moyang yang cukup hebat. Kecekalannya, ketabahannya, kerajinannya, kerahmahannya dan kecaknaannya kepada kami dan kepada masyarakat di kampung memang terserlah. Tidak hairan lah mengapa tokwan begitu dihormati. Setiap kali raya, rumah ibu akan penuh sesak dengan tetamu dan salah saudara yang bertandang untuk menemui tokwan. Sejak sakit tua, tokwan tinggal di rumah ibu. Ibu memang banyak berkorban masa untuk menjaga nenek. Ibu satu-satunya anak perempuan tokwan yang masih ada.

Semasa aku di bangku sekolah, kehidupan kami memanglah susah. Aku masih ingat, semasa aku di sekolah rendah, aku sering mengikut ibu ,nenek dan datuk ke hutan yang berdekatan untuk mencari kayu api. Maklumlah pada zaman itu, belum ada kemudahan dapur gas atau letrik. kayu-kayu yang dipotong, diikat dah dijunjung sejauh 1-2 kilometer untuk dibawa pulang.

Aku juga pernah mengikut tokwan mengerjakan sawah. Pada masa itu, tokwan menyewa beberapa petak sawah. Aku dan sepupuku tanpa segan silu turun ke sawah untuk mengetam padi bersama tokwan. Aku pernah lari lintang pukang dikejar kerbau semasa di sawah. Pernah juga, aku menjerit ketakutan bila beberapa ekor lintah hinggap di betisku. Namun, kerana kasihankan tokwan, aku gagahi juga untuk menolongnya.

Tokwan suka bercucuk tanam. Tak hairanlah di sekeliling rumah tokwan penuh dengan pokok-pokok. Agaknya tangan tokwan ni sejuk, sebab tu apa juga yang ditanamnya tumbuh dan menjadi. Pokok-pokok mempelam misalnya, tumbuh subur dan berbuah lebat setiap kali tiba musimnya.

Kini,...tokwan telah tiada. Yang tinggal cuma kenangan-kenangan manis yang tetap akan mengiringi hayat. Nampaknya aku telah kehilangan ke empat-empat datok dan nenek. Datok dan nenek di sebelah ayah, telah lama meninggal dunia. Kini, datok dan nenek di sebelah ibu pula meninggalkan kami.Hanya doa yang dapat kami panjatkan kepada Tuhan, semoga roh tokki dan tokwan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin,,,,

Saturday, September 20, 2008

Cerita Pasal Bulan Puasa




Cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar, bulan puasa dah semakin menginjak pergi.Tinggal 10 hari lebih kurang kita berada di bulan mulia ini. Alhamdulillah bertemu lagi Ramadhan pada tahun ini.

Bercerita tentang bulan puasa ini, kita tidak lepas daripada membicarakan mengenai amal ibadat, zakat fitrah, solat terawih, pasal berbuka, bersahur dan tentunya tentang juadah-juadah semasa berbuka.


Kekemarukan selera di bulan puasa ini adalah biasa kepada sesiapa saja. Selera memang terbuka bila seharian berlapar dan berdahaga. Walau bagaimanapun, kekemarukan ini boleh dibendung, masih boleh diatasi kalau kita mahu.
Saya tidak lah begitu terkemaruk tentang juadah berbuka ni. Alhamdulillah anak-anak dan suami pun sama. Makan apa yang ada. Lauk pauk tidak perlu melimpah ruah, memadai beberapa lauk sahaja. Yang pasti sewaktu menyediakan juadah berbuka, masing-masing anak-anak punyai selera yang kadang berbeza.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah bijak melatih anak-anak supaya punyai rasa bersyukur dengan apa yang terhidang. Bila anak-anak sedikit merungut, ayahnya akan berkata " Kita ni dah beruntung, dapat makan macam-macam. Ada orang yang miskin, makan cuma 1 lauk saja. Tak pernah jumpa lauk ayam macam ni. Ada yang makan ikan kering hari-hari." Bila mendengarkan "ceramah' ringkas macam tu, anak-anak akan berhenti mengomel dan boleh pulak habiskan lauk yang asalnya kurang disukai. Psikologi tu penting dalam mengasuh anak-anak.

Satu lagi, anak-anak suka makan kuih-muih. hari-hari perlu ada kuih-muih. Citarasa mereka juga berbeza. Si kakak suka makan kuih ini, si adik kuih itu, ayah nya pulak kuih lain. Nak buat semua tu, memang tak terdaya . Ye lah, masa mana lah sempat saya nak masak kuih-muih yang pelbagai itu. Cara paling mudah, kuih-muih akan saya beli di bazarr Ramadhan. Beli kuih cara untuk si kakak, karipap untuk di adik, martabak pula untuk si ayah. Dah cukup!

Monday, September 15, 2008

MENGAPA WANITA SANGAT ISTIMEWA

Mama dan Papa sedang menonton TV, seraya mama berkata. "..i letih la..dahlewat ni, i nak tido lah...."]

Mama pun pegi dapur nak tutup tingkap dapur, nanti masuk pulak lipas...lecehpulak nanti..dah tu, ade pulak rice cooker dalam sink..rendam lepas makantadi..basuh jap

...susun pinggan kat rak, lap dapur..terpercik kena sambal masa masaktadi...check air panas dalam flusk..takut habis pulak nanti malam anak naksusu...memang dah kering pun flusk ni, jerang la air...sementara tunggu airmasak, nampak pulak bekas gula dah kosong....salin la gula...check buburuntuk anak nak hantar ke taska esok..nasib baik ade lagi

...ishh...ni laukbila ni, semalam...dah beku dah...basuh la kejap....pegi yard, masukkan bajukotor dalam mesin basuh...penat dah ni, besok je la basuh...sidai kaian lapje lah...tik...bunyi air dah masak...salin air dalam flusk...ok settle...baru teringat tak semayang lagi...on da way nak g bilik, papa tgk tvlagi...nampak pulak beg anak untuk hantar ke taska....

check...baju 2 pasang,towel...towel kecik utk selsama...calamine lotion untuk sapu ruam...pampers4 keping....alamak..telupa pulak masukkan botol...basuh botol jap...oksettle...ternampak pulak beg g keje....emm..besok nak pakai beg polo coklat lah, asik2pakai beg hitam ni je....salin jap barang2 g beg coklat...cek sume 6 poketbeg, takut la tetinggal apa2..leceh pulak..

selalunya barang yang tertinggaltu la yang nak pakai nanti...hishhh sempit la beg ni...hangin je...nak kenabeli ni beg baru...rasenya 25 hb ni Sogo sale nih...mana flyers tadi ek...hani die..ok, catit jap kat yellow sticker, nanti lupa..ok settle....Tetiba dengar suara papa..."..u buat apa lagi tu..tadi kata naktido.."...."..yelah nak tido la ni..nak smayang jap..."masuk toilet..buat apa2 yang patut...cuci muka dulu..2 jenis laktu

...adoi..gosok gigi...smayang...pakai toner...pakai treatment cream...naklawa and maintain punya pasal lah ni...nanti orang kata baru anak satu dah macam anak 4 pulak...huhuhuhu...bukak almari...emmm...pakai baju hijau ni lah besok...gosok kejap..checkbaju papa, baju papa pun kena gosok jugak ni...kat bilik belakang...la, napa komputer ni tak tutup ni..gelas kopi pun ade lagi, dah bersemutdah..ishhh ...g dapur, basuh, sambung gosok baju...gantung elok2...

kemaskanbaju gantung2...masukkan seluar papa yang dah kotor dalam tempat kotor...oksettle..dgr suara papa lagi...."..i dah ngantuk ni.."..dalam pada nak masuk kebilik...owh...pokok aku dah nak mati ni ha..lupa dah 3 hari tak siram...ok,siram jap...check jap pintu ni...sah tak kunci lagi...grill pun taktutup..ni kalau tak check ni, senang2 je mat indon masuk rompak umahaku...bukak lampu luar..

ni mainan ni sepah2...masukkan la dalam bakul mainan budak ni...banyaknya...sampai bawah meja makan pun ade...adoi....ok dah ...ok dah boleh baring...adoi sakitnya pinggang...cium si comel nikejap...selimutkan die...la..napa basah ni...emm, tukar la pempers ni...takbagus la brand ni, nanti nak tukar lain la...nanti g Sogo 25 hb ni beli laskali...

ok sayang tido k...kalau boleh jangan la bangun tgh malam nieh..tido sampai pagi k...gud nite..sweet dreams...aaahh...sedapnya dapat baring...mana pulak lotion sapu kurus aku nih....ha,ni dia...sambil sapu lotion kurus,,,setkan alarm...setkan program kerjabesok...pg kul 9.30 ade meeting..ahh...boring...panas pulak lotion nih..dah la...emm..sedapnya lelapkanmata...

Ya Allah...terima kasih untuk rezekiMU hari ini,...mohon keberkatandari mu tuhan...papa pun bangun tutup tv..."...i dah ngantuk sangat ni...naktido lah...citer pun tak best malam ni, bola pun takde..."...selang seminit..dengar suara papa berkeruh...dah agak dah....So?....apa yang peliknya..??Anda tahu kenapa wanita hidup lebih lama?...WANITA TERLALU DIBEBANI DENGANPELBAGAI KERJA....

Hantarkan ke 5 WANITA yang anda rasa hebat...pasti anda disayangi kerana memahami mereka...well, women understand women better...foward jugak kat lelaki-lelaki so mereka akan hargai isteri dengan lebih baik lagi...Tak kira la wanita berkerjaya atau surirumah...setiap wanita adalah istemewa dengan cara mereka sendiri....Kalau lelaki mengakui kebenaran ini....hormat dah hargailah mereka...untukkeperibadian dan kebolehan mereka untuk berdikari...

Sunday, August 31, 2008

Minda Yang Belum Merdeka.




Hari ini genap 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Usia 51 tahun ini jika diukur adalah tahap umur yang cukup matang. Saya tidak ingin menyentuh mengenai apa yang telah dicapai oleh negara kita hingga ke saat ini.Namun apa yang mahu saya cetuskan adalah mengenai minda rakyat Malaysia di usia 51 tahun kemerdekaan ini.


Pada zahirnya kita memang telah merdeka. Namun tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa minda kebanyakan daripada kita masih belum merdeka. Lihat saja onar-onar yang diserlah oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia apabila berdepan dengan pertembungan idealogi politik. Contoh yang jelas dapat kita saksikan ialah semasa pilihanraya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini. Maki hamun, caci cerca, dan segala macam tindak tanduk yang jelek senang-senang dapat kita lihat.


Setiap hari kita disogokkan dengan cetusan berita mengenai kebiadapan orang-orang yang mengaku sudah merdeka ini. Yang paling memualkan ia datangnya daripada orang-orang Melayu yang berpegang kuat pada budaya kesopanan dan kesusilaan. Agaknya inilah minda merdeka mereka. Mereka mahu bebas 'merdeka' untuk melakukan apa saja, hatta dengan cara mencerca sesama bangsa dan sesama agama.


Mereka inginkan kemerdekaan minda dengan kebebasan untuk melakukan tindak tanduk yang bercanggah dengan ketatasusilaan bangsa. Menjerit-jerit seperti orang kehilangan adap, mencarut-carut tanpa segan silu dan menelanjangkan maruah orang mungkin merupakan satu kebebasan atau kemerdekaan minda bagi mereka. Itu lah paparan sebahagian rakyat merdeka di bumi merdeka ini yang mengundang satu pertanyaan iaitu 'Merdekakah kita?"


Sewaktu berjalan-jalan di bandar sebentar tadi, hati saya terdesup. 51 tahun merdeka namun minda rakyat belum merdeka. Anak-anak muda berpeleseran dengan gaya seperti mayat keluar dari kubur,. Dengan rambut kusut masai, bercacak-cacakan, kata mereka itulah fesyen up to date. Mereka ingin merdeka untuk menentukan gaya mana yang mereka suka, sekali pun ia menampakkan kejelekan yang ketara.


Anak-anak gadis baik Cina, India mahu pun Melayu sendiri mempunyai ketaksuban terhadap corak kehidupan bangsa penjajah. Kata mereka ini rona hidup moden, perlu mengikut barat. Tidak hairan lah jika mereka berani berpakaian seperti orang di zaman batu. Anak-anak Melayu sendiri tanpa segan silu menayangkan pakaian dalam untuk tontonan orang.


Mual melihatkan anak-anak Melayu berpakaian seluar sendat yang sengaja dilondehkan sehingga menampakkan seluar dalam, walhal tudung masih dipakai di atas kepala! Fesyen kata mereka! Jelas sekali, walau 51 tahun negara kita merdeka, minda warga nya masih ramai yang belum merdeka.

Wednesday, August 20, 2008

Kelebihan Bulan Syaaban

Bulan demi bulan berganjak dan terus berganjak. Sekarang telah masuk bulan Syaaban dan tidak lama lagi Ramadhan akan muncul melewati pusingan waktu. Bercakap mengenai bulan Syaaban ini, saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang singgah di blog ini untuk bersama-sama menghalusi akan kelebihan bulan Syaaban ini.




Keutamaan Bulan Syaaban
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya :



"Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan. Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya :



"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."



Amalan-amalan di bulan Syaaban
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
1. Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :



"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)



3. Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.



Malam Nisfu Syaaban
Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban adalah satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.



Malam nisfu Syaaban ini sayugialah kita hidupkan dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas sembahyan fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasiin akan dibaca doa. Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala dan pada bacaan ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. Cara lain ialah menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berhimpun membaca zikir dan Al Quran.


Doa Malam Nisfu Syaaban.





Ertinya : Allahumma Ya Allah Ya Tuhan yang empunya kurniaan, dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, ya Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang memohon perlindungan, dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan, yang mohon keselamatan, dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz, akan seorang yang celaka, maka hamba mohon akan hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia. Dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz akan seorang yang ditegah dari kebajikan, dan seorang yang disempitkan rezeki hamba, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba, dan mudahkan rezeki hamba, dan hamba mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba, akan seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufikkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al Quran) maksudnya : "Allah Taala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan, dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Loh Mahfudz."

Saturday, July 26, 2008

Yang Menurut Perintah!






Pagi tadi, semua murid dan guru-guru sekolah sekitar Kompleks Pendidikan Negeri Kedah diarahkan untuk mengambil bahagian dalam perarakkan sempena 100 tahun Kolej Sultan Abdul Halim. Murid-murid dan guru-guru berjalan kaki ke Jalan Stadium dan dikehendaki berdiri di bahu jalan untuk menyambut kehadiran Tuanku Sultan dan orang-orang kenamaan yang melalui jalan itu dengan menaiki pelbagai jenis kereta antik.

Hatta kerana ." saya yang menurut perintah......" maka berduyun-duyun lah murid dan guru memagari jalanraya. Kebetulan selesai saja kereta-kereta antik lagi berharga ini melintasi murid-murid dan guru-guru yang berada di tepi jalan, hujan telah turun. Lantaran tiada tempat untuk berteduh, murid-murid dah guru-guru terpaksa meredah hujan untuk berjalan kaki balik ke sekolah.

Kesian, memang kesian bila melihat anak-anak murid basah kuyup begitu juga dengan guru-guru. Dalam hati berkata kesiannnn........hanya kerana untuk melambai tangan orang-orang kenamaan yang lalu beberapa minit itu, murid-murid terpaksa kesejukkan kerana kebasahan.....Apa nak dikatakan........semuanya kerana "saya yang menurut perintah!"





Wednesday, July 23, 2008

Seni Dalam Diri











Semalam saya sempat menghadiri Hari Anugerah Cemerlang sekolah anak-anak saya. Anakanda kedua saya, Sharifah Nur Fairuz Serena mengambil bahagian dalam persembahan Tarian Zapin. Terpaku saya melihat dia menyusun langkah menarikan Tarian Zapin dengan begitu sempurna sekali. Bakat seni yang ada dalam diri Serena dapat saya lihat dari hari ke hari. Sebelum ini dia amat berminat dengan muzik. Kami belikan dia organ untuknya bila dia beriya-iya bercerita tentang minatnya untuk mempelajari organ. Kami hantar dia ke pusat belajar organ yang kebetulan tidak jauh daripada rumah kami.

Selepas itu, sekolahnya ada menganjurkan pertandingan menyanyi lagu-lagu Inggeris. Anakanda saya ni beriya-iya mahu menyertainya. Melihatkan kesungguhannya, saya dan suami melatihnya menyanyi dengan cara menyediakan set karaoke untuk nya. Dalam pertandingan tersebut, dia menyanyikan lagu Madonna........La Islaboneta dan berjaya menjadi Johan.

Bakat seni Serena tidak hanya tertumpu kepada muzik dan seni tari sahaja. Dia juga berbakat dalam seni lukis. Apa saja yang dilukiskannya benar-benar membuatkan saya terpaku. Bila melihatkan bakat seninya, saya tahu jiwanya sarat dengan seni.

Melihatkan dia menari semalam, saya teringat arwah nenek. Mungkin darah seni yang mengalir dalam tubuh anakanda saya adalah warisan darah moyangnya. Nenek saya, pada zaman mudanya merupakan penggiat makyung. Nenek pernah mempersembahkan tarian makyung nya di hadapan Raja Kelantan pada ketika mudanya dulu. Nenek pernah bercerita tentang hal ini kepada cucu-cucunya termasuklah saya.

Pada zaman kanak-kanak, saya pernah melihat persembahan makyung di kampung saya. Pada masa itu nenek sudah berusia, tetapi dia masih mampu menari makyung bila paluan dan serunai dimainkan. "Semangat Makyung" yang ada dalam dirinya begitu kuat. Sayang sekali, anak-anak nenek saya termasuk ayah saya tidak aktif dalam kebudayaan ini. Bila nenek meninggal dunia, seni warisan ini tidak lagi diikuti oleh anak-cucunya. Mungkin darah seni tarian tu banyak mengalir dalam diri cicitnya yang seorang ini.

Selain nenek , datuk saya juga merupakan pengiat Rodat di Besut Terengganu. Kata mak, arwah datuk kerap kali membuat persembahan Rodat bersama-sama kumpulan nya dahulu. Rodat merupakan salah satu Kesenian masyarakat di sebelah Pantai Timur, Khasnya di Terengganu. PERMAINAN rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan atau lebih yang digabungkan. Anggota-anggota yang mengambil bahagian dalam permainan ini terdiri dari tiga kumpulan. Satu kumpulan lebih kurang 10 orang pemukul rebana Tar, iaitu sejenis rebana kecil menarik. Mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada kaum lelaki dewasa. Menurut Mak, arwah datuk merupakan Tukang Adi, iaitu Ketua yang akan membaca lagu-lagu rodat. Bila mengimbas semula kenangan-kenangan lama ini, membuatkan saya terasa seperti kehilangan sesuatu yang sepatutnya saya jaga dan saya pelihara sebaik mungkin, iaitu warisan kesenian yang didukungi oleh datuk dan nenek saya. Warisan Seni itu seharusnya terus diperkembangkan generasi ke generasi. Mudahan saya masih berpeluang untuk ke arah itu.


Monday, July 14, 2008

Macam-Macam Kursus





Jadi cikgu ni, bukan boleh duduk diam. Kejab-kejab kena hantar kursus. Macam-macam kursus dianjurkan baik oleh Jabatan Pelajaran, Pusat Perkembangan Kurikulum dan juga Kementerian Pelajaran sendiri. Kadang-kadang masa berkursus, kena jadi murid balik. Kena menyelami naluri seorang murid. Ada ketikanya pula, masa kursus ni lah peluang nak bertukar-tukar pandangan atau buah fikiran yang ada kalanya juga menimbulkan suasana yang tegang. Yelah, bila masing-masing dengan hujahan tersendiri dan bila masa jawapan yang diterima tidak menepati kehendak soalan.




Wednesday, June 11, 2008

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN




Hari ini genap 15 tahun usia perkahwinan saya bersama suami tercinta. Pejam celik dah 15 tahun rupanya. Hari ini, anak-anak masing-masing menghulur hadiah dan kad ciptaan sendiri. Terharu dengan keprihatinan ketiga-tiga orang anak menyediakan kad buatan sendiri.

Bersyukur kerana dianugerahi seorang suami yang bertanggungjawab. Dia lah suami, dia lah kekasih dan dia lah sahabat paling akrab. Mengimbau kembali kenangan ketika saling mengenali dulu membuatkan saya tercuit hati. Mana tak nya, jalan ceritanya macam cerita kat TV pun ya. Dia sanggup berdrama menggunakan pelbagai cara termasuklah ubat silap mata semata-mata untuk memenangi hati saya.

Pernah saya dipanggil ke bilik pensyarah. Buat suspen saja. Ingatkan ada yang tak kena dengan kerja kursus saya. Rupa-rupanya dia berani menggunakan 'khidmat mentornya iaitu seorang pensyarah di maktab kami semata-mata untuk 'mengempenkan diri nya kepada saya. Menjadi juga caranya itu.
Kami sebenarnya adalah rakan sekelas di maktab dahulu. Dari seorang kawan biasa, dia mula menjadi kawan sedikit 'luar biasa' . Dia tidak menunggu lama untuk melamar saya. Kami bertunang semasa berada di Semester ketiga dan berkahwin semasa di Semester 4. Sewaktu bertunang, saya dapat melihat kesungguhannya mengumpul belanja. Bayangkanlah kami masa tu masih penuntut, dan dia juga ada memberi tahu saya bahawa dia tidak mahu menyusahkan keluarganya untuk menyediakan keperluan perkahwinan kami. Dia mahu usaha sendiri! Itu tekad nya.
Apa yang ditekadkannya memang telah direalisasikannya. Tanpa menggunakan sesen pun wang daripada keluarganya, dia tetap mampu menyediakan wang hantaran dan sebagainya. Kesungguhannya amat mengharukan saya.

Kini, alhamdulillah saya masih nampak kesungguhan yang ada itu. Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan, mudahan ikatan perkahwinan yang mulia dan suci ini akan terus diberkati.

Saturday, May 17, 2008

Guru Oh Guru

16 Mei.........hari Guru.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi...............
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

........itu lah antara bait-bait sajak Nukilan Sasterawan tersohor....
Indah sekali kata-kata itu. Cuma, kadang-kadang saya tertanya dan terfikir, berapa keratkan lagi daripada masyarakat sekarang yang benar-benar memperakui jasa guru seperti yang diakui oleh Osman Awang dalam sajak Guru oh Guru itu.

Pun begitu, saya berterima kasih rakan-rakan dan kenalan yang masih sudi mengutuskan ucapan yang indah-indah sempena Hari Guru pada hari ini.
Alhamdulillah, ada juga yang masih mengingati tanggal 16 Mei ini. Siang tadi saya menerima banyak mesej atau sms yang berupa ucapan-ucapan sempena Hari Guru. Jadi sengaja saya mahu memperturunkan ucapan-ucapan tersebut sebagai renungan bersama.

Mesej 1 :
Guru .......
dalam ajarnya ada harapan.
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam tawa ada mesranya,
dalam diam ada bijaksana,
dalam tangannya kita terbina.
Berbagailah menjadi guru...... Selamat Hari Guru!

Mesej 2:
Bila murid duduk.... guru berdiri!
Bila murid diseligi....guru pulak kena gari,
murid datang baik BNW 7 siri.... cikgu datang baik motor buruk road tax pun dah mati!
Murid pi belajar sampai PhD.......cikgu baru berkira-kira nak sambung degree....
Namun begitu,...........di dunia cikgu berbakti......moga di akhirat syurga tempat kita kekal abadi.
Selamat Hari Guru.

Mesej 3:
No greeting card to give.
No sweet flowers to send
No cute graphics to foward
Just a loving Heart saying.....
"Happy Teachers Day" May God bless you.

Mesej 4:
One cent can start a million
One smile can start friendship
One touch can show u care
and
One teacher can make life worth living!
Happy Teacher's Day!

Mesej 5:
Sweet sms for a sweet teacher from
a sweet person for
a sweet reason at
a sweet time on
a sweet day in
a sweet month and
sweet year .Have
a sweet Teaches' Day!

Mesej 6:
A teacher is an artist who paints not on canvas but on children's souls giving them a colourful
on a wonderful world. Happy Teacher's Day !

Mesej 7:
To all beloved teachers. Happy Teacher's Day.
TEACHER

T ender
E njoyable
A admirable
C aring
H onest
E ncouraging
R espectable

Guru Cemerlang Negara Terbilang.

Thursday, March 20, 2008

UMNO OH UMNO

Kenangan keluarga besar kami yang pernah menerima AnugerahAhli Teramai Peringkat Bahagian Besut daripada Menteri Besar Terengganu




Melihat senario politik yang terhidang sekarang, hati kadang-kadang dihambat keresahan. Resah bila setiap hari membaca berita-berita mengenai politik sekarang, khususnya UMNO. Apa nak jadi dengan UMNO sekarang? Bukan susah nak meramalkan apa yang bakal berlaku sekiranya sikap suka bercakaran seperti sekarang masih berterusan. Tidak mustahil parti yang menjadi kebanggaan orang-orang Melayu ini akan mengalami zaman kejatuhan dan seterusnya berkubur.



Bercerita tentang parti UMNO, teringat tentang kegigihan ibu bersama-sama memantapkan UMNO di Besut khususnya. Tabik untuk ibu yang masih diberi kepercayaan menerajui pergerakan wanita UMNO sejak berbelas-belas tahun yang lalu. Tabik untuk ibu kerana masih terus berkhidmat untuk memajukan UMNO. Kami tahu ibu benar-benar ikhlas berkhidmat. Selama ni pun, ibu tak pernah dapat apa-apa. Dia hanya bekerja untuk masyarakat. Ibu pentingkan kebajikan orang kampung. Ibu tahu hanya UMNO yang mampu membantu orang-orang Melayu.



Kami tahu setia ibu hanya pada UMNO. Sebab tu dari dulu ibu tidak putus-putus bercerita kepada kami tentang budi UMNO kepada bangsa Melayu. Kata ibu, hanya UMNO yang mampu menjadi payung melindungi kita semua. Semoga UMNO akan kembali diterajui oleh Pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan bukan diketuai oleh pembesar-pembesar yang hanya menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk membesarkan tembolok masing-masing.




Friday, March 14, 2008

KEMARUK NAK JADI MENTERI BESAR




Istana Terengganu ‘tolak’ Idris?
Oleh Nor Aziah Jaafar dan Wan Ramli Wan Mohamad


KUALA TERENGGANU 12 Mac – Terengganu mungkin memperoleh Menteri Besar yang baru apabila nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan ‘tidak diperkenan’ oleh pihak istana untuk memegang jawatan itu bagi penggal kedua.
Sumber Istana Terengganu ketika dihubungi mengesahkan sehingga hari ini Idris tidak mendapat ‘restu’ untuk meneruskan tugas tersebut walaupun beliau berjaya mengetuai Barisan Nasional (BN) Terengganu memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. <==== [ Dah mula nampak dah sikap suka mencantas orang-orang dalam Parti UMNO. Macam-macam cara depa guna untuk mendapat kuasa. Bila dah rapat dengan Sultan, kedudukan itu pun digunakan untuk mempengaruhi Sultan memilih mereka. Mereka mula mencambahkan benih-benih perpecahan di dalam Parti ]


Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti calon untuk menerajui kerajaan negeri.Bagaimanapun, ujar beliau, setakat ini nama-nama yang difikirkan sesuai belum diterima oleh pihak istana.


‘‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Kedua menyebut pelantikan Menteri Besar hendaklah terdiri daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
‘‘Yang ditekankan di sini bukanlah mereka yang mengetuai parti yang memenangi pilihan raya tetapi mana-mana seorang ADUN yang pada fikiran Sultan Terengganu boleh mendapat kepercayaan ahli-ahli dewan yang mewakili rakyat negeri ini,” katanya. <==== [ Pihak Istana perlu matang , perlu bijaksana, perlu lebih celik , perlu lebih rasional supaya tidak dijadikan alat oleh pihak-pihak yang gila kuasa. Sultan perlu lebih peka kepada kehendak semua rakyat yang masih memerlukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu dan bukan hanya mendengar omokkan-omokkan mengarut daripada orang yang mahu memangkas, mencantas dan memijak orang lain hanya kerana kemaruk ingin berkuasa.]



Mengulas lanjut, sumber istana itu berkata, Sultan Terengganu sebenarnya bukan melibatkan diri baginda dengan politik sehingga melampaui sempadan, namun apa yang baginda mahu ialah kepentingan dan kesejahteraan rakyat mendapat pembelaan. Sumber itu menafikan pihak istana campur tangan berhubung pelantikan menteri besar yang baru. Katanya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukannya. <==== [ Jika mahu melihat Terengganu selamat, jika mahu melihat Terengganu aman, sentosa dan maju seperti sekarang, pihak Istana usah melibatkan diri dalam percaturan politik. Usah biarkan pihak Istana diperguna-gunakan.Jangan sampai sudah terantuk baru nak terngadah. Jangan sampai rakyat hilang hormat kepada institusi Istana]


‘‘Pihak istana sebenarnya tidak campur tangan dalam pemilihan menteri besar, cuma istana mahu mereka yang menjadi menteri besar adalah mereka yang benar- benar diterima oleh rakyat.‘‘Istana juga mahu mereka yang menjadi Menteri Besar berkemampuan untuk membawa kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya. <===[Majoriti rakyat Negeri Terengganu masih memerlukan Datuk Seri Hj Idris Jusoh menerajui pentadbiran Negeri Terengganu. Rakyat masih menghargai jasa-jasa beliau yang berjaya merampas kembali Terengganu dari cengkaman PAS. Rakyat masih mengenang jasa beliau yang bertungkus lumus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO , terhadap Barisan Nasional. Rakyat masih menghargai kesungguhan beliau mengepalai gelombang biru dengan menjadi panglima di barisan hadapan melawan kerakusan PAS sewaktu memerintah Terengganu sebelum ini. Rakyat Terengganu tidak pernah lupa! Rakyat Terengganu bukan jenis tidak tahu mengenang budi!. Yang mudah lupa, yang tidak mengenang budi, yang tidak tahu menghargai jasa orang tu adalah wakil-wakil rakyat yang tamak haloba, yang hanya gila kuasa, yang sanggup pijak kepala orang lain hanya kerana mahu melunaskan kemaruk di dada.]


Setakat ini, antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Menteri Besar Terengganu ialah ADUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.
Turut disebut ialah ADUN Bukit Besi, Din Adam dan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said.
Kesemua mereka merupakan bekas ahli Exco kerajaan negeri pada penggal lepas.
Mohamed dan Rosol masing-masing bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri.Din pula ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, manakala Ahmad merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri <====== [ Ini lah manusia-manusia yang menjadi duri dalam daging. Menjadi gunting dalam lipatan. Menjadi perosak kesejahteraan UMNO. Tidak habis-habis dengan sikap tamak dan haloba. Kemaruk sangat ingin menjadi Menteri Besar sehingga sanggup memperalat Sultan dan Institusi Istana diheret sama.]

Thursday, March 13, 2008

Berita Daripada KMU.net [ Apa Dah Jadi? }




DRAF PETISYEN:Posted on Wednesday, March 12 @ 01:29:23 MYT Topic: Satu Gambar Seribu Bicara
PETISYEN:
Keputusan Pilihan raya umum 2008 menyaksikan Barisan Nasional menerima kekalahan teruk. Tidak pernah dalam sejarah BN menerima kekalahan begitu besar iaitu hilang lima buah negeri dan hilang majoriti 2/3 di Parlimen.Kekalahan ini sungguhpun mempunyai 1001 sebab, namun sebab-sebab utama jelas menjurus kepada kelemahan kepimpinan dan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Seperti kata Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “Sekiranya kemenangan besar 2004 diuar-uarkan sebagai kemenangan Abdullah, maka Abdullah juga harus bertanggungjawab dalam kekalahan ini.”


Menurut kaji selidik laman web penyokong UMNO www.mykmu.net, antara punca utama kekalahan Barisan Nasional akibat secara langsung daripada Abdullah. 10 sebab utama ialah:


1. Kegagalan melaksanakan ekonomi secara makro bagi kesejahteraan masyarakat. Tiada hala tuju jelas ekonomi negara kecuali slogan dan Dalam tempoh empat tahun kepimpinan Abdullah telah berlaku:a. Kenaikan harga petrol yang terlalu tinggib. Kenaikan tol yang sangat drastik, c. Kenaikan kadar faedah asas (BLR), d. kenaikan kos sara hidup - elektrik, cukai pintu dan air. e. Kenaikan harga barang


2. Dasar Luar yang mengelirukan dan pro-Singapura seperti:

a. Mengakui Tambak Johor sebagai hak bersama Malaysia-Singapura tanpa kira sempadan, tanpa mendapat keputusan Mahkamah Antarabangsa. b. Membatalkan pembinaan jambatan bengkok kerana ugutan Singapurac. Masih gagal menyelesaikan isu harga air mentah ke Singapurad. Gagal memimpin OIC


3. Promosi Islam Hadhari yang keterlaluan:

a. Membimbangkan masyarakat bukan Islam.

b. Tidak diterima oleh sebahagian besar orang Islam di Malaysia kerana dianggap mengelirukan dan memberi imej tidak baik kepada Islam sebelum munculnya istilah Hadhari ini di Malaysia.


4. Pentadbiran negara yang tunggang langgang:

a. Tindakan menghantar Menteri ke negara China bagi memohon maaf atas isu ketuk ketampi bogel dalam lokap tanpa menyiasat terlebih dahulu identiti wanita terbabit.


b. membenarkan "media bashing" terhadap pasukan polis, cuba mewujudkan badan pemantau polis (IPCMC) tetapi menarik balik. Moral pasukan polis amat lemah sehingga menyebabkan Polis sudah kurang berkesan dan kadar jenayah kian bertambah tanpa penyelesaian


. c. Keputusan berubah-ubah dalam kes Jambatan Bengkok, Landasan Keretapi Berkembar, Jambatan Pulau Pinang Kedua menyebabkan negara kerugian berbilion ringgitd.


d. Kenyataan-kenyataan biadap dan tidak bertanggungjawab Abdullah seperti “I dont Know, i’m not involved” dalam kes ECM Libra dan memanggil pengkritik beliau sebagai Iblis.


e. Banyak menubuhkan suruhanjaya tanpa mengambil langkah sewajarnya menyebabkan suruhanjaya sendiri sudah menjadi lawak jenaka.


f. Pertelingkahan dan pertikaian antara Menteri sudah menjadi lumrah sehingga kabinet menjadi bahan jenaka masyarakat umum.


5. Pentadbiran yang kurang ajar dan biadap terhadap Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan ramai penyokong UMNO dan rakyat Malaysia berketurunan cina tidak berpuas hati dan melalukan undi protes.


6. Isu korupsi dan kronisme yang melampau dalam kes ECM Libra, Scomi dan Myteam menyebabkan hilang kepercayaan.


7. Memecah-belahkan UMNO

a. Membenarkan mereka yang dipersoal kesetiaan terhadap UMNO dan negara menguasai media yang UMNO mempunyai kepentingan telah menimbulkan keadaan tidak senang dalam UMNO.


b. Menggugurkan Ketua Bahagian dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya lalu memberi isyarat jelas Abdullah tidak menghormati hak demokrasi parti.


c. Keputusan yang berbeza dalam isu politik wang antara Ahmad Zaki Zahid (Pembantu Khas Perdana Menteri) dengan Zaid Ibrahim yang menang tanpa bertanding mencerminkan penyalahgunaan Majlis Disiplin UMNO. Ahmad Zaki hanya diberi amaran kerana terbabit politik wang dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya. Manakala Zaid Ibrahim digantung atas dakwaan politik wang sungguhpun tidak terbabit dalam sebarang pertandingan. Zaid menang tanpa bertanding Ketua UMNO Kota Bharu.


d. Tidak mengendahkan persepsi umum bahawa Khairy Jamaluddin begitu berkuasa dalam UMNO dan kerajaan. Malahan tindakan membenarkan Khairy menggunakan pengaruhnya dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda UMNO menyebabkan beliau diejek (boo) selepas diumumkan menang tanpa bertanding. Keadaan ini dikukuhkan lagi dengan pemilihan Khairy sebagai calon Parlimen Rembau.e. Tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penyokong-penyokongnya seperti Datuk Kamarulzaman (TV3) dan Datuk Kalimullah (NSTP) menggunakan media mereka untuk menghentam pemimpin UMNO yang dilihat boleh memberi cabaran kepada Khairy Jamaluddin. f. Hanya menurunkan peruntukan dan projek kepada kontraktor kelas F setelah menghadapi kritikan keras Tun Dr. Mahathir dan khuatir akan berlaku kritikan keras dalam perhimpunan agung UMNO. Rasuah terangan-terangan dengan mengumumkan peruntukan RM 3 juta setiap bahagian sehingga menjejaskan imej UMNO. g. Kempen keterlaluan untuk mengalahkan Tun Dr. Mahathir dalam pemilihan perwakilan UMNO Kubang Pasu 2006 menyebabkan ramai ahli UMNO “berjauh hati.” h. Membiarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang tidak dipilih secara demokrasi dalam UMNO memporak- perandakan UMNO Perlis menjelang pilihan raya umum 2008.


8. Gagal mengawal isu Hindraf sehingga menjadi begitu besar dan MIC hilang sokongan orang India.


9. Tidak mempunyai strategi yang jelas apabila menerima kekalahan dalam pilihan raya umum 2008. Kata-kata seperti itu “pilihan rakyat”, “rakyat sudah buat keputusan, kita terima” bukanlah cerminan pemimpin yang mampu bangun memimpin BN untuk menang semula.


10. Akhir sekali, wajah kepimpinan Abdullah sudah ditolak oleh kaum Cina dan India serta tidak lagi disenangi oleh sebahagian besar orang Melayu dan UMNO. Isu ini bukan isu perebutan kepimpinan atau pertukaran pemimpin, tetapi ia merupakan isu dasar dan polisi Abdullah yang ditolak rakyat. Justeru UMNO dan Barisan Nasional memerlukan kepimpinan baru bagi memberi nafas baru menjelang pilihan raya akan datang. Lebih penting, negara Malaysia memerlukan polis dan dasar baru yang lebih segar dan berwibawa bagi menjamin kemakmuran kepada rakyat.


Sehubungan itu, kami sebagai ahli-ahli UMNO dibawah dengan ini memohon agar:


1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara sukarela sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

ATAU

2. Sekiranya, Datuk Seri Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat Presiden parti masih mendapat sokongan ahli UMNO, maka sewajarnya, satu Perhimpunan Agung Khas UMNO dipanggil dan satu undi sulit mengenai kedudukan Presiden UMNO diadakan. Sekian, terima kasih.

Wednesday, February 6, 2008

Apa Yang Dirancang dan Apa Yang Terhidang





Semalam berakhirlah Sukan RIMUP bagi sekolah-sekolah rendah di Kompleks Pendidikan Negeri Kedah. Sukan RIMUP adalah singkatan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Ia julung-julung kali diadakan semlm.


Idea melaksanakan sukan RIMUP ini memang bagus. Banyak kebaikan yang mampu diraih seandainya apa yang dirancang dan diharapkan itu sama seperti yang terhidang. Sukan ini melibatkan 3 buah sekolah iaitu 2 buah sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil.


Antara matlamat mulianya adalah untuk mewujudkan persefahaman, kerjasama dan tolenrasi antara kaum. Molek sungguh apa yang diimpi-impikan itu. Namun begitu, apa yang dirancang tidak sama dengan apa yang terhilang. Nampak sangat ada kejurangan di situ.


Melalui penghayatan saya sejak sebulan yang lepas, dan paling akhir semalam, nyata hasrat untuk mencapai nilai-nilai murni itu masih sukar dicapai. Apa yang dirancang tidak sama dengan apa yang terhilang.


Saya dapat melihat dengan jelas bagaimana sikap orang kita [Melayu] tatkala bekerja atau berurusan dengan kamu lain. Sekali pun saya orang Melayu tetapi saya kesal dengan sikap orang melayu kita yang kerap memandang kaum lain dengan sebelah mata. Saya cukup rasa malu dengan kaum saya sendiri. Saya mengajar di dalam komuniti Kaum India. Saya satu-satunya guru Melayu di sekolah saya. Namun begitu saya tidak pernah rasa tersisih. Saya diterima dengan tangan terbuka di sekolah saya. Saya tidak pernah diasingkan dan guru-guru .Guru Besar juga tidak pernah membezakan saya. Saya diberi layanan yang sama adil. Itu yang saya nampak layanan di pihak kaum lain terhadap orang kita.


Akan tetapi apa pulak cara kita melayan mereka? Semalam contohnya, saya dapat melihat dengan jelas ketidakimbangan perilaku bangsa kita, kaum Melayu terhadap bangsa lain. Cikgu-cikgu Melayu begitu malas untuk berada di tengah padang mengurus murid-murid. Panas agaknya? Lalu tanggungjawab itu terpaksa dipikul oleh kebanyakan guru-guru dari Sekolah Tamil yang 99% nya India. Saya malu melihat bangsa Melayu hanya tahu mencuri tulang. Duduk bawah khemah sambil memakai kaca mata hitam. Pakai pakaian pun mengalahkan orang nak pergi buat show. Tak reti masuk majlis sungguh! Ada ke masuk ke padang untuk bersukan pakai baju rambo rambai macam nak pergi majlis makan malam. Nampak sangat cara orang kita ni tak reti masuk majlis. Lebih kuah dari sudu.


Lagi satu orang kita ni hanya mahu orang hormati kita tetapi kita sendiri tak tahu nak menghormati bangsa lain. Semalam saya benar-benar meluat dengan bangsa saya sendiri. Saya malu melihat apa yang mereka buat sewaktu melaksanakan sukan RIMUP ini. Macam mana orang kita nak dipandang tinggi oleh bangsa lain? Orang kita hanya gah pada nama, pada kuasa. Perlu diingat, jika tanpa kuasa, apa yang akan jadi?


Sedih saya melihat bagaimana orang kita melayan kaum lain. Murid-murid Melayu sendiri rata-rata kurang tahu menghormati kaum lain. Mencaci dan mengata membuatkan telinga saya menjadi nipis. Sekali pun saya sendiri orang Melayu, saya marah bila anak-anak bangsa saya tidak tahu menghormati kaum lain. Hati saya terdetik mengatakan, kalau guru mereka pun tidak tahu menghormati rakan sekerja mereka dari kaum lain, ini kan pula budak-budak kecil tu. Itu lah yang terhidang!


Syabas saya ucapkan kepada guru-guru SJK(T) Barathy kerana telah memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan sukan perpaduan ini. Tahniah juga kepada beberapa orang guru Melayu dari sekolah-sekolah yang berkenaan yang tahu menghormati guru-guru dari kaum lain dan bersama-sama kami melaksanakan sukan Rimup kali Pertama ini.






Wednesday, January 30, 2008

Penat!





Penat! Penat! Penat Sungguh!!

Sejak 3 minggu yang lalu rutin aku adalah ke sekolah setiap lagi dari jam 7.20 pagi hinggalah ke jam 5.30 petang. Penat! Penat! Penat sungguh!

Penat dengan kerenah-kerenah manusia :
Kerenah-kerenah murid-murid
Kerenah-kerenah pihak pentadbir
Karenah-kerenah pegawai-pegawai pentadbiran
Hinggalah ke kerenah-kerenah orang-orang besar dalam Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan


Dari bilik darjah hinggalah ke padang sekolah, semuanya menagih kesabaran yang bukan sedikit

Wednesday, January 2, 2008

Hari Pertama Persekolahan 2008



Pagi-pagi lagi dah kena bangun. Siapkan sarapan dan bekal untuk anak-anak ke sekolah. Hari ini hari pertama persekolahan tahun 2008. Seronok tengok Alif berunifom sekolah kali pertama. Awal-awal tahun ni memang mana-mana ibu bapa pun akan terasa sedikit perit. Semua perlukan duit. Bukan setakat seratus dua, tapi boleh tahan juga jumlahnya. Anak di sekolah menengah lagi lah banyak keperluannya.


Walau bagaimana pun, saya tak mahu merungut, sebab bila kita rasa itu adalah tanggungjawab, kita akan rasa puas. Puas sebab dapat menyediakan semua keperluan mereka. Kadang-kadang terbayang di benak saya bagaimana halnya keluarga yang ramai anak-anak bersekolah, perlu memperuntukkan keperluan yang banyak. Pakaian seragam sekolah, buku-buku tulis dan juga yuran-yuran yang perlu dilangsaikan.


Sebut pasal yuran ini, ramai juga ibu bapa yang terkeliru dengan pengumuman kerajaan tentang pengecualian yuran sekolah. Sangka mereka, semua bayaran sekolah itu dalah yuran sekolah. Walhal yuran khas sekolah yang dikecualikan oleh kerajaan itu hanya sebanyak RM4.50 sahaja bagi sekolah rendah. Itu sahaja! Berbanding jumlah sebenarnya yang perlu dibayar adalah puluhan ringgit.


Rata-rata merungut perihal bayaran yuran yang semakin meningkat. Darjah satu sahaja yuran persekolahannya adalah RM77.50. Di sekolah-sekolah yang lain mungkin ada yang lebih dari itu. Begitu juga halnya bagi anak-anak yang bersekolah menengah. Bayaran yuran yang perlu dibayaran adalah RM 150.00 dan ke atas. Yuran PIBG sahaja mencecah puluhan ringgit. Bayangkan lah jika sesebuah keluarga itu mempunyai anak-anak yang ramai bersekolah. Ini tentu sekali memenatkan otak dan hati mereka. Mahunya beribu ringgit terpaksa dicari setiap kali persekolahan dibuka. Kasihan....


Berbalik kepada Alif... sedar tak sedar dia dah melangkah ke tahun satu pada tahun 2008 ini. Terasa masih kecil lagi dia. Alif masih dengan keletah keanak-anakannya.Mungkin kerana dia anak bongsu saya, manjanya lebih sedikit. Padi tadi saya dan suami menghantarnya ke sekolah. Tanpa banyak kerenah, dia terus ke kelasnya. Tak perlu ditemani lagi. Nampaknya dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan sekolah. Mungkin kerana setahun sebelum ini, Alif saya hantar ke kelas Prasekolah. Alhamdulillah.